Dormitori pekerja migran milik pemerintah yang diharap menetapkan standard lebih tinggi bagi industri, dijadual siap awal 2026 dan boleh menampung 2,400 pekerja.
Ia sedang dibina di Tukang Innovation Lane di Jurong, dan merupakan yang pertama antara dua dormitori dibina khusus (PBD) yang dibina dan dimiliki oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM). Dormitori kedua, di Sengkang West, dijangka siap sekitar pertengahan 2028.
Dalam kenyataannya, MOM berkata dormitori Tukang ialah antara antara tujuh dormitori yang sedang dibina berdasarkan standard lebih tinggi. Dormitori sedia ada perlu memenuhi standard yang lebih tinggi ini menjelang 2040.
Ia adalah sebahagian usaha berterusan MOM mempertingkat standard penginapan pekerja migran di Singapura, yang mula mendapat perhatian di tengah-tengah pandemik Covid-19 pada 2020.
Dormitori Tukang menawarkan 210 bilik, dengan setiap bilik dihad kepada 12 pekerja migran. Ini berbanding kebanyakan dormitori yang ada, yang menempatkan 16 pekerja migran sebilik.
Setiap bilik pula dilengkapkan dengan tandas dan tempat mandi tersendiri. Hubungan Internet melalui Wi-Fi juga disediakan.
Satu lagi perubahan ketara di dormitori Tukang ialah jenis katil yang digunakan dan cara ia disusun.
Enam daripada 12 katil yang disediakan merupakan katil bujang, dengan lagi enam katil disusun secara bertingkat.
Namun katil dua tingkat ini direka supaya katil bawah dan katil atas tidak ‘tercantum’ supaya pergerakan seorang penghuni tidak menganggu tidur penghuni yang lain – antara keluhan yang ditimbulkan pekerja migran semasa memberi maklum balas kepada MOM.
MOM berkata ia telah mengadakan perundingan menyeluruh ke atas desain dormitori baru itu, termasuk dengan pekerja, pertubuhan bukan pemerintah, persatuan industri dan panel penasihat yang dibentuk pakar seni bina, prasarana jagaan kesihatan dan lain-lain.
Di luar bilik tidur, dapur dikongsi disediakan di setiap tingkat, berbanding dapur dikongsi besar untuk semua yang disediakan di kebanyakan dormitori.
Ini bertujuan mengurangkan kesesakan dan membolehkan tempat makan bersama diubah penggunaannya untuk menjadi ruang sosial dan riadah, kata MOM.
MOM juga telah bekerjasama dengan Lembaga Taman Negara (NParks) untuk menyediakan ruang hijau di serata dormitori dan menanam pepohon seperti champak dan neem yang tumbuh di negara benua kecil India.
Sementara itu, mengambil kira ancaman kesihatan awam pada masa hadapan, MOM berkata dormitori tersebut akan dilengkapkan dengan laluan akses berwarna bagi memudahkan pekerja migran mencari jalan keluar dan mengasingkan mereka secara fizikal sekiranya perlu.
Beberapa pintu keluar masuk juga dibina untuk mengelak kesesakan, dengan pengimbas haba automatik dipasang di gantri untuk mengenal pasti pekerja yang mempunyai suhu badan tinggi.
Dalam perancangan adalah sistem kawalan akses digital untuk menyelaras proses keluar masuk penghuni dormitori.
Dormitori Tukang akan dikendalikan oleh NESST Singapore, entiti korporat yang ditubuhkan oleh MOM untuk berbuat demikian dengan rakan kongsi sektor privet.
Kos untuk menempatkan pekerja migran di dormitori standard baru dijangka lebih tinggi berbanding di dormitori sedia ada, tetapi MOM tidak mendedahkan harga tersebut.
Namun ia berkata NESST akan menampilkan strategi penghargaan yang disesuaikan untuk memastikan ‘harga katil’ berdaya saing dan selaras dengan jangkaan majikan dan pekerja.
Bercakap kepada media semasa melawat dormitori Tukang pada 17 November, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, melahirkan harapan agar dormitori standard baru menyediakan ruang hidup yang selesa dan selamat bagi pekerja migran.
Beliau juga berharap langkah MOM ini boleh mendorong pengendali dormitori swasta untuk terus mempertingkat prasarana masing-masing dan mempercepat peralihan memenuhi standard lebih baik.
“Tujuan kami bukan untuk bersaing dengan mereka, tapi untuk menetapkan ukur tara bagi standard yang dimahukan,” ujar Dr Tan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg