Pengendali pengangkutan awam dijemput untuk mengemukakan bidaan bagi mengendalikan 26 laluan bas awam bermula Jun 2027, di bawah pakej bas Serangoon-Eunos.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menawarkan tender pada 19 Disember bagi operasi perkhidmatan laluan bas ini, yang akan melibatkan sekitar 410 bas.
Kontrak ini dijangka dianugerahkan pada suku ketiga 2026 dan akan berkuat kuasa mulai Jun 2027.
Pakej ini termasuk perkhidmatan bas 53, yang berulang-alik antara Bishan dengan Lapangan Terbang Changi; serta bas 105, yang menghubungkan Serangoon dengan Jurong East.
Buat masa ini, pakej tersebut merangkumi 27 laluan yang kebanyakannya beroperasi dari Depoh Bas Hougang.
Perkhidmatan bas ekspres 506 – yang menghubungkan Serangoon dan Jurong East – tidak termasuk dalam senarai laluan untuk kontrak baru.
Perkhidmatan dan jumlah bas dijangka tidak berubah dengan ketara di bawah kontrak baru, kata LTA pada 23 Disember.
Pemenang tender akan mengendalikan perkhidmatan bas ini dari depoh bas baru di Kim Chuan, yang dijangka siap pada 2026.
Pengendali buat masa ini, SBS Transit (SBST), telah mengendalikan pakej bas Serangoon-Eunos sejak 2016.
Susulan peralihan Laluan Downtown (DTL) kepada rangka kerja pembiayaan rel baru pada 2022, kontrak SBST bagi pakej perkhidmatan bas Serangoon-Eunos telah dilanjutkan sehingga Jun 2027.
Ketika ini, SBST mengendalikan beberapa kemudahan yang berada di bawah pakej tersebut, termasuk Depoh Bas Hougang, Pusat Tukaran Bas Serangoon, Pusat Tukaran Bas Eunos, Pusat Tukaran Bas Woodleigh serta Terminal Bas Sims Place.
Jika kontrak itu diberikan kepada pengendali baru, ia akan mengambil alih pengurusan pusat tukaran dan terminal berkenaan daripada SBST.
Pengendali bas Tower Transit, SBST dan SMRT memberitahu The Straits Times (ST) pada 22 Disember bahawa mereka akan menyertai bidaan bagi pakej ini.
ST juga telah menghubungi Go-Ahead Singapore untuk mendapatkan pengesahan sama ada syarikat tersebut akan membida kontrak berkenaan.
Menurut portal perolehan pemerintah GeBiz, tender ini akan ditutup pada 4 petang, 17 April 2026.
Tender bagi 27 laluan bas awam di Tampines yang dibuka pada Disember 2024, telah ditutup pada April lalu.
Kontrak untuk mengendalikan perkhidmatan tersebut mulai Julai 2026, telah dianugerahkan kepada Go-Ahead Singapore pada September, sekitar enam bulan selepas tender ditutup.
Satu lagi tender bagi mengendalikan 29 laluan bas mulai suku pertama 2025 di bawah pakej bas Seletar telah ditutup pada Mac 2024.
Kontrak itu diberikan kepada SBST sekitar tiga bulan kemudian, pada Julai 2024.
Di bawah model kontrak bas yang digunakan LTA pada September 2016, perkhidmatan bas dikelompokkan dalam 14 pakej mengikut kawasan geografi.
Selain itu, para pengendali dibayar bagi mengendalikan perkhidmatan ini mengikut piawaian yang ditetapkan oleh LTA melalui proses bidaan kompetitif.
Pemerintah memiliki semua aset operasi dan mengutip tambang.
Setiap kontrak sah selama lima tahun, dengan pilihan untuk dilanjutkan antara dua hingga lima tahun.
Menurut portal GeBiz, kontrak pakej bas Serangoon-Eunos baru dijangka tamat pada 12 Jun 2032.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg