Ratusan rumah baru dijangka dibina di Yishun Central, termasuk di bekas tapak pusat pertukaran bas sementara Yishun, yang akan dirobohkan menjelang 2027.
Berdasarkan Draf Rancangan Induk 2025 oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), tiga plot kediaman serta dua plot untuk kemudahan kesihatan dan perubatan telah diperuntukkan di bandar Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tersebut.
Menurut URA, projek ini akan memberi lebih ramai penduduk akses kepada kemudahan runcit dan rekreasi di pusat bandar, lapor The Straits Times (ST).
Dua daripada tiga tapak perumahan itu, sebelum ini, menempatkan pusat pertukaran bas sementara Yishun, yang beroperasi dari Mac 2015 hingga September 2019 sebelum berpindah ke hab pengangkutan bersepadu berhampiran Northpoint City.
Tapak itu kemudian digunakan sebagai depoh sementara dan kini kosong.
Dokumen tender yang diterbitkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jun menyatakan kontraktor perobohan yang dilantik dijangka mengambil alih tapak tersebut pada Disember, dengan kerja-kerja perobohan dijadualkan siap menjelang 30 April 2027.
Tapak perumahan yang lebih besar antara dua tapak itu bersempadan dengan Yishun Central dan mempunyai keluasan sekitar 1.35 hektar.
Plot yang satu lagi, terletak di seberang jalan dari Northpoint City, berkeluasan kira-kira 1.25 hektar. Penganalisis hartanah menganggarkan bahawa setiap plot boleh menghasilkan sekitar 300 unit flat HDB atau sekitar 400 unit kondominium.
Plot perumahan ketiga mempunyai keluasan sekitar 3.2 hektar, bersamaan dengan 4½ padang bola sepak. Kawasan ini kini sebahagiannya diduduki oleh Pusat Sukan Nee Soon.
Bahagian lain pusat sukan itu terletak dalam tapak rizab, di mana kegunaan khususnya belum ditentukan.
Kelulusan URA untuk pembinaan pusat sukan sementara pada 2015 menunjukkan HDB akan mengambil alih tapak itu selepas operasi pusat sukan tersebut tamat.
Majlis Bandaran Nee Soon, pemaju pusat sukan itu berkata: “Memandangkan Draf Rancangan Induk baru sahaja dikeluarkan, masih terlalu awal untuk kami memberi komen mengenai pembangunan Pusat Sukan Nee Soon.”
Draf rancangan induk itu telah dikeluarkan pada 25 Jun dan dijangka berkuat kuasa menjelang akhir 2025.
Penganalisis menganggarkan plot perumahan ketiga itu boleh menghasilkan antara 750 hingga 900 flat, atau kira-kira 1,100 unit kondominium.
Pegawai Eksekutif Utama ERA Singapore, Encik Eugene Lim, percaya bahawa dua daripada tiga plot perumahan tersebut, yang lebih kecil, di mana bekas pusat pertukaran bas sementara terletak, lebih sesuai untuk pembangunan kondominium privet kerana saiznya.
Plot terbesar berkemungkinan digunakan untuk perumahan awam kerana HDB mempunyai “lebih fleksibiliti untuk menawarkan pelbagai jenis flat serta menggabungkan kemudahan masyarakat bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk,” katanya.
Beliau menambah jika mana-mana daripada tiga plot perumahan itu dikeluarkan kepada pemaju, ia mungkin lebih popular berbanding tapak jualan tanah pemerintah terakhir di Yishun, yang terletak di Chencharu Close.
Tender untuk tapak tersebut, yang menerima tiga bidaan, melibatkan pembangunan ruang komersial termasuk pusat pertukaran bas dan pusat penjaja selain daripada rumah baru.
Beliau menjangkakan flat awam di mana-mana daripada tiga plot itu, jika dibina, akan dikategorikan sebagai unit Plus kerana kedudukannya yang berhampiran dengan pengangkutan awam dan kemudahan runcit.
Ketua penyelidik dan perancang strategi di Kumpulan Realion, Cik Christine Sun, berkata rancangan pemerintah untuk terus membangunkan kawasan utara Singapura mungkin menjadikan Yishun lebih menarik kepada pembeli rumah.
Beliau merujuk kepada projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura yang dijadualkan memulakan perkhidmatan penumpang pada akhir 2026.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg