Yakin, tabah dan sabar – tiga prinsip yang terus dipegang Cik Alawiyah Jaffar, 52 tahun, ketika hidupnya dilanda badai.
Pada 2008, beliau disahkan menghidap Behcet’s Disease, iaitu penyakit keradangan yang menjejas pelbagai anggota tubuh seperti kulit, mulut dan sendi, bergantung pada individu.
Dua tahun kemudian, beliau didiagnos menghidap leukaemia atau barah darah pula.
Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, beliau berdepan dengan penyakit tersebut ketika melalui proses penceraian waktu itu, dan menjadi ibu tunggal kepada tiga anak kecil.
“Rasanya memang sangat berat. Saya sakit, perlu ke hospital, jaga anak-anak dan dalam masa sama uruskan proses penceraian.
“Orang melemparkan pelbagai tuduhan ke atas saya dan juga anak-anak. Saya menangis sendirian... tapi semua kata-kata itu saya jadikan pembakar semangat,” kata Cik Alawiyah.
Ketika itu, anak bongsunya baru berumur tujuh tahun. Meskipun menjalani rawatan kemoterapi, Cik Alawiyah tetap bekerja setiap hari demi menampung hidup keluarganya.
Pada hari biasa, Cik Alawiyah bekerja sebagai pembantu klinik dan pada hujung minggu di Taman Haiwan Singapura.
“Saya seperti ‘sotong’, harus menguruskan banyak benda. Tapi saya fikir, saya perlu fokus apa yang penting, iaitu anak-anak. Saya juga beritahu situasi saya kepada doktor. Mereka sesuaikan rawatan kemoterapi supaya tidak terlalu berat,” dedahnya.
Doktor mengatur jadual rawatannya dan memanjangkan tempoh kemoterapi agar beliau tidak terlalu lemah dan boleh kekal berfungsi sebagai ibu.
Ketika diberitahu oleh doktor tentang penyakitnya, Cik Alawiyah tidak menyerah.
“Saya tidak fikir tentang penyakit yang saya hadapi. Saya hanya fikir, saya nak guna masa yang ada untuk buat anak-anak rasa disayangi. Saya tidak mahu menyesal satu hari nanti,” luahnya.
Apa yang paling menyentuh hati anak-anaknya ialah kasih sayang ibu mereka yang tidak pernah pudar, walaupun dalam keletihan.
“Biasanya lepas rawatan saya memang lemah. Tapi bila anak-anak balik, saya akan bangun dan siapkan makanan. Kalau mereka ulang kaji malam, saya buatkan milo atau maggi. Saya cuma tidur bila mereka dah tidur,” kenangnya dengan air mata yang berlinangan semasa diwawancara Berita Minggu.
Apa yang dilaluinya tidak mudah, tetapi beliau tetap tidak menyangka sejauh mana anak-anaknya akan berjaya.
“Saya fikir anak-anak saya biasa-biasa sahaja. Tapi bila orang puji mereka, baru saya sedar, rupanya semua pengorbanan saya membuahkan hasil,” katanya yang turut rasa bangga.
Hari ini, seorang anaknya Encik Akmal Danial Mohamed Nor, 29 tahun, yang mempunyai ijazah diploma, Encik Arman Harith Mohamed Nor, 27 tahun, bekerja sebagai jurutera, dan anak bongsunya, Cik Dayana Marsya Mohamed Nor, 23 tahun, kini belajar di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Melihat anak-anaknya hari ini, Cik Alawiyah melahirkan kesyukuran segala ketabahan dan pengorbanannya tidak sia-sia.
Sokongan penting juga hadir melalui Persatuan Ain.
“Pegawai 4PM kenalkan saya kepada Persatuan Ain. Dari situ, saya ikut aktiviti kraftangan dan anak bongsu saya pula melalui terapi seni,” jelasnya.
Anak perempuannya yang dahulu pendiam turut pulih secara emosi melalui terapi seni.
“Beliau berat meluahkan diri dan bercakap. Sejak terapi seni itu, beliau bersikap lebih terbuka dan lebih yakin,” kongsinya.
Pada 2015, Cik Alawiyah berkahwin semula. Suaminya, Encik Mohamed Mazli Mhd Noor, memberi sokongan besar dalam mendidik anak-anak.
“Sekarang saya tak rasa terbeban. Kami kongsi tanggungjawab. Saya syukur pada saat itu, suami saya hadir ke acara sekolah dan beri semangat pada anak-anak,” katanya.
Baru-baru ini, Persatuan Ain mengiktiraf Cik Alawiyah melalui Anugerah Ibu Tabah: Piala Puan Halimah Yacob 2025 dalam satu majlis di Concorde Hotel Singapore pada 24 Mei lalu.
Pesannya kepada para ibu yang sedang melalui cabaran:
“Jangan takut, yakinlah, tabah dan sabar. Kalau kita jatuh, siapa akan jaga anak-anak kita? Percaya diri, dan teruskan demi mereka. Setiap langkah yang diambil itu ialah sebuah kemenangan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg