Dalam kota yang terus membangun, kisah pekerja migran jarang mendapat fokus utama.
Bagi peguam masyarakat di badan amal Pro Bono SG, Cik Nur Shukrina Salam, pengorbanan golongan ini, yang berjauhan dari keluarga dan tanah air mereka, wajar dihargai.
Malah, beliau bertungkus lumus memperjuangkan hak mereka di Pusat Undang-Undang Pekerja Migran (MWLC) kendalian Pro Bono SG.
Cik Shukrina, 28 tahun, tidak sekadar memberikan nasihat perundangan. Baginya, kerjanya adalah untuk memelihara maruah, memberi ketenangan dan harapan kepada pekerja migran.
“Ramai tidak sedar bahawa tanpa slip gaji atau rekod masa kerja, tuntutan sah mengenai gaji sukar dibuktikan,” katanya sambil merujuk kepada antara isu yang dihadapi pekerja migran.
Antara kes yang paling menyentuh hati Cik Shukrina ialah seorang pekerja pembantu rumah yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Wanita itu datang dengan ketakutan dan kebimbangan, bukan sahaja tentang kos perubatan, tetapi kerana ini kali pertama beliau bercakap dengan seorang peguam.
“Wanita itu tidak dapat tidur malam sebelumnya kerana takut untuk menghadiri sesi konsultasi. Tapi selepas itu, beliau rasa lega dan tahu langkah seterusnya,” kongsi Cik Shukrina.
Baginya, memberi akses kepada keadilan bukan hanya soal undang-undang, ia juga tentang mengubah persepsi masyarakat terhadap bantuan perundangan.
Cik Shukrina juga sering menangani kes pekerja migran yang dituduh secara salah.
“Ada kalanya majikan yang membuat laporan polis selepas pekerja mereka membuat tuntutan gaji.
“Dalam kes sebegini, kami akan membimbing pekerja itu untuk mengumpul bukti, memahami proses soal siasat, dan mendapatkan sokongan sewajarnya semasa mereka tidak bekerja,” katanya.
Lebih daripada itu, mendengar kisah pekerja yang pulang ke negara asal namun masih berusaha mendapatkan semula permit kerja mereka telah meninggalkan kesan mendalam.
“Mereka bercerita tentang bangunan-bangunan yang mereka bantu bina, dan saya sedar betapa besar sumbangan mereka kepada negara ini,” ujar Cik Shukrina.
Didorong oleh kepercayaan dan prinsip keadilan sosial, Cik Shukrina turut aktif memperjuangkan hak wanita Muslim dan keadilan masyarakat.
Ketika pandemik Covid-19, beliau dan rakan-rakan membangunkan kalkulator gaji untuk membantu pekerja memahami bayaran yang patut mereka terima.
“Bagi saya, setiap usaha ini adalah ibadah. Ilmu yang saya ada adalah amanah, dan ia harus digunakan untuk kebaikan bersama,” katanya.
Di sebalik kesibukan undang-undang, Cik Shukrina tidak lupa pengorbanan pekerja migran bukan sahaja fizikal, tetapi emosi dan mental.
“Mereka tinggalkan keluarga, hidup dalam ketidaktentuan, namun tetap bertahan.
“Kita harus lihat mereka bukan sekadar tenaga buruh, tetapi sebagai manusia yang layak diberi keadilan dan penghormatan,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg