Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Koridor Utara-Selatan mungkin rangkumi ruang awam ikonik di Rochor

Aug 27, 2024 | 9:04 PM
Bayangan pelukis tentang pohon-pohon subur di sepanjang Marymount Road, dengan laluan berliku untuk mencipta pengalaman ulang-alik unik.
Bayangan pelukis tentang pohon-pohon subur di sepanjang Marymount Road, dengan laluan berliku untuk mencipta pengalaman ulang-alik unik. - Foto HENNING LARSEN

Sebuah ruang awam ikonik di simpang Rochor Canal Road, Sungei Road dan Jalan Besar mungkin dibangunkan untuk menghubungkan tiga daerah kebudayaan – Little India, Kampong Gelam dan Waterloo Street – serta institusi pendidikan berdekatan.

Institusi itu termasuk Kolej Seni Lasalle, Akademi Seni Halus Nanyang dan Universiti Pengurusan Singapura.

Ia antara rancangan awal yang dicadangkan bagi jalan permukaan di Koridor Utara-Selatan (NSC) sepanjang 21.5 kilometer, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 27 Ogos.

Ruang awam itu berpotensi meningkatkan pengalaman berjalan kaki, berbasikal dan menunggang di sekitar Rochor Road, dan mewujudkan hubungan lebih baik antara Little India, Kampong Gelam dengan Waterloo Street.

Bahagian Ophir Road di sebelah Kampong Gelam juga boleh dijadikan laluan pejalan kaki bagi acara dan kegiatan yang meraikan warisan dan budaya, dan menghubungkan Kampong Gelam ke Bugis, tambah LTA.

Idea itu datang daripada firma seni bina landskap, Henning Larsen, yang dengan rakan kongsinya, telah dilantik sebagai perunding pelan induk bagi jalan permukaan di sepanjang koridor itu, kata LTA.

Rakan kongsinya termasuk perunding seni bina Ramboll, firma perancangan bandar Cistri, syarikat arkitek Gehl, firma reka bentuk berpusatkan masyarakat Participate in Design, dan perunding alam sekitar Camphora.

LTA berkta firma itu membayangkan empat segmen berbeza bagi koridor itu dari utara ke selatan: bahagian industri-masyarakat sepanjang enam kilometer; lingkaran ekologi sepanjang tujuh kilometer; koridor kesejahteraan rakyat sepanjang lima kilometer; dan segmen warisan budaya sepanjang 3.5 kilometer.

LTA menyatakan empat segmen itu akan menampilkan lebih 20 ruang awam yang mencerminkan ciri unik kejiranan dan destinasi berdekatan.

Satu lagi idea awal oleh Henning Larsen ialah pembinaan “tapak simpanan hidupan” di Ang Mo Kio di sepanjang segmen lingkaran ekologi NSC yang dicadangkan.

Tapak itu akan menampilkan ruang awam berasaskan alam semula jadi, laluan basikal, laluan pejalan kaki, dan kawasan permainan dengan kehijauan, dan menghubungkan koridor itu ke Taman Bishan-Ang Mo Kio.

Bahagian utara NSC juga boleh mempunyai tempat riadah di bawah jejambat di Gambas Avenue, seperti ruang permainan dan seni pemasangan, tambah LTA.

Ia berkata Henning Larsen akan membangunkan cadangannya dalam beberapa bulan akan datang, dan lebih banyak maklum balas akan diminta daripada masyarakat, orang awam dan pihak lain.

Ketua Eksekutif LTA, Encik Ng Lang, yang menjadi pengerusi panel penasihat reka bentuk itu, berkata NSC akan menawarkan pengalaman baru dengan menggabungkan pilihan mobiliti aktif, ruang awam dan sambungan ke tempat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg