Seorang wanita yang maut semasa berkayak di perairan Pulau Sentosa pada 2023 mungkin memakai alat pelampung peribadi yang rosak, menurut pegawai penyiasat Penguasa Pelabuhan Maritim (MPA) pada 4 Julai.
Kapten Cheong Kwee Thiam berkata demikian semasa siasatan koroner yang menyiasat kematian Cik Chew Jia Tian, 33 tahun, yang dihadiri ibu bapa mendiang, lapor The Straits Times.
Cik Chew dilaporkan hilang di tengah laut semasa berkayak dengan tiga pendayung lain pada pagi 22 Oktober 2023.
Mayat mendiang ditemui dua hari kemudian menyusuli misi mencari dan menyelamat.
Kapten Cheong, yang merupakan penyiasat kelautan utama, menyatakan di mahkamah pada 4 Julai bahawa apabila dia membuka poket belakang alat pelampung peribadi yang digunakan Cik Chew, didapati tali kelengkang masih dilipat kemas.
Bahagian pengunci tali itu didapati hilang, dan Kapten Cheong berpendapat mendiang telah membeli alat pelampung peribadi yang rosak.
Di peringkat awal prosiding itu, pengawai penyiasat dari Polis Pengawal Pantai, Inspektor Balai (SI) Muhammad Ruzaini Osman berkata, Cik Chew, Encik Lee Kuok Ming dan Encik Loh Kin Huat, telah merancang untuk mula berdayung dari Sentosa pada hari kejadian sehingga ke Pulau Selatan.
Sebelum ketiga-tiga mereka mula berdayung pada 9.30 pagi, Encik Lee perasan yang Cik Chew tidak menggunakan tali kelengkang, tetapi jaket keselamatannya tidak kelihatan longgar, dan Encik Lee tidak berkata apa-apa mengenainya.
Keadaan laut dan tiupan angin didapati tenang pada hari tersebut semasa ketiga-tiga mula berdayung, kata SI Ruzaini.
Semasa ekspedisi mereka, ketiga-tiga pendayung disertai pendayung keempat, Encik Kum Chee Tong, yang nampak ketiga-tiga berdayung ke Pulau Sakijang Pelepah, juga dikenali sebagai Lazarus Island.
Encik Loh, yang lebih mahir berkayak, dan Encik Kum telah berdayung di depan mendahului Cik Chew dan Encik Lee.
Mereka tiba di Selat Buran, di mana keadaan laut lebih bergelora hingga mengakibatkan kayak Encik Lee terbalik.
Cik Chew berdayung ke arah Encik Lee untuk membantu. Encik Lee telah berpaut pada tali pintal yang dipasang di kayak Cik Chew.
Bagaimanapun, disebabkan arus kuat, Cik Chew tidak dapat mendayung jauh dari pengadang laut terapung, dan SI Ruzaini berkata, Cik Chew telah meminta maaf kepada Encik Lee kerana tidak dapat melakukannya.
Encik Lee kemudian melepaskan pegangan dan berenang di bawah pengadang itu ke arah laut terbuka di mana beliau diselamatkan oleh sebuah bot yang berlalu di situ.
Seorang lelaki di bot berkenaan telah membantu mencari Cik Chew.
Kayak beliau dikesan dan dibawa naik ke atas bot tetapi Cik Chew tidak ditemui.
Mayat Cik Chew ditemui dalam keadaan reput yang teruk di perairan berhampiran Sentosa dua hari kemudian.
Satu bedah siasat dilakukan dan Cik Chew maut kerana lemas.
SI Ruzaini berkata, kayak Cik Chew mungkin terhimpit dengan pengadang laut terapung itu memandangkan dia didapati tidak berupaya mendayung jauh daripadanya, dan mangsa berkemungkinan terbalik selepas itu.
Mahkamah diberitahu bahawa alat pelampung peribadi dari Decathlon telah dibeli sehari sebelum berkayak.
Koroner Negara Adam Nakhoda berkata, mahkamah tidak dapat memastikan alat pelampung itu telah rosak.
Beliau telah meminta jaket keledar itu dibawa ke mahkamah dan mungkin menghantarnya untuk diuji.
Mahkamah juga didedahkan bahawa Cik Chew mempunyai anugerah dua bintang dalam berkayak, beliau mengalami kesukaran dalam latihan menangani kayak terbalik, dengan cuba menaikkannya semula menggunakan teknik yang diajar.
Latihan ini bagaimanapun bukan satu kemestian untuk anugerah dua bintang.
SI Ruzaini berkata, Cik Chew telah cuba menjalani latiha bagi anugerah tiga bintang di Desaru, Malaysia.
Semasa kes didengar, saksi termasuk Kapten Sahwan Osman, pensyarah di Politeknik Singapura berkata, keadaan laut di Selat Buran boleh menjadi berombak, walaupun keadaan di kawasan berdekatan kekal tenang.
Ini mungkin disebabkan pertembungan arus di kawasan itu, kata mereka.
Kes ditangguhkan ke 16 Julai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg