Topik diikuti
Pergi ke BHkuKos kewangan, tekanan besarkan anak penghalang utama warga timang cahaya mata
Kos kewangan, tekanan besarkan anak penghalang utama warga timang cahaya mata
Indranee: Kajian mendalam akan djalankan kumpulan kerja antara agensi; majikan digesa main peranan ubah norma masyarakat
Kos kewangan, tekanan besarkan anak penghalang utama warga timang cahaya mata
Kumpulan kerja antara agensi yang ditugaskan menyokong isu perkahwinan dan keibubapaan di Singapura bakal menjalankan kajian lebih mendalam berhubung kos kewangan dan tekanan yang dijangkakan dalam membesarkan anak-anak di Singapura.
Langkah itu diambil setelah beberapa tinjauan menunjukkan dua faktor berkenaan merupakan penghalang utama bagi pasangan di negara ini menimang cahaya mata.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, menekankan perkara tersebut ketika berucap di Persidangan Tahunan Persatuan Penduduk Singapura (PAS) 2026, yang diadakan di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 21 Mei.
“Tinjauan kami menunjukkan bagi mereka yang tidak mempunyai anak, kos kewangan dan tekanan yang dijangkakan, yang dikaitkan dengan membesarkan anak di Singapura, merupakan dua penghalang utama daripada mempunyai anak.
“Ramai orang muda tidak hanya bertanya ‘Bolehkah kami mampu mempunyai anak?’, mereka turut bertanya ‘Kehidupan seperti apakah yang boleh kami beri kepada anak kami dan kehidupan seperti apakah yang akan kami miliki sebagai ibu bapa?’,” ujar Cik Indranee.
Beliau, yang mempengerusikan Kumpulan Kerja Tetapan Semula Perkahwinan dan Keibubapaan, berkata pasukannya mahu mengatasi isu tersebut.
“Mengenai kos kewangan, kami sedang mengkaji lebih mendalam kos yang dihadapi oleh keluarga pada pelbagai peringkat perjalanan membesarkan anak.
“Kemudian, baru kami dapat lihat apa lagi yang perlu dilakukan untuk menyokong pasangan dari segi kewangan dalam perjalanan mereka menjadi ibu bapa,” katanya lagi.
Sementara itu, menangani tekanan yang dijangkakan dalam membesarkan anak di Singapura memerlukan pendekatan menyeluruh, tambahnya.
Misalnya, untuk mengatasi tekanan pendidikan, pemerintah sudah pun meluaskan laluan pendidikan dan mengurangkan penekanan yang berlebihan terhadap keputusan akademik.
Usaha itu bertujuan memperluas definisi kejayaan.
Cik Indranee berkata maklum balas yang diterima kumpulan kerja tersebut setakat ini menunjukkan terdapat keperluan untuk “pengimbangan semula”.
“Dalam jangka masa panjang, memberi lebih banyak masa dan ruang kepada semua orang bagi keluarga dan matlamat bukan kerja yang lain, membolehkan kita menjalani kehidupan lebih bermakna, dan menjadikan kita lebih berdaya tahan sebagai sebuah masyarakat,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Cik Indranee turut mengingatkan untuk benar-benar mencapai penetapan semula perkahwinan dan keibubapaan, usaha bersama seluruh negara dengan setiap individu menyumbang dan memainkan peranan diperlukan.
“Dasar adalah kunci untuk membentuk pemikiran, nilai dan pandangan yang kita pegang terhadap perkahwinan dan keibubapaan.
“Walau bagaimanapun, langkah dasar sahaja tidak dapat mengubah keadaan.
“Pemikiran, nilai dan pandangan yang sama ini juga dibentuk oleh norma masyarakat dan pengalaman seharian orang ramai tentang perkahwinan dan keibubapaan,” jelasnya.
Beliau memberi contoh sokongan majikan dalam memberi pilihan kerja fleksibel atau menyediakan bilik khas bagi ibu yang menyusu dapat membantu pekerja rasa amat disokong dalam menguruskan komitmen kerja dan keluarga mereka.
Setiap individu juga patut mempertimbangkan bagaimana mereka boleh bersikap lebih memahami terhadap ibu bapa yang mempunyai anak kecil.
Misalnya, mereka boleh menghulurkan bantuan apabila melihat ibu bapa yang memerlukannya semasa menaiki pengangkutan awam.
“Perkara kecil ini mungkin kelihatan mudah, tetapi ia memberi perbezaan yang nyata dalam membantu ibu bapa berasa dilihat, disokong dan kurang terasa keseorangan,” ujar Cik Indranee lagi.
