Bayaran bagi pengebumian jenazah yang diuruskan oleh pemerintah akan meningkat mulai Januari 2027 – semakan pertama dalam tempoh lebih 25 tahun.

Mengumumkan perubahan tersebut pada 27 November, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan bayaran pengebumian wajib bagi warga negara dan penduduk tetap (PR) akan meningkat daripada $315 kepada $400, manakala bayaran pengebumian tidak wajib akan meningkat daripada $940 kepada $1,200.

Kes pengebumian wajib merujuk kepada mereka yang mesti dikebumikan selepas kematian atas faktor agama, seperti melibatkan Muslim.

Bayaran pengebumian bagi bukan warga negara dan bukan PR akan meningkat daripada $1,880 kepada $2,500.

Menurut NEA, bayaran pengebumian bagi warga negara dan PR kekal tidak berubah sejak 2000.

Pelarasan bayaran ini akan membantu menampung kos yang semakin meningkat serta menyokong pelaburan berterusan dalam kemudahan selepas kematian seiring dengan penuaan penduduk Singapura.

Kos menyediakan perkhidmatan pengebumian wajib telah meningkat lebih daripada $1,690 bagi setiap orang dalam tempoh lebih 25 tahun.

NEA menyatakan mulai Januari 2027, isi rumah yang menerima bantuan ComCare atau ComLink+ akan layak mendapat pengecualian penuh bagi bayaran khidmat pengurusan jenazah.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Keluarga yang menghadapi kesulitan kewangan tetapi tidak berada di bawah ComCare atau ComLink+ boleh menulis kepada NEA untuk memohon bantuan, dengan permohonan dinilai berdasarkan kes.

Selain bayaran pengebumian, bayaran pembakaran mayat bagi warga negara dan PR akan meningkat daripada $100 kepada $175, manakala bagi bukan warga negara dan bukan PR akan meningkat daripada $100 kepada $350.

Di kolumbarium yang dikendalikan pemerintah, yuran petak standard akan meningkat daripada $500 kepada $600, manakala yuran petak keluarga dinaikkan daripada $900 kepada $1,080.

Namun, bayaran menabur abu di darat akan turun daripada $320 kepada $200.

NEA berkata kos menyediakan perkhidmatan ini telah meningkat kira-kira 20 peratus hingga 65 peratus sejak bertahun-tahun, didorong oleh biaya pembinaan, penyelenggaraan, utiliti dan operasi yang lebih tinggi.

Meskipun kos lebih tinggi, pemerintah akan terus menanggung sehingga kira-kira 90 peratus daripada kos perkhidmatan utama, seperti pembakaran mayat dan pengebumian wajib, bagi warga negara dan PR.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti