Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Badan khairat perluas khidmat kepada kebajikan menyeluruh ahli

Persekutuan Kebajikan Islam Telok Kurau Singapura berkembang daripada sekadar urus jenazah, ke bantuan pendidikan, dermasiswa dan program masyarakat melalui Dana Fardu Kifayah
Aug 15, 2025 | 5:30 AM
Pasukan petugas Persekutuan Kebajikan Islam Telok Kurau Singapura (PKITKS), (dari kiri) Encik Mohammed Bashir Ismail, Raja Ashraf Raja Khalif, Ustaz Muhammad Imran Khan Ab Azis Khan, Encik Humayyun Mohammed Bashir, Encik Mohammad Hidayat Hamzah, Encik Zait Ismail dan Encik Shir Ahmad Zhulfi Mohammed Bashir, di pejabat persatuan itu di Kembangan Plaza, Jalan Masjid. 
Pasukan petugas Persekutuan Kebajikan Islam Telok Kurau Singapura (PKITKS), (dari kiri) Encik Mohammed Bashir Ismail, Raja Ashraf Raja Khalif, Ustaz Muhammad Imran Khan Ab Azis Khan, Encik Humayyun Mohammed Bashir, Encik Mohammad Hidayat Hamzah, Encik Zait Ismail dan Encik Shir Ahmad Zhulfi Mohammed Bashir, di pejabat persatuan itu di Kembangan Plaza, Jalan Masjid.  - Foto PERSEKUTUAN KEBAJIKAN ISLAM TELOK KURAU SINGAPURA (PKITKS)

Persekutuan Kebajikan Islam Telok Kurau, Singapura (PKITKS) telah berkembang daripada sekadar menawarkan perkhidmatan urusan jenazah dan pengebumian sahaja kepada sebuah pertubuhan kebajikan yang menyediakan pelbagai bentuk bantuan.

Ia termasuk pendidikan, dermasiswa serta program kemasyarakatan, yang termasuk penubuhan sebuah dana baru, Dana Fardu Kifayah.

PKITKS diasaskan pada 26 Januari 1941 dan didaftarkan secara rasmi pada 26 Julai 1961 di bawah Akta Pertubuhan Manfaat Bersama (MBO) di Singapura.

Pejabatnya kini terletak di Kembangan Plaza, Jalan Masjid.

Pada asalnya ia dikenali sebagai Persekutuan Khairat Kematian Orang Islam Telok Kurau Singapura, dengan matlamat utama menyokong umat Islam di kawasan Telok Kurau melalui bantuan pengebumian dan pemberian khairat kematian apabila berlaku kematian ahli keluarga anggotanya.

Kegiatan PKITKS digantung sementara ketika pendudukan Jepun dari 1942 hingga 1945.

Selepas perang berakhir, ia kembali beroperasi dengan memperluas keahliannya kepada umat Islam di seluruh Singapura.

Keahlian persatuan itu terbuka kepada warga Singapura berumur 21 tahun ke atas.

PKITKS kini mempunyai lebih 18,000 ahli berdaftar dan ditadbir oleh sebuah jawatankuasa 17 anggota yang dipilih setiap dua tahun melalui Mesyuarat Agung Tahunan

Presiden PKITKS, Ustaz Muhammad Imran Khan Ab Azis Khan, menjelaskan bahawa perkembangan persatuan itu bertujuan melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah dengan lebih menyeluruh, memberikan sokongan berterusan kepada ahli, serta memperkukuh perpaduan masyarakat.

“Keputusan (pengembangan persatuan) ini berpunca daripada keinginan menunaikan kewajipan fardu kifayah yang lebih luas, menyokong ahlinya, dan memastikan kesinambungan merentas generasi kerana amanah yang dipenuhi dapat menyatukan masyarakat,” ujar Ustaz Muhammad Imran.

Penerima bantuan, iaitu ahli berdaftar dan tanggungan mereka, layak menerima pelbagai bentuk bantuan, seperti sokongan pengebumian, bayaran khairat kematian, dermasiswa pendidikan, dan akses kepada kursus bersubsidi.

Sebagai sebahagian daripada iltizam mengekalkan bantuan dan perkhidmatan itu, PKITKS melancarkan Dana Tabung Fardu Kifayah pada Jun.

“Ia merupakan sebuah tabung sokongan pengebumian yang penuh ihsan bagi membantu keluarga yang mendapati kos pengebumian membebankan.

“Dana ini meliputi keperluan penting seperti bayaran kos tanah perkuburan dan pengangkutan, memastikan bantuan segera sewaktu masa sukar,” jelas Ustaz Muhammad Imran tentang dana tersebut.

Ia, tambahnya, memberi manfaat kepada masyarakat Islam dengan memastikan tiada keluarga tidak dibantu semasa terjadi kematian demi menegakkan kewajipan bersama di bawah fardu kifayah. 

Ustaz Muhammad Imran turut berkongsi tentang projek meluaskan kemudahan PKITKS sebagai langkah peralihannya daripada sebuah perkhidmatan pengebumian tradisional sahaja.

“Kemudahan ini adalah projek baru yang menawarkan tempat perlindungan, pendidikan, penjagaan kesihatan, kaunseling, urusan perundangan untuk kes orang Islam dalam persekitaran Singapura,” katanya.

Selain itu, PKITKS melibatkan diri dalam program korban pada Aidiladha, inisiatif Ramadan, dan  perkhidmatan badal haji.

Semua perkhidmatan itu disepadukan sebagai sebahagian daripada kebajikan ahli.

“Kami juga merancang memperluas ruang pejabat kami dengan memperoleh pejabat atau bangunan lebih besar untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada pertubuhan ini dan ahlinya,” tambah Ustaz Muhammad Imran.

MAKLUMAT LANJUT:

– Jika anda berminat menjadi ahli Persekutuan Kebajikan Islam Telok Kurau Singapura (PKITKS) atau ingin menyokongnya melalui infak, zakat atau sumbangan wakaf, sila kunjungi laman web, https://www.pkitks.org.sg

– Untuk sumbangan wang kepada Dana Tabung Fardu Kifayah, anda boleh menyampaikannya melalui PayNow UEN: S61MB0049L (Rujukan: ‘Dana Fardu Kifayah’). 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg