Topik diikuti
Pergi ke BHkuKos perkhidmatan bagi kurang upaya dikurangkan jelang 2028
Lebih banyak ruang turut disediakan di pusat kegiatan dan bengkel terlindung mulai 2030
Kos perkhidmatan bagi kurang upaya dikurangkan jelang 2028
Menjelang 2028, kos perkhidmatan bagi golongan kurang upaya akan berkurangan apabila pemerintah menurunkan yuran dan meningkatkan subsidi berdasarkan ujian kemampuan.
Selain itu, lebih banyak ruang akan disediakan di pusat aktiviti harian dan bengkel terlindung menjelang 2030.
Oleh itu, hampir 5,000 orang kurang upaya yang menerima perkhidmatan berasaskan masyarakat dan kediaman dijangka meraih manfaat daripada perubahan ini menjelang 2030.
Had yuran bagi semua perkhidmatan kurang upaya yang dibiayai pemerintah akan diperkenalkan, dengan kadar berbeza mengikut kemudahan.
Bagi kebanyakan keluarga, subsidi berdasarkan ujian kemampuan akan meningkat sekurang-kurangnya 10 mata peratusan, meliputi perkhidmatan seperti pusat aktiviti harian, asrama dan rumah penjagaan orang dewasa kurang upaya.
Had pendapatan isi rumah juga akan dinaikkan, dengan had pendapatan bulanan per kapita meningkat daripada $4,800 kepada $6,000.
Langkah ini akan memperluas bantuan kepada isi rumah berpendapatan sederhana, merangkumi sekitar 80 peratus isi rumah yang mempunyai orang kurang upaya (PWD), menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Langkah menjadikan perkhidmatan kurang upaya lebih berpatutan adalah antara saranan pertama Pasukan Bertindak Jaminan bagi Keluarga dengan Orang Kurang Upaya yang dikeluarkan pada 17 September.
Ditubuhkan pada Disember 2025, pasukan itu meneliti cara memperkukuh sokongan bagi golongan PWD pada setiap peringkat kehidupan dan telah mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan pelbagai kumpulan, termasuk keluarga dan penyedia perkhidmatan.
Menteri Negara Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, berkata faktor kos merupakan antara kebimbangan terbesar penjaga, terutama dalam memenuhi keperluan penjagaan orang tersayang sepanjang hayat.
“Lama-kelamaan, kos penjagaan boleh meningkat.
“Keluarga mahukan jaminan bahawa sokongan akan kekal berpatutan,” katanya.
Satu lagi langkah utama adalah untuk menangani tempoh menunggu yang semakin panjang bagi pusat aktiviti harian dan bengkel terlindung, yang menyediakan aktiviti harian untuk orang dewasa kurang upaya.
MSF akan menambah 1,300 tempat di pusat berkenaan menjelang 2030, selain 1,000 tempat tambahan yang diumumkan pada 2024.
Encik Goh berkata “penambahan besar” ini akan meningkatkan jumlah keseluruhan kepada sekitar 5,800 tempat.
Menurutnya, keluarga memberitahu pasukan bertindak bahawa tempoh menunggu yang lama bagi perkhidmatan tersebut boleh menimbulkan tekanan.
Pusat aktiviti harian adalah untuk orang kurang upaya berusia 18 tahun ke atas yang tidak boleh bekerja, manakala bengkel terlindung menyediakan latihan kemahiran dan sokongan pekerjaan kepada PWD yang boleh bekerja, tetapi belum bersedia atau tidak berupaya bekerja dalam pasaran terbuka.
Pada Julai, subsidi perkhidmatan di kediaman dan berasaskan masyarakat bagi golongan kurang upaya dinaikkan masing-masing sehingga 15 peratus dan 10 peratus, manakala had pendapatan isi rumah per kapita naik daripada $3,600 kepada $4,800.
Dengan perubahan terbaru, yuran bulanan selepas subsidi bagi keluarga yang memerlukan sokongan lebih tinggi akan turun sekitar 25 hingga 80 peratus.
Isi rumah berpendapatan rendah akan membayar sehingga $10 sebulan bagi perkhidmatan berasaskan masyarakat seperti pusat kegiatan harian dan Program Kemahiran untuk Kehidupan (ESLP), berbanding $20 hingga $60 sekarang.
ESLP membekalkan PWD dewasa dengan kemahiran hidup berdikari, berhubung dengan orang lain, mengurus emosi dan pergaulan serta kemahiran kerja.
Pemerintah akan bekerjasama dengan agensi perkhidmatan sosial dalam beberapa tahun akan datang untuk menambah tempat serta melaksanakan perubahan yuran dan subsidi, menurut MSF.
Pasukan bertindak antara agensi itu akan mengumumkan saranannya pada awal Oktober.
Cik Wu Ping, 56 tahun, membayar $660 sebulan selepas subsidi untuk anaknya, Sherman Jian, 24 tahun, yang mempunyai pelbagai ketidakupayaan dan menghadiri program di TOUCH Centre for Independent Living sejak 2021, berbanding $1,135 sebelum perubahan Julai.
Beliau berkata: “Subsidi ini membuatkan saya rasa bukan kami sahaja yang menjaga anak ini... Ada juga pihak lain yang membantu kami.”
