Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kos sara hidup, kesihatan antara tumpuan pemerintah

Ucapan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong dalam bahasa Mandarin
Aug 20, 2023 | 9:22 PM
BERI TUMPUAN: Untuk mengurangkan beban kenaikan kos ke atas rakyat Singapura, pemerintah telah memberikan pelbagai subsidi.
BERI TUMPUAN: Untuk mengurangkan beban kenaikan kos ke atas rakyat Singapura, pemerintah telah memberikan pelbagai subsidi. - Foto MCI

Selama tiga tahun yang lalu, melalui pandemik, kita tetap bersatu, dan mengatasi cabaran. Kehidupan telah kembali normal.

Kita dapat menganjurkan Majlis Makan Malam Hari Kebangsaan sekali lagi, untuk meraikan Hari Kebangsaan.

Sesetengah rakyat Singapura telah mengamalkan tabiat baik memakai pelitup apabila mereka menghidap selesema atau demam, untuk melindungi diri mereka dan orang lain.

KOS SARA HIDUP

Tetapi walaupun kita bangkit daripada pandemik, keadaan luaran kian bermasalah. Ketegangan geopolitik semakin meningkat dan keadaan ekonomi antarabangsa tidak menentu.

Harga melambung di seluruh dunia, mengakibatkan kadar inflasi lebih tinggi.

Untuk mengurangkan beban kenaikan kos ke atas rakyat Singapura, pemerintah telah memberikan pelbagai subsidi.

Pada 2022, saya menggunakan kalendar untuk menunjukkan kepada anda, sokongan yang diterima oleh sebuah keluarga warga Singapura yang tinggal di flat HDB tiga bilik.

Ini termasuk rebat U-Save (Rebat Jimat Perbekalan), S&CC (Rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan), baucar CDC (Majlis Pembangunan Masyarakat), pemberian wang tunai dan tambah nilai MediSave, antara lainnya.

Pemerintah memberikan subsidi berbeza untuk membantu keluarga berpendapatan rendah, hampir setiap bulan. Warga Singapura yang lain juga mendapat subsidi. Semua orang sepatutnya menerimanya.

Kita juga mempunyai kalendar pada 2023 ini. Seperti 2022 yang lepas, pemerintah akan terus memberikan pelbagai subsidi hampir setiap bulan.

Pada Ogos, kami memberi pembayaran tunai dan tambah nilai MediSave. Akan ada juga subsidi pada September; kemudian rebat U-Save dan S&CC pada Oktober dan Bayaran tunai Pakej Jaminan pada Disember.

Pada Januari 2024, akan diberikan Baucar CDC sekali lagi. Sesuai masanya bagi semua orang membeli barang untuk Tahun Baru Cina.

Kita menunaikan janji untuk menjaga rakyat Singapura.

Kita tahu bahawa kenaikan GST (Cukan Barangan dan Perkhidmatan) tahun ini telah menjejas rakyat Singapura, jadi kita melancarkan Pakej Jaminan untuk mengurangkan tekanan ke atas rakyat Singapura, terutamanya keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Pada 2022, hasil penjimatan pemerintah, kita ada bajet lebihan. Oleh itu, dalam Belanjawan 2023 ini, kami meningkatkan lagi sokongan yang akan diberikan.

Baucar tambahan CDC, sangat popular.

Saya gembira langkah-langkah ini telah berkesan dan rakyat Singapura telah meraih manfaat daripadanya.

Mulai 1 Januari 2024, kami akan melaraskan GST kepada 9 peratus.

Kami akan meneruskan Pakej Jaminan, seperti yang dirancang.

Saya yakin ia akan berkesan dalam menampung kesan daripada pelarasan kepada 9 peratus.

Tetapi saya pasti anda tertanya-tanya: bolehkah kami meningkatkan lagi Pakej Jaminan.

Supaya semua orang mendapat bantuan tambahan?

Anda bertanya kepada saya, jadi saya bertanya kepada Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong. Beliau berkata akan mengkajinya dengan teliti.

Kita tunggu – dan sudah tentu, kami mengharapkan berita baik.

Bagaimanapun, kita mesti faham bahawa pemerintah tidak boleh terus-terusan memberikan subsidi.

Penyelesaian jangka panjang adalah menjadikan diri kita lebih produktif, mengubah perniagaan kita, dan mengembangkan ekonomi kita.

Kemudian pendapatan sebenar kita boleh meningkat dan kita semua boleh menjadi lebih baik.

Sebenarnya, pemerintah telah menstabilkan harga melalui pelbagai dasar.

Pada 1973, NTUC telah menubuhkan NTUC Welcome, sebelum NTUC FairPrice hari ini.

Misi sosialnya adalah untuk memastikan bahawa rakyat Singapura boleh membeli barangan keperluan dengan harga berpatutan.

Lima puluh tahun kemudian, FairPrice kini merupakan rangkaian pasar raya tempatan terbesar. Ia memainkan peranan utama mengekalkan kos pada tahap yang munasabah, jadi rakyat Singapura boleh terus membeli barangan yang berpatutan dan bermutu.

Akibatnya, pasar raya lain tiada pilihan selain mencontohi FairPrice dengan menawarkan promosi jenama mereka sendiri.

Untuk mengurangkan perbelanjaan harian, kita boleh membuat pilihan bijak semasa membeli keperluan harian.

Ramai rakyat Singapura tahu membandingkan harga. Mereka tahu pasar raya mana yang menawarkan harga paling rendah pada hari apa dan untuk barang apa. Mereka boleh pergi ke NTUC FairPrice hari ini, Sheng Siong esok dan Giant hari berikutnya.

Ada yang lebih bijak, guna aplikasi mudah alih seperti Price Kaki, atau akses kumpulan sembang untuk mencari di mana ‘lubang’ (tawaran) terbaik berada.

Jika anda daripada Generasi Perintis atau Merdeka, atau pemegang Kad Chas (Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat) warna biru, dari Isnin hingga Jumaat, anda boleh pergi ke pasar raya berbeza dan nikmati diskaun setiap hari.

Ramai orang mencari kaedah yang dapat menjimatkan wang, dan membeli barangan pada harga yang berbaloi demi memastikan mereka terus mempunyai wang untuk berbelanja.

Selagi kita bijak membeli-belah, kita masih boleh mendapatkan barang pada harga lebih murah.

WARGA EMAS KURANG BERUMUR

Saya tahu bahawa terdapat satu kumpulan yang amat mengambil berat tentang kos sara hidup. Mereka adalah orang yang hampir bersara – mereka yang kini berusia 50-an dan awal 60-an.

Di antara mereka, ada yang mempunyai ibu bapa yang semakin tua serta anak-anak, dan mereka bimbang jika mereka tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan.

Saya memahami kebimbangan generasi yang terhimpit ini. Anda perlu menyediakan keperluan untuk kedua-dua ibu bapa anda yang sudah tua dan juga anak-anak yang mungkin belum tamat pengajian mereka.

Pelbagai subsidi yang disediakan oleh pemerintah boleh membantu anda menguruskan soal kos sara hidup.

Tetapi anda mungkin masih bimbang anda tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan masa depan anda.

Ini kerana pendapatan anda semasa muda tidaklah setinggi mana sebagai anak muda Singapura hari ini.

Anda juga mempunyai landasan yang lebih pendek untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Singapura berbanding generasi muda.

Saya faham kebimbangan anda. Pemerintah akan membantu meringankan beban kewangan dan memberi bantuan yang disasarkan.

Jadi anda tidak perlu terlalu bimbang tentang persaraan anda.

Saya akan huraikannya dalam ucapan Bahasa Inggeris saya nanti.

SG LEBIH SIHAT

Selain daripada membantu warga emas membuat persediaan persaraan, kita juga mesti mengambil berat tentang kesihatan semua orang.

Kita semua akan menghadapi masalah kesihatan apabila kita semakin tua, terutamanya jika kita tidak menjaga diri semasa kita masih muda.

Kita mungkin ada tekanan darah tinggi, gula dalam darah yang tinggi, kolesterol tinggi, dan sakit badan.

Atau mempunyai masalah mobiliti, tidak dapat melihat atau mendengar dengan jelas dan tidak tidur lena.

Pada usia tua, menghidap pelbagai penyakit atau penyakit serius akan bermakna anda mungkin tidak dapat menjaga diri anda sendiri. Anda mungkin perlu dimasukkan ke hospital untuk tempoh yang lama. Ini boleh menjadi amat sukar untuk anda dan keluarga.

Pertama, pastinya akan ada beban kewangan yang besar. Ia tidak berbaloi untuk anda membelanjakan wang titik peluh anda bagi perbelanjaan perubatan.

Pada masa yang sama, menjaga pesakit tua di rumah adalah berat bagi seisi keluarga, secara fizikal dan mental.

Walau apa pun cara anda berfikir tentang ini, ingatlah, kesihatan harus diutamakan.

Oleh itu, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Untuk membantu rakyat Singapura mengekalkan kesejahteraan fizikal dan mental mereka:

Kementerian Kesihatan melancarkan ‘SG Lebih Sihat’ pada Julai 2023. Isteri saya dan saya telah mendaftar.

SG Lebih Sihat adalah satu perubahan besar dalam sistem penjagaan kesihatan kita. Pemerintah mengalihkan tumpuan kepada pencegahan penyakit.

Kami menggalakkan semua orang mempunyai doktor keluarga biasa. Selain daripada memberikan nasihat perubatan, doktor anda juga boleh mengatur rancangan penjagaan kesihatan untuk anda.

Di samping itu, doktor keluarga anda juga akan sentiasa menghubungi anda untuk menilai keadaan kesihatan anda.

Saya difahamkan masih ramai yang keberatan untuk kerap berjumpa doktor. Ada juga yang berasa tidak sihat, tetapi enggan berjumpa doktor kerana khuatir mendengar berita buruk tentang kesihatan mereka.

Saya harap awak boleh ubah fikiran. Temui doktor anda secara kerap; dengar nasihat mereka; dan pupuk tabiat yang baik untuk menjaga kesihatan anda.

Pemerintah akan menyediakan pelbagai subsidi untuk mengurangkan kos perubatan anda.

Dengan pelaksanaan SG Lebih Sihat, Kementerian Kesihatan akan meningkatkan perbelanjaannya untuk penjagaan pencegahan. Ini akan membolehkan anda beralih ke usia tua dengan baik dan kurangkan perbelanjaan untuk bil perubatan anda dalam jangka masa panjang.

Mudah-mudahan dengan cara ini, kita boleh memperlahankan kenaikan kos perbelanjaan penjagaan kesihatan negara, secara keseluruhannya.

Jadi harap bantu kami menjaga kesihatan anda, supaya anda boleh menikmati lebih banyak lagi saat-saat yang menyeronokkan bersama keluarga anda.

Sila daftar untuk SG Lebih Sihat.

Perlu diingat: “Kesihatan itu berharga, dan pencegahan menjadi kunci demi memastikan keluarga kita tidak khuatir.”

KESIMPULAN

Pandemik Covid-19 selama tiga tahun adalah krisis yang serius. Kita menghadapi cabaran dengan tenang, bertindak secara rasional, dan bekerjasama secara bersatu padu untuk mengatasi krisis.

Singapura adalah antara beberapa negara pertama yang bangkit daripada krisis dan cepat pulih semula.

Singapore Airlines terbang tinggi sekali lagi, dan ramai penumpang kembali ke Lapangan Terbang Changi. Ramai pelancong berkunjung ke sini, dan ramai juga warga Singapura melancong ke luar negara.

Pelabur melihat prestasi kami semasa pandemik dan memperoleh lebih banyak keyakinan terhadap Singapura.

Kami menarik banyak pelaburan baru melalui krisis dan selepas itu, kegiatan ekonomi telah meningkat di sini.

Sebagai hab kewangan sejagat, kami semakin berkembang maju berbanding sebelum ini.

Kami juga telah mengukuhkan kedudukan sebagai hab serantau untuk teknologi, R&D (penyelidikan dan pengembangan) serta logistik.

Semua ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia adalah kerana kami telah merancang lebih awal dan mengekalkan kepercayaan bersama antara pemerintah dengan rakyat Singapura, bekerja rapat antara satu sama lain untuk menjadikan impian kita menjadi kenyataan.

Peristiwa baru-baru ini yang melibatkan tokoh-tokoh politik telah membuatkan sebahagian rakyat Singapura gelisah. Mereka tertanya-tanya sama ada terdapat sesuatu yang tidak kena dengan sistem kami.

Tiada sistem yang sempurna.

Sama ada peristiwa ini akan menjadi tamparan kepada Singapura, bergantung kepada bagaimana kita bertindak balas.

Saya dan pasukan saya pasti akan melakukan yang terbaik untuk mengekalkan sistem politik Singapura yang bersih dan berkesan, serta reputasi kita yang tidak boleh dicemar.

Perdana Menteri pengasas kita, Encik Lee Kuan Yew, menangani situasi yang sama secara tegas.

Saya telah menangani perkara ini dengan cara yang sama.

Saya percaya pengganti saya akan berbuat demikian juga.

Tahun ini adalah ulang tahun ke-100 kelahiran Encik Lee Kuan Yew. Walaupun kita ingat beliau, kita juga kena ingat bimbingannya.

Encik Lee berpendapat bahawa adalah penting untuk sentiasa mengingati kebenaran walaupun sukar, jika negara kita mahu terus hidup.

Pertama, jangan biarkan politik kita menjadi korup.

Pada masa yang sama, mengekalkan standard integriti tertinggi, supaya Singapura boleh terus berfungsi dengan baik.

Dengan ini sebagai asas, kami boleh melaksanakan nilai teras kami.

Kesaksamaan dan meritokrasi

Tunjukkan yang terbaik dalam kalangan rakyat kita dan berusaha untuk kecemerlangan,

Kembangkan ekonomi kita untuk meningkatkan kehidupan rakyat Singapura dan

Membina masyarakat berbilang kaum dan harmoni

Apa yang kita lihat Siingapura hari ini, adalah kerana ketabahan dan keazaman bapa pengasas kita.

Marilah kita menjunjung cita-cita pembinaan negara bapa pengasas kita.

Supaya Singapura boleh terus makmur dan maju, tabahlah menghadapi angin dan badai yang datang menghampiri kita, dan terus berusaha untuk hari esok yang lebih baik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg