Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kpod: Remaja S’pura pertama dimasuk ke DRC; pas jangka panjang warga asing dibatal

Dec 8, 2025 | 7:06 PM
Kpod, DRC, warga asing
Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang didapati bersalah memiliki vape ditempatkan di Pusat Pemulihan Dadah (DRC) selama dua bulan atas tiga kesalahan. - Foto ST

Seorang remaja lelaki warga Singapura berusia 16 tahun yang menyalahgunakan dadah sintetik, etomidate, ditempatkan di Pusat Pemulihan Dadah (DRC), Jabatan Penjara Singapura, pada 27 November selama dua bulan, di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA), selepas ditangkap atas tiga kesalahan berkaitan bahan berkenaan.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berkata pada 8 Disember, remaja itu merupakan penyalah guna etomidate pertama yang dimasukkan ke DRC sejak bahan tersebut digolongkan sebagai dadah terkawal Kelas C, di bawah MDA pada 1 September.

Akhbar The Straits Times (ST) melaporkan remaja itu kali pertama dikesan memiliki vape pada 4 September.

Pada 2 Oktober pula, dia diberkas di rumahnya dengan beberapa vape yang kemudian didapati mengandungi etomidate, menjadikan kesalahan pertama remaja ini berkaitan bahan itu.

Dia mengulangi kesalahan tersebut dan ditahan pada 11 Oktober di rumahnya atas kesalahan memiliki dan mengambil etomidate di bawah MDA.

Kesalahan ketiganya berlaku pada 23 Oktober apabila dia ditangkap selepas pertuturannya didapati tidak jelas di samping berkelakuan tidak normal di dalam sebuah kereta sewa.

Pesalah etomidate yang ditempatkan di DRC akan menjalani program pemulihan untuk menangani risiko mengulangi kesalahan, termasuk program pembetulan berasaskan psikologi, program kekeluargaan, sokongan prososial, dan kaunseling agama.

Selepas dibebaskan dari DRC, mereka akan menjalani ujian dadah berkala serta pengawasan dalam masyarakat. T

Tempoh keseluruhan pemulihan dalam DRC dan pengawasan seterusnya dalam masyarakat adalah 12 bulan.

Sementara itu, pada 14 November, pas lawatan jangka panjang seorang remaja perempuan warga Myanmar berusia 15 tahun dibatalkan oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) selepas dia didapati memiliki pod vape yang mengandungi etomidate semasa pemeriksaan rutin pihak polis.

Ini merupakan kes pertama kemudahan imigresen jangka panjang seorang warga asing dibatalkan kerana memiliki vape etomidate. 

Di bawah rangka kerja antivape yang dipertingkat dan berkuat kuasa pada 1 September, warga asing yang didapati memiliki atau menggunakan vape berisi etomidate, atau diuji positif etomidate, boleh dibatalkan pas atau kemudahan imigresen mereka serta diusir dan disekat daripada kembali ke Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg