Topik diikuti
Pergi ke BHkuKriteria dilonggar, lebih banyak prasekolah kecil layak terima geran
Sejajar usaha S’pura bolehkan lebih banyak keluarga nikmati yuran lebih rendah
Kriteria dilonggar, lebih banyak prasekolah kecil layak terima geran
Pengendali prasekolah kecil mungkin lebih mudah mendapat geran baharu untuk menyertai rangkaian prasekolah yang menawarkan yuran lebih rendah kepada keluarga.
Kriteria geran itu akan dilonggarkan berbanding syarat yang diperlukan bagi skim Pengendali Rakan Kongsi (POP) yang disokong pemerintah.
Langkah ini membolehkan lebih ramai pengendali kecil memenuhi syarat kelayakan, kata Menteri Negara Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming.
Maklumat lanjut akan diumumkan menjelang akhir 2026.
Dalam temu bual dengan The Straits Times (ST), Encik Goh mengakui terdapat pusat prasekolah kecil yang sangat komited terhadap tugas mereka dan mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat setempat.
Pada masa ini, prasekolah mesti dimiliki pengendali yang bersaiz tertentu untuk layak menyertai skim POP.
Skim itu menetapkan bahawa pengendali perlu mematuhi had yuran yang ditetapkan serta memenuhi piawaian mutu.
Menurut Encik Goh, kriteria saiz prasekolah antara kritieria yang akan dilonggarkan bagi membolehkan pengendali lebih kecil dipertimbangkan untuk geran tersebut.
Langkah itu sejajar dengan usaha Singapura memperluas rangkaian prasekolah yang disokong pemerintah bagi membolehkan lebih banyak keluarga menikmati yuran lebih rendah.
Menjelang 2030, yuran penjagaan kanak-kanak sepanjang hari di pusat-pusat itu akan turun kepada $150 sebulan, manakala yuran penjagaan bayi kepada $300 sebulan.
Namun, sesetengah prasekolah swasta bimbang mereka akan bergelut untuk bersaing dengan yuran yang lebih rendah.
Susulan pengumuman di Rapat Hari Kebangsaan (NDR), Encik Goh bertemu pengendali prasekolah bagi mendengar kebimbangan mereka terhadap kesan perubahan tersebut.
Sesetengah pengendali yang gagal dalam permohonan sebelum ini berharap geran transformasi itu, yang pertama kali diumumkan oleh Encik Goh pada 28 Ogos, dapat memberi mereka peluang sekali lagi untuk menyertai rangkaian POP.
Rangkaian itu kini merangkumi 380 pusat prasekolah di bawah pengurusan 33 pengendali.
Pengendali itu dilantik untuk tempoh lima tahun dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2030.
Pengendali yang memenuhi syarat dan berminat menyertai rangkaian itu akan diberikan bantuan, kata Encik Goh.
Menurut beliau, persaingan lebih sengit dalam sektor tersebut akhirnya akan memberi manfaat kepada kanak-kanak.
Persaingan yang meningkat akan mendorong prasekolah agar “lebih berinovasi dan mencipta nilai tawaran yang lebih kukuh”, ujar Encik Goh.
Beliau yang diwawancara pada 23 Oktober lalu di bangunan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) susulan satu setengah tahun pertamanya dalam bidang politik, berkata:
“Sektor ini tidak akan menjadi lebih seragam... Apabila kami menambah persaingan, saya jangka ia akan menjadi lebih pelbagai, lebih berwarna-warni dan lebih menarik untuk anak-anak kita.”
Minat dan keprihatinannya terhadap pendidikan awal kanak-kanak didorong oleh pengalamannya sendiri sebagai bapa kepada tiga anak.
Encik Goh, 43 tahun, pernah membangkitkan topik itu dalam sesi minum teh atau temu duga ketika dipertimbangkan untuk menceburi politik.
Pada 2017, keluarganya sukar mendapatkan tempat prasekolah untuk anak lelakinya yang berusia tiga tahun.
“Saya sukar mencari prasekolah, dan yurannya tidak murah, justeru pengalaman saya tentang landskap prasekolah dibentuk sedikit sebanyak oleh hal itu,” kata Encik Goh, mantan brigedier jeneral yang berkhidmat lebih dua dekad dalam tentera.
Beliau antara beberapa anggota politik yang dinaikkan pangkat dalam rombakan Kabinet terbaharu pada Julai.
Sebelum itu, Encik Goh berkhidmat sebagai Menteri Negara di kedua-dua kementerian.
Sejak menyertai MSF, beliau semakin menghargai kemajuan yang telah dicapai sektor prasekolah selama bertahun-tahun, walaupun beliau berpendapat lebih banyak yang boleh dilakukan.
Matlamatnya ialah memastikan prasekolah berhampiran rumah penduduk, mampu dimiliki dan bermutu, kata Encik Goh, yang turut mengetuai jawatankuasa penasihat antarabangsa baharu yang ditubuhkan Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (Ecda) pada September 2026.