Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrasekolah wajib ada alat pembersih udara di ruang utama pembelajaran semasa keadaan jerebu
Prasekolah wajib ada alat pembersih udara di ruang utama pembelajaran semasa keadaan jerebu
Prasekolah wajib ada alat pembersih udara di ruang utama pembelajaran semasa keadaan jerebu
Semua prasekolah diwajibkan mempunyai alat pembersih udara di ruang utama pembelajaran untuk digunakan oleh kanak-kanak dalam keadaan jerebu, kata Menteri Negara Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming.
Beliau berkata lebih 90 peratus prasekolah setempat dilengkapi dengan alat penyaman udara, walaupun ia tidak diwajibkan bagi tujuan pengurusan jerebu.
Ini kerana penapis penyaman udara konvensional secara umumnya tidak begitu berkesan untuk menapis zarah pencemar halus di udara atau dikenali sebagai PM2.5.
Prasekolah yang tidak mempunyai alat penyaman udara pula sebaliknya menggunakan kipas bagi membantu peredaran udara dan keselesaan di premis.
Beliau menambah bahawa semua kegiatan di luar akan digantung apabila ramalan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam menjangkau paras 200.
Semua kegiatan fizikal di dalam bangunan juga akan dihentikan apabila bacaan terkini bagi PM2.5 mencecah tahap “Sangat Tinggi” iaitu Tahap 4.
Encik Goh berkata demikian di Parlimen sebagai jawapan kepada soalan yang diajukan Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh), Encik Jamus Lim (GRC Sengkang), dan Cik Lee Hui Ying (GRC Nee Soon) berhubung langkah pengurusan terhadap jerebu di peringkat prasekolah pada 3 November.
Ini termasuk bilangan pusat prasekolah yang tidak mempunyai alat penyaman udara dan sama ada kesan langkah pengawalan jerebu terhadap kanak-kanak dan para pendidik telah diberi penilaian.
Encik Goh berkata: “Pihak prasekolah telah dinasihatkan untuk membuat penyesuaian yang sewajarnya bagi menyokong kesejahteraan pendidik.
“Ini termasuk memastikan tempoh rehat yang mencukupi, memberikan sokongan kepada kakitangan yang mungkin lebih terjejas dek jerebu, dan menyemak semula aturan menempatkan semula kakitangan jika ia boleh dilaksanakan.”
Beliau menambah bahawa pihak prasekolah juga telah mengambil langkah berjaga-jaga tambahan sekiranya mutu udara kian merosot.
Jika ini berlaku, sebuah bilik tertutup dengan pengaliran udara dan dilengkapi dengan alat pembersih udara berfungsi harus disediakan untuk kanak-kanak yang jatuh sakit.
Pihak prasekolah turut perlu mengenal pasti kanak-kanak dengan masalah pernafasan, masalah paru-paru atau masalah jantung kronik lebih awal dan memastikan ubat mereka tersedia dan dapat diakses secara mudah, ujarnya.