Topik diikuti
Pergi ke BHkuKuasai AI agar dapat rebut peluang ekonomi
Meskipun para pekerja boleh diyakinkan bahawa mereka akan disokong bagi merebut peluang pertumbuhan dalam ekonomi baharu, mereka juga mesti berusaha untuk beralih ke bidang kerja atau mempelajari kemahiran baharu, kata Encik Abdul Samad Abdul Wahab, Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Cik Noor Irdawaty Jammarudin, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Persekitaran Binaan dan Perdagangan Bandar (Batu), pula menggesa pekerja agar kekal berupaya menyesuaikan diri dengan memahami bagaimana kecerdasan buatan (AI) dapat digunakan dalam skop kerja khusus mereka.
Demikian adalah antara pandangan yang disuarakan kepada Berita Harian (BH) susulan ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2026 oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 23 Ogos.
Dalam ucapannya, Encik Wong memberi jaminan bahawa pemerintah tidak akan membiarkan pekerja ketinggalan sedang teknologi semakin maju.
Sebaliknya, pemerintah akan menyokong pekerja sepanjang tempoh transisi ini tatkala Singapura mengguna pakai teknologi baharu seperti, sebagai contoh, kenderaan autonomi.
Sehubungan dengan itu Encik Abdul Samad berkata:
“Kalau kita mahu meningkatkan pendapatan, mendapatkan gaji yang lebih baik atau bonus yang lebih tinggi, maka kita perlu memanfaatkan AI.
“Begitu juga dengan teknologi lain dan ilmu yang ada. Dengan memanfaatkannya, kita mungkin dapat terus maju sebagai pekerja dan sebagai masyarakat Melayu/Islam.”
Dalam pada itu, Cik Irdawaty pula mengesyorkan bahawa masyarakat tidak perlu menjadi “pakar AI dengan sekelip mata”.
“Mulakan dengan memahami bagaimana AI boleh membantu dalam pekerjaan anda sendiri.
“Pekerjaan akan terus berubah dan berkembang, jadi perkara yang penting adalah untuk terus belajar, kekal mudah menyesuaikan diri dan memanfaatkan AI untuk membantu kita, bukannya berasa takut terhadapnya,” kata Cik Irdawaty.
Di samping itu, Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang juga Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC turut menyarankan agar usaha dimulakan dari peringkat akar umbi untuk membina pendedahan dan kesedaran.
“Saya rasa peringkat akar umbi ini adalah langkah pertama yang perlu kita lakukan, kerana dengan adanya kesedaran, kita berharap mereka dapat melangkah ke peringkat seterusnya dan memanfaatkan AI dengan lebih baik,” ujar Dr Wan Rizal.
