Singapura tidak boleh mengambil pendekatan teragak-agak atau menyekat penggunaan teknologi baharu di sini, hanya kerana ia menimbulkan gangguan.

Sebaliknya, negara ini perlu memanfaatkan teknologi “mengikut pertimbangannya sendiri”, kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.

Sungguhpun demikian, beliau memberi jaminan pemerintah tidak akan membiarkan pekerja terbengkalai atau jauh ketinggalan dimamah teknologi dan sebaliknya, menyokong mereka melalui peralihan sedang Singapura memanfaatkan teknologi baharu.

Ketika menyampaikan ucapan bahasa Inggeris dalam Rapat Hari Kebangsaan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio pada 23 Ogos, Encik Wong berkata penyesuaian Singapura dalam memanfaatkan teknologi baharu dapat menjana pekerjaan lebih baik dan mencipta peluang baharu bagi rakyatnya.

Beliau menjelaskan: “Untuk kekal relevan, ia bermakna kita harus menyesuaikan diri dengan perubahan.

“Singapura telah melakukan penyesuaian ini menerusi setiap peralihan teknologi utama – kita melakukannya semasa era perindustrian, kemudian kewujudan komputer dan Internet.

“Setiap kali kita menguasai teknologi baharu, kita berjaya menarik syarikat-syarikat utama ke Singapura dan melengkapkan rakyat dengan kemahiran baharu.”

“Begitulah cara mencipta pekerjaan lebih baik dan peluang baru bagi rakyat kita.”

Encik Wong memberi contoh penggunaan kenderaan berautonomi (AV) yang kini dalam fasa ujian di daerah Punggol.

Jika teknologi AV ini terbukti berkesan, ia akan diperluaskan ke daerah lain, katanya.

Namun dengan teknologi sedemikian, beliau akur ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan para pemandu teksi dan e-panggilan kerana teknologi tersebut berupaya mengganggu mata pencarian mereka.

Oleh demikian, beliau berkata pemerintah tidak akan membiarkan penggunaan teknologi seperti AV “mendahului keupayaan Singapura untuk melatih semula dan menyokong pemandu”, di samping membantu golongan terjejas beralih kepada pekerjaan baharu.

Sehubungan itu, Encik Wong menggariskan pendekatan Singapura terhadap perubahan teknologi.

Ini merangkumi keupayaan memanfaatkan setiap peluang yang ada sepenuhnya, mengurus sebarang gangguan dek teknologi baharu dan meletakkan langkah perlindungan jika wujud risiko sebenar kepada masyarakat.

Dalam proses Singapura guna pakai teknologi baharu, beliau berkata negara ini tidak akan memanfaatkannya secara sesuka hati tanpa unsur periksa.

Sebaliknya, penilaian risiko dan langkah perlindungan akan dilaksanakan terlebih dahulu, di samping memastikan terdapat campur tangan manusia dalam mengawal sesebuah teknologi, ujar Encik Wong.

Beliau menukil kecerdasan buatan (AI) sebagai salah satu contoh teknologi baharu yang dapat membuka peluang dan pada yang sama, boleh membawa padah jika penggunaannya tidak terkawal.

“Kita sudah pun melihat tanda-tanda perkara ini menerusi AI.

“Baru-baru ini OpenAI telah menguji dan melatih salah satu ejennya.

“Ia telah diberikan tugas tertentu untuk diselesaikan.

Namun, ia melangkaui persekitaran ujiannya, lolos ke (persekitaran) Internet yang lebih luas, dan menceroboh sistem syarikat lain.

“Tiada sesiapa yang mengarahkan ejen AI tersebut untuk menyerang syarikat berkenaan.

Namun, dalam usaha menyelesaikan tugasnya, ejen itu melakukan tindakan yang tidak diingini oleh pembangunnya,” ujar Encik Wong, yang juga pengerusi Majlis AI Kebangsaan yang dilancarkan pada Februari.

Oleh demikian, beliau berkata Singapura akan memainkan peranannya dalam menyatukan negara dan syarikat untuk membina gabungan bersama, bagi mewujudkan langkah perlindungan yang praktikal.