Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kucing liar terakhir S’pura mungkin temui habitat baru, hadapi ancaman

Feb 4, 2025 | 2:31 PM
Terdapat dua laporan penemuan kucing hutan di Changi pada 2024.
Terdapat dua laporan penemuan kucing hutan di Changi pada 2024. - Foto TANGKAP LAYAR SINGAPORE WILDCAT ACTION GROUP

Kucing hutan atau leopard cat (Prionailurus bengalensis) yang sukar ditemui biasanya berkeliaran di pulau-pulau luar pesisir serta kawasan tadahan tengah dan barat Singapura. 

Namun, terdapat bukti bahawa spesies tersebut kini mungkin berada di Changi juga, lapor The Straits Times.

Kumpulan Tindakan Kucing Liar Singapura (Swag), yang dianggotai sukarelawan, merancang untuk menjalankan tinjauan pantas di kawasan pesisir Changi pada 2025 dan akan memohon permit penyelidikan daripada Lembaga Taman Negara (NParks), kata pengarah bersamanya, Dr Vilma D’Rozario.

Beliau berkata: 

“Kami ingin memantau kehadiran kucing hutan di kawasan berhampiran tapak pembinaan terminal lapangan terbang baru Singapura, kerana jumlah kenderaan berat yang tinggi di sana.”

Pembinaan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi dijangka bermula pada separuh pertama 2025 dan terminal mega tersebut dijadualkan beroperasi pada pertengahan 2030-an.

Terdapat beberapa insiden kucing hutan yang aktif pada waktu malam menjadi mangsa jalan raya atau roadkill, kata Dr D’Rozario.

“Dalam tempoh 25 tahun lalu, lima kucing hutan ditemui mati di jalan raya Singapura – jumlah yang terlalu tinggi apabila populasi spesies ini dianggarkan kurang daripada 50 ekor,” tambahnya.

Mangsa jalan raya tersebut ditemui di beberapa lokasi berbeza, termasuk di Ekspreswe Bukit Timah (BKE) berhampiran Mandai Road, Mandai Lake Road, Jalan Bahar, Neo Tiew Road dan Changi Coast Road.

Insiden di Changi berlaku pada 2018, namun pada 2024, terdapat dua laporan penemuan kucing hutan di kawasan yang sama, kata Dr D’Rozario.

“Kami ingin melihat langkah-langkah pencegahan dilaksanakan bagi menangani ancaman nyata ini,” tambahnya.

Penemuan terbaru ini mungkin menunjukkan bahawa terdapat populasi kucing hutan di Changi, tetapi sesetengah penyelidik berpendapat sebaliknya.

Menurut, pensyarah di Jabatan Sains Biologi, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Ian Chan, kucing hutan yang dikesan di Changi berkemungkinan besar telah berenang dari Pulau Tekong atau Pulau Ubin, memandangkan jarak Changi dari habitat asal spesies tersebut di Singapura.

Beliau berkata:

“Saya rasa agak mustahil terdapat populasi kucing hutan yang stabil di Changi. Namun, tinjauan seperti yang dicadangkan oleh Swag pasti dapat memberikan lebih banyak maklumat kepada kita.

“Dan setiap kucing hutan sangat penting bagi populasi kecil spesies ini yang masih ada di Singapura.”

Walaupun spesies kucing hutan masih banyak di seluruh dunia, ia diklasifikasikan sebagai spesies terancam di Singapura, menurut Buku Data Merah Singapura, yang mendokumentasikan nama saintifik, nama umum serta penerangan tentang setiap spesies flora dan fauna di Singapura.

Bagi melindungi populasi kucing hutan yang masih wujud, kumpulan Swag telah mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil oleh orang ramai dalam satu hantaran di Facebook pada 1 Februari.

Pertama, pemandu kenderaan digalakkan memperlahankan kelajuan apabila melalui kawasan berhampiran hutan pemuliharaan alam semula jadi, dan sentiasa berwaspada terhadap kehadiran hidupan liar di jalan raya.

Pengunjung taman dan hutan pemuliharaan alam disaran meninggalkan kawasan tersebut sebelum tujuh malam, tidak memberi makan kepada hidupan liar, serta memastikan mereka hanya berjalan di laluan yang ditetapkan.

Jika ternampak kucing hutan yang cedera, orang ramai boleh melaporkannya kepada NParks melalui talian 1800-476-1600 atau hotline penyelamat hidupan liar Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) di 9783-7782.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai spesies tersebut boleh mendaftar untuk lawatan berpandu kucing hutan anjuran Swag menerusi pautan berikut:
https://www.swagcat.org/store/Leopard-Cat-QUEST-@Ubin-p450716014

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg