Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan kerja kesihatan mental saran strategi nasional cegah bunuh diri

Kertas Putih akan diserah kepada pemerintah akhir Sep
Sep 10, 2024 | 2:25 PM
Kematian akibat bunuh diri dalam golongan usia 10-29 tahun jatuh pada 2023, namun ia adalah punca utama kematian dalam golongan ini.
Kematian akibat bunuh diri dalam golongan usia 10-29 tahun jatuh pada 2023, namun ia adalah punca utama kematian dalam golongan ini. - Foto ST

Usaha melibatkan seluruh masyarakat diperlukan bagi mencegah lebih banyak kes bunuh diri yang menjejas golongan muda.

Langkah itu adalah antara cadangan sebuah kumpulan yang menerbitkan laporan 160 muka surat menggariskan strategi pencegahan bunuh diri nasional untuk Singapura.

Kertas Putih itu juga menyarankan supaya mengadakan pejabat kebangsaan yang menyelaraskan pelbagai usaha anti-bunuh diri yang berfungsi secara bebas daripada perkhidmatan kesihatan mental, sistem pengawasan yang menghasilkan lebih banyak data tetap, dan kempen kesedaran awam mengenai pencegahan bunuh diri.

Kertas Putih itu dilancarkan pada 10 September oleh kumpulan berasaskan komuniti SG Mental Health Matters, yang diketuai mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Cik Anthea Ong. Ia akan dibentangkan kepada pemerintah pada akhir September.

Diberi nama Projek Hayat, laporan itu termasuk penemuan penyelidikannya sendiri dan 23 cadangan untuk menangani jurang dalam pencegahan bunuh diri di sini.

Menerajui senarai cadangannya ialah penubuhan pejabat kebangsaan yang diberi kuasa dan dibiayai untuk menyelaraskan data, pemantauan dan campur tangan merentas pelbagai sektor dalam pemerintah dan komuniti.

Ia merupakan kajian pertama mengenai pencegahan bunuh diri di Singapura yang dilakukan selepas pelancaran strategi kesihatan mental dan kesejahteraan negara Singapura pada awal 2024.

Cik Ong berkata pemerintah dan kumpulan masyarakat telah mengorak langkah dalam pencegahan bunuh diri, tetapi negara ini kurang rangka kerja bagi tindakan yang diselaraskan kepada seluruh ekosistem yang memberi tumpuan kepada bunuh diri secara khusus dan bukan hanya diletakkan dalam rangka kerja kesihatan mental.

“Kami... ada menyebut tentang pencegahan bunuh diri dalam Strategi Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Kebangsaan, tetapi sekali lagi, itu tidak lengkap kerana tidak semua kes bunuh diri (boleh) dikaitkan dengan penyakit mental, dan bukan semua yang mempunyai masalah kesihatan mental ada kecenderungan membunuh diri,” kata beliau.

“Tanpa strategi dan rangka kerja nasional, kita juga tidak akan dapat mengetahui usaha mana yang menyumbang kepada peningkatan atau pengurangan kadar bunuh diri,” tambahnya.

Projek Hayat merupakan satu usaha yang diterajui komuniti, dipandu oleh kumpulan kerja terdiri daripada penggubal dasar, pakar tentang bunuh diri, penyelidik, pekerja komuniti dan profesional pembantu, pemimpin agama, pemimpin korporat, wakil media dan individu yang hidupnya terjejas akibat bunuh diri.

Dr Jared Ng, pakar psikiatri dan pengarah perubatan di Connections MindHealth, salah seorang daripada tiga ketua bersama projek itu, memberitahu akhbar The Straits Times (ST) bahawa dengan adanya sistem pengawasan, ia akan menyediakan bukan sahaja data bunuh diri yang lebih kerap, bahkan maklumat tentang bagaimana orang mengambil nyawa mereka sendiri serta bilangan yang telah cuba berbuat demikian.

Ini akan membenarkan pemerintah menjadi lebih proaktif dalam memilih kawasan yang memerlukan perhatian lebih, katanya.

Pada masa ini, data bunuh diri dikeluarkan setiap tahun oleh badan amal pencegahan bunuh diri Samaritans of Singapore.

Sebanyak 322 kes bunuh diri dilaporkan di sini pada 2023 – turun 32.4 peratus daripada 2022 dengan 476 kes bunuh diri – jumlah tertinggi sejak SOS mula merekodkan data pada 2000.

Walaupun kematian akibat bunuh diri dalam kalangan mereka yang berumur 10-29 jatuh pada 2023, bunuh diri adalah punca utama kematian dalam kalangan kumpulan ini tahun kelima berturut-turut – membentuk 29.2 peratus daripada semua kematian dalam kumpulan umur ini.

Projek Hayat menunjukkan penambahbaikan lanjut yang boleh dibuat kepada usaha tindak balas krisis semasa.

Sebagai contoh, penderia pancaran inframerah mungkin dipasang untuk mengesan akses ke kawasan yang tidak selamat atau tidak dibenarkan di bangunan tinggi, pemerhati kejiranan boleh dimulakan dan intervensi keselamatan dalam talian dilaksanakan termasuk menghalang akses kepada bahan dalam talian yang mengagungkan bunuh diri.

Kertas kerja itu juga meningkatkan nilai mengukuhkan keluarga dan komuniti untuk mengurangkan risiko bunuh diri, dan berkata lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengenal pasti kumpulan yang berisiko lebih besar menghadapi cabaran kesihatan mental, kecederaan diri atau bunuh diri.

Di samping itu, sekolah, pertubuhan agama dan tempat kerja dikenal pasti sebagai kumpulan yang perlu disokong secara berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dalam pencegahan bunuh diri merentasi semua peringkat umur.

Dr Ng, yang sebelum ini merupakan mantan ketua jabatan kecemasan dan penjagaan krisis di Institut Kesihatan Mental, menyatakan bahawa penyelidikan dari Amerika Syarikat pada 2018 menunjukkan bahawa setiap kes bunuh diri menjejas sehingga 135 orang.

“Saya telah melihat keluarga yang hancur akibat kesan bunuh diri dan ini menyebabkan mereka berisiko lebih tinggi, dan terdapat juga kesan berganda dalam masyarakat.

“Sebagai sebuah masyarakat, kita perlu mengakui kesan emosi yang mendalam akibat bunuh diri dan kesusahan yang boleh timbul kerananya, dan tahu bagaimana menyokong mereka yang terjejas,” katanya.

Kadangkala, sokongan itu boleh termasuk perbuatan kecil yang mudah.

Menurutnya, jika seseorang kelihatan dalam kesusahan, hanya dengan adanya pihak yang sedia mendengar luahan hati mereka boleh membuat perubahan.

Menggalakkan mereka menghubungi orang yang dipercayai atau mendapatkan bantuan profesional, juga boleh membantu.

Setahun berusaha, Projek Hayat menawarkan penemuan terkumpul daripada orang yang cuba membunuh diri sendiri, mereka yang bekerja dengan orang yang berisiko, atau menyaksikan sendiri kehilangan yang menyayat hati.

“Mengukuhkan pengalaman peribadi sedemikian dengan penyelidikan yang diterbitkan serta data baru dan wawancara pihak berkepentingan antarabangsa telah mengesahkan beberapa cadangan utama kerja kami,” kata Dr Rayner Tan, penolong profesor di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Dr Tan ialah ketua bersama ketiga, dan beliau mengetuai penyelidikan menghasilkan Kertas Putih.

Lebih 500 responden, mewakili semua peringkat umur, jantina dan etnik Singapura, menyumbang lebih daripada 4,000 perspektif dan cadangan dalam fasa pertama perundingan awam Projek Hayat mengenai OPPi, satu platform penglibatan rakyat.

Projek itu menunjukkan walaupun rakyat Singapura mengiktiraf usaha pemerintah dalam pencegahan bunuh diri, hanya separuh tahu cara mengakses bantuan untuk perkhidmatan sokongan.

Selain pemerintah, Kertas Putih itu juga akan dibentangkan kepada pihak berkepentingan lain termasuk lembaga sekolah dan pengetua, kumpulan majikan, institusi penjagaan kesihatan dan agama, dan pemimpin masyarakat.

Ia dilancarkan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia pada 10 September di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock.

Jika dan apabila ia diterima pakai, Singapura boleh menjadi negara Asean kedua yang mempunyai strategi pencegahan bunuh diri yang komprehensif, di belakang Indonesia, yang menerbitkannya pada Ogos 2023.

Laporan penuh Kertas Putih Projek Hayat boleh didapati di www.sgmentalhealthmatters.com.

Dokumennya akan dikemas kini dengan penemuan daripada fasa kedua perundingan awam yang dibuka di bit.ly/sgsuicideprevention sehingga akhir September 2024.

  1. Talian Bantuan
  2. Institut Kesihatan Mental: 6389-2222 (24 jam)
  3. Samaritans of Singapore: 1-767 (24 jam) / 9151-1767 (teks pesanan 24 jam menerusi WhatsApp)
  4. Persatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800-283-7019
  5. Sumber dalam talian: mindline.sg, eC2.sg, www.tinklefriend.sg
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg