Topik diikuti
Pergi ke BHkuKumpulan relawan belia S’pura mahu perluas impak, hulur bakti ke luar negara
Rangkaian sukarelawan IM Volunteers Network SG (IMVN) rai ulang tahun keenam; iktiraf 30 rakan kerjasama, sukarelawan
Kumpulan relawan belia S’pura mahu perluas impak, hulur bakti ke luar negara
Sempena sambutan ulang tahunnya yang keenam, rangkaian sukarelawan IM Volunteers Network SG (IMVN) berharap dapat mengukuhkan kerjasama dengan rakan kerjasama setempat dan serantau untuk memberi manfaat kepada lebih ramai orang yang memerlukan bantuan termasuk di luar Singapura.
Pengerusi IMVN, Cik Nur Sarah Mohamed Rafiq, 21 tahun, berkata matlamat tersebut merupakan antara tumpuan utama dalam memperluas impak kesukarelawanan rangkaian itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Berita Harian (BH) di acara sambutan ulang tahun keenam IMVN dan pelantikan ahli jawatankuasa baharunya di Swiss Club, di Swiss Club Road, pada 8 November.
“IMVN mempunyai potensi untuk menghubungkan golongan belia daripada pelbagai masyarakat dan negara.
“Ini membolehkan kita bertukar idea, berkongsi sumber dan bekerjasama dalam inisiatif yang menangani cabaran sosial,” kata beliau, yang juga merupakan antara sembilan anggota jawatankuasa yang dilantik semasa acara tersebut.
Acara tersebut turut dihadiri tetamu terhormat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aliyah Rizq Holdings, Encik Mohamad Nor Ashraf Abu Bakar, yang juga merupakan penaung rangkaian tersebut, serta pengasas IMVN, Encik Muhammad Imran Mean.
Dalam pada itu, acara tersebut turut mengiktiraf sumbangan 30 rakan kerjasama dan sukarelawan setempat serta serantau yang telah menyumbang kepada usaha dan pembangunan IMVN.
Antaranya ialah anggota rangkaian tersebut di Malaysia, Encik Muhammad Afiq Danial Md Azhar, yang menerima Anugerah Khas Pingat Bakti Internasional IMVN bagi sumbangannya dalam menyelaraskan kerjasama antara IMVN, sukarelawan belia dengan penerima bantuan di Malaysia.
Menurut Encik Afiq, beliau mula bekerjasama dengan IMVN pada 2024, di mana beliau terlibat dalam usaha pengagihan makanan dan barang keperluan kepada gelandangan serta penglibatan dengan anak yatim.
Baru-baru ini, Encik Afiq, 26 tahun membantu dalam penyelerasan kerjasasama antara IMVN dengan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, Gerakan Belia 4B Terengganu dan juga Kawasan Batu Pahat pada Ogos 2026.
Semasa projek sepanjang tiga hari itu, sekitar 35 sukarelawan dari ketiga-tiga badan itu telah mengagihkan barang keperluan dan makanan kepada penduduk di Terengganu.
IMVN turut menghulurkan bantuan barangan keperluan bernilai $200 untuk kerjasama itu.
Mereka juga berkongsi sumber maklumat pencarian pekerjaan di bandar dengan penduduk untuk memperkasa mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Harapan saya agar IMVN dapat memperluas kerjasama dengan lebih banyak negara seperti Thailand, Laos, Kemboja dan Filipina, sekali gus menggalak lebih ramai belia ASEAN untuk berganding bahu dalam usaha kesukarelawanan.
“Dengan adanya jaringan sukarelawan belia yang kukuh di peringkat ASEAN, kita dapat saling membantu sekiranya berlaku bencana besar atau krisis di negara-negara serantau yang memerlukan bantuan,” ujar Encik Afiq, yang merupakan seorang guru sekolah rendah di Johor.
Turut menerima Anugerah Sukarelawan Cemerlang Signaturesofimran (SOI)-IMVN yang disampaikan semasa acara tersebut ialah anggota IMVN di Singapura, Cik Nur Amylia Natasha Saiful Bahri.
IMVN, yang merupakan cabang kesukarelawanan di bawah agensi perundingan SOI Group, bekerjasama dengan SOI untuk menyampaikan anugerah tersebut bagi mengiktiraf sukarelawan yang banyak menyumbang kepada pembangunan rangkaian itu.
Menurut Cik Amylia, 18 tahun, beliau telah berjinak-jinak dalam kerja kesukarelawanan bersama IMVN sejak 2024.
Beliau antara lain menyertai kegiatan seperti pengagihan barang keperluan kepada penduduk setempat dan lawatan ke rumah anak yatim di Johor untuk menghulurkan bantuan.
Sepanjang penglibatannya, beliau berkata terdapat perubahan yang ketara pada dirinya.
“Sebelum ini, saya merupakan orang yang terlalu fokus pada kerja dan bekerja terlampau gigih sampai saya sendiri yang penat.
“Sejak saya sertai IMVN, saya mula mengenali sifat ihsan dengan lebih mendalam dan saya menjadi lebih penyayang terhadap diri saya dan orang sekeliling,” ujar beliau, yang juga merupakan pelajar tahun kedua dalam jurusan sains biomedikal di Politeknik Republic.
Beliau kini menguruskan pentadbiran media sosial IMVN dan berharap dapat terus berkhidmat kepada masyarakat sambil membina perwatakannya.
Mengulas tentang visi beliau sebagai pengerusi IMVN yang baharu, Cik Sarah berkata:
“Saya berharap IMVN akan terus berkembang, berpegang teguh pada matlamatnya dan terus membawa impak yang bermakna merentasi masyarakat.”
