Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan siswa S’pura di Mesir terima Sijil Daya Tahan Covid-19

Dr Maliki sampaikan sijil atas usaha kerjasama rapat kumpulan itu dengan MFA sewaktu pandemik
Nov 12, 2023 | 5:30 AM
DAYA TAHAN: Presiden Perkemas, Ustaz Muhammad Hazman Abd Aziz (dua dari kanan), dan wakil siswi, Ustazah Nur Dinah Mohamadali (kanan), menerima Sijil Daya Tahan Covid-19 daripada Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman (dua dari kiri). Turut bersama ialah Duta Besar Singapura ke Mesir, Encik Dominic Goh (kiri).
DAYA TAHAN: Presiden Perkemas, Ustaz Muhammad Hazman Abd Aziz (dua dari kanan), dan wakil siswi, Ustazah Nur Dinah Mohamadali (kanan), menerima Sijil Daya Tahan Covid-19 daripada Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman (dua dari kiri). Turut bersama ialah Duta Besar Singapura ke Mesir, Encik Dominic Goh (kiri). - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, telah menyampaikan Sijil Daya Tahan Covid-19 kepada Perhimpunan Kebajikan Mahasiswa Singapura di Mesir (Perkemas) pada Jumaat.

Perkemas, yang mewakili golongan pelajar Singapura di Mesir dan merupakan yang terbesar di rantau ini, menerima anugerah itu atas usaha mereka bekerjasama rapat dengan Kementerian Ehwal Luar (MFA) semasa pandemik Covid-19 untuk membantu pelajar yang terperangkap di Kahirah, Mesir pulang ke Singapura.

Selain memenuhi kebajikan dan keselamatan pelajar Singapura di Mesir, Perkemas juga menganjurkan acara dan program untuk mengasah keupayaan intelek, rohani dan akademik pelajar untuk membangunkan asatizah sedia masa depan yang terlatih dalam menangani isu kontemporari.

Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), berada di Kahirah sebagai sebahagian daripada lawatan kerjanya untuk bertemu pegawai Mesir, pemimpin perniagaan Singapura dan pelajar.

Sijil Daya Tahan Covid-19 diberikan untuk mengiktiraf sumbangan besar bagi mereka yang mengambil bahagian secara langsung dalam perjuangan Singapura menentang Covid-19.

Bercakap kepada Berita Harian (BH) selepas menerima sijil bagi pihak badan pelajar itu, Presiden Perkemas, Ustaz Muhammad Hazman Abd Aziz, 23 tahun, berkongsi bahawa beliau berterima kasih dengan sokongan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Kedutaan Singapura semasa pandemik itu.

“Mereka telah banyak membantu para pelajar, khususnya semasa saya di Tahun Satu, di mana mereka telah menyediakan penerbangan untuk para pelajar terbang pulang ke Singapura dengan selamat dan lancar.

“Sokongan daripada (pihak) kedutaan, daripada Muis dan dari Singapura sangat membantu dan ini telah memudahkan urusan pembelajaran kami di Mesir,” kata Ustaz Hazman.

Pada Jumaat, Dr Maliki turut mengadakan dialog tertutup dengan lebih 50 pelajar Perkemas, kebanyakannya dari Universiti Al-Azhar, untuk mendengar maklum balas dan kebimbangan mereka.

Lulusan baru Universiti Al-Azhar, Ustazah Nur Dinah Mohamadali, 23 tahun, yang juga wakil siswi Perkemas, berkata beliau bersyukur dengan kunjungan Dr Maliki yang membolehkan pelajar mendekatinya dan berkongsi kebimbangan mereka.

“Saya berasa sangat terharu dengan kedatangan Dr Maliki ke sini kerana masyarakat Singapura di sini tidak berjumpa sangat dengan rakyat Singapura yang lain.

“Kami sangat gembira dan teruja dapat bersama mereka dan Dr Maliki, dan kami juga dapat berkongsi kebimbangan ataupun isu yang kami dengar dari Singapura, yang kami juga inginkan penjelasan tentangnya,” kata Ustazah Nur Dinah.

Ustaz Hazman turut menyambut baik kehadiran Dr Maliki, yang beliau anggap sebagai peluang yang baik untuk para pelajar mendapat kemas kini tentang dasar-dasar dan perkembangan dari Singapura.

“Kami dapat berbual bersama Dr Maliki sendiri secara fizikal dan ini sangat membantu kerana mungkin ada di antara kami yang sudah lama tidak pulang ke Singapura dan kami tidak peka akan keadaan di Singapura, dan bagaimana dan kenapa Singapura menetapkan sesuatu perkara itu.

“Dr Maliki lebih mahir tentang perkara-perkara ini dan ini sedikit sebanyak dapat membuka fikiran kami untuk mengetahui dan memahami kenapa perkara itu harus dilakukan di Singapura,” kata Ustaz Hazman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg