Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan sukarelawan kumpul $21,000 bagi Persatuan Ain

Sumbangan daripada jualan lukisan, pertandingan futsal amal dan derma CEO Sheng Siong semasa acara SPOrT CANCER
Jan 22, 2024 | 4:24 PM
MEMBANTU PESAKIT BARAH: Cikgu Sies Senan (kiri)  menyerahkan kepada CEO Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail, salah satu daripada empat lukisan koleksi beliau yang dibeli CEO Sheng Siong, Encik Lim Hock Chee, dan didermakan kembali kepada persatuan itu. Bersama mereka ialah Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar.
MEMBANTU PESAKIT BARAH: Cikgu Sies Senan (kiri) menyerahkan kepada CEO Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail, salah satu daripada empat lukisan koleksi beliau yang dibeli CEO Sheng Siong, Encik Lim Hock Chee, dan didermakan kembali kepada persatuan itu. Bersama mereka ialah Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar. - Foto PERSATUAN AIN

Sebanyak $21,000 berjaya dikumpul untuk Persatuan Ain bagi menyokong usaha persatuan itu membantu pesakit barah, oleh sekumpulan sukarelawan menerusi sebuah acara anjuran mereka.

Sumbangan itu datang daripada penjualan lukisan, pertandingan Piala Futsal Amal Cikgu Sies Senan 2024 dan derma oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sheng Siong, Encik Lim Hock Chee, semasa acara tersebut, ‘SPOrT CANCER’.

Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, adalah tetamu terhormat acara itu, yang dijalankan pada 21 Januari di Homeground Sports. 

Persatuan Ain ialah sebuah pertubuhan tidak mencari untung yang khusus menyokong pesakit barah dan keluarga mereka.

SPOrT CANCER adalah antara daya usaha kumpulan sukarelawan itu untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit barah dan mengumpul dana melalui pengalaman sukan.

Kuiz semasa acara itu dijalankan oleh Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS), sementara perlawanan futsal dianjurkan oleh alumni Sekolah Menengah Jin Tai.

Semasa dihubungi Berita Harian, CEO Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail, berkata pihaknya berterima kasih kepada kumpulan sukarelawan itu, SPOrT CANCER, Encik Lim dan Cikgu Seis Senan kerana memilih Persatuan Ain sebagai penerima manfaat acara tersebut.

“Acara ini bukan untuk mengumpul dana bagi Persatuan Ain sahaja, malah membantu dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahayanya penyakit barah dan menyebarkan mesej bahawa masih belum ada pencegahan lebih berkesan selain daripada membuat saringan kesihatan awal,” ujarnya.

Sebanyak 24 pasukan daripada pelbagai latar belakang, seperti sukarelawan masjid, alumni sekolah, persatuan dan juga pekerja migran dari Myanmar, mengambil bahagian dalam pertandingan futsal itu. Mereka membantu mengumpul derma sebanyak $6,000.

Encik Lim membeli empat lukisan daripada koleksi Cikgu Sies bernilai $5,000 dan mendermakannya kembali kepada Persatuan Ain untuk acara pengumpulan dana mereka pada masa akan datang.

Selain itu, Encik Lim menyumbang $10,000 kepada pertandingan futsal itu.

Mengulas mengenai acara itu, pengerusi penganjur SPOrT CANCER, Encik Iskandar Wachi, berkata: “Alhamdulillah, kami mendapat sokongan padu daripada para peserta dan pihak lain yang turut menjayakan acara ini.”

Cikgu Sies turut memuji dan mengesyorkan agar usaha seperti itu diteruskan agar terus dapat membantu pesakit barah dan keluarga mereka, yang sememangnya memerlukan bantuan kewangan dalam menampung perbelanjaan hospital yang tinggi.

Ini kali kedua kumpulan sukarelawan itu mengumpul derma bagi Persatuan Ain.

Kali pertama pada Disember 2023 apabila mereka menganjurkan acara ‘Cycle for a Cause’, yang disertai 250 penunggang yang menunggang lebih 10 kilometer dan mengumpul $10,000 bagi persatuan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg