KUMPULAN tarian setempat tetap berupaya menarik minat dan mengekalkan penglibatan karyawan muda dalam kegiatan seni tari meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran dek komitmen masa yang diperlukan.

Lebih menggalakkan, anak muda ini yang menceburi bermacam cabang kerjaya meliputi bidang perkhidmatan awam, pendidikan dan pengurusan, masih terus gigih memajukan tarian Melayu dalam kumpulan masing-masing walau sibuk membina kerjaya.

Beberapa kumpulan tarian Melayu yang dihubungi Berita Minggu mendedahkan bahawa usaha 'memancing' terus minat golongan ini melibatkan pelbagai strategi termasuk memberi ruang bagi pembangunan dalam dunia tari.

Karyawan muda ini juga diberi peluang menggalas amanah lebih besar seperti memimpin kumpulan tari yang disertai dengan bertindak sebagai pembimbing, guru atau pengurus dengan masa lebih fleksibel diberikan, mengambil kira waktu bekerja mereka.

Langkah ini adalah yang diusahakan kumpulan tari Era Dance Theatre (EDT), jelas pengarah artistiknya Encik Osman Hamid.

"Penari-penari muda biasanya cukup aktif semasa di sekolah atau politeknik kerana kegiatan tarian Melayu tradisional begitu gigih dikenalkan dan diuar-uarkan di peringkat itu.

"Namun, selepas itu, tidak ramai belia yang bertahan dalam bidang tarian disebabkan tuntutan pekerjaan.

"Kami tidak ingin kehilangan anak muda yang berbakat, malah berusaha menggalakkan mereka agar meneruskan kerja seni ini walaupun secara sambilan," jelas Encik Osman.

Menurutnya, anak muda lebih tertarik pada sesuatu yang mencabar dan baru. Lantaran itu, EDT menawarkan program-program peningkatan bagi penari di samping menggabungkan unsur tarian tradisional dengan gerak tangkas tarian kontemporari yang belia minati, sesuai dengan perubahan landskap tarian setempat.

Katanya: "Mereka bukan hanya belajar menari tetapi juga didedahkan kepada seni reka tari, pengurusan kumpulan tari dan sebagainya.

"Kami ingin menerapkan dalam diri mereka tanggungjawab meneruskan legasi tari ini dan salah satu langkah yang kami ambil adalah dengan melantik mereka sebagai pemimpin yang boleh meneruskan usaha ini."

Menurut Encik Osman, EDT kini mempunyai seramai 20 hingga 30 penari berusia antara 13 hingga 40 tahun. Hanya dua atau tiga orang sahaja dalam kalangan mereka menari sepenuh masa.

Pengasas kumpulan Attrians Singapore, Encik Mohamed Rizal Mohamed Yusoff yang membangun kumpulan tarian ini sejak 2002 pula berkata, hampir separuh anggotanya bergiat secara sambilan walaupun sibuk dengan pekerjaan tetap.

"Memang ada yang kurang aktif selepas bekerja tetapi ramai juga yang tidak melupakan tanggungjawab mereka sebagai penari berdedikasi. Bagi mereka, ini satu amanah."

Pemenang Pingat Budaya dan penggerak Sri Warisan, Cik Som Said pula mampu mengekalkan aktivis mudanya kerana mewujudkan nilai kekeluargaan dan kebersamaan yang membuat golongan ini selesa.

"Kesemua anggota Sri Warisan dianggap sebagai keluarga besar. Mengenang keakraban ini, mereka terdorong agar kembali menari walau sibuk dengan komitmen lain.

"Rata-rata, mereka senang dengan tarian kontemporari yang terkini. Namun, di Sri Warisan, kami pentingkan asas tarian Melayu yang kami pupuk dalam diri setiap penari di sini. Jika asasnya ada, mereka buat apa pun atau bagaimana moden sekali pun tarian itu, ia tetap tidak akan tersasar daripada identiti tarian Melayu itu sendiri."

Tarian jadi darah daging :

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti