Topik diikuti
Pergi ke BHkuKuota teksi rentas sempadan S’pura-M’sia dinaikkan kepada 500 setiap negara mulai 16 Nov
Kuota teksi rentas sempadan S’pura-M’sia dinaikkan kepada 500 setiap negara mulai 16 Nov
Dua syarikat baharu, CDG Zig, Kumpool, turut diberi lesen kendali khidmat tersebut
Kuota teksi rentas sempadan S’pura-M’sia dinaikkan kepada 500 setiap negara mulai 16 Nov
Mulai 16 November, Singapura dan Malaysia akan meningkatkan kuota teksi rentas sempadan berlesen bagi setiap negara kepada 500 teksi, berbanding 300 teksi sekarang.
Dua pengendali khidmat tempahan kereta menerusi aplikasi, CDG Zig dan Kumpool, juga akan menyertai GrabCar sebagai pengendali berlesen di bawah Skim Teksi Rentas Sempadan yang dipertingkatkan itu.
Langkah itu bertujuan memberikan lebih banyak pilihan kepada penumpang dan pemandu, di samping meningkatkan kemudahan serta pengalaman perjalanan antara kedua-dua negara, menurut kenyataan bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) Singapura dan Malaysia pada 6 November.
Ketua Eksekutif Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Encik Ng Lang, berkata peningkatan kuota itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan pengangkutan rentas sempadan antara kedua-dua negara.
“Dengan memperluas ketersediaan perkhidmatan rentas sempadan yang berlesen, kami memberikan lebih banyak pilihan serta fleksibiliti yang lebih besar kepada para pengunjung bagi perjalanan mereka.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan rakan sejawat di Malaysia untuk mempertingkatkan perjalanan rentas sempadan dan memenuhi keperluan pengunjung di kedua-dua negara dengan lebih baik,” katanya.
Peningkatan kuota itu membolehkan lebih banyak teksi menyertai skim berkenaan, sekali gus menambah bekalan perkhidmatan teksi rentas sempadan.
Kuota tambahan itu merupakan sebahagian daripada usaha kedua-dua Singapura dan Malaysia untuk mempertingkatkan skim itu yang mula dilaksanakan pada 4 Mei.
Antara perubahan yang diperkenalkan ketika itu termasuk menyediakan tempat yang ditetapkan bagi penumpang menaiki kenderaan untuk tempahan menerusi aplikasi.
Kedua-dua negara itu juga telah bersetuju untuk memberikan lebih banyak kelonggaran bagi tempat-tempat untuk menurunkan penumpang.
Keperluan tambahan juga telah dilaksanakan di bawah skim tersebut untuk membantu penguatkuasaan terhadap perjalanan domestik haram.
Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia (APAD), Encik Ahmad Radhi Ma’arof, menyambut baik peluasan kuota teksi itu dan kemasukan dua pengendali platform tambahan.
“Ini merupakan satu pencapaian penting dalam meningkatkan pergerakan penumpang merentasi sempadan, bagi melengkapkan kesalinghubungan peringkat awal dan akhir perjalanan antara Johor Bahru, Malaysia dengan Singapura.
“Kami berharap perkembangan baharu ini akan menandakan peningkatan lanjut dari segi kesalinghubungan antara kedua-dua negara hebat ini,” kata Encik Ahmad Radhi.
Menurut kenyataan bersama itu, penumpang yang menggunakan perkhidmatan teksi rentas sempadan sejak peningkatan dilaksanakan menyatakan bahawa mereka berpuas hati dengan kemudahan perjalanan terus dari satu lokasi ke lokasi lain.
Di bawah peningkatan itu, penumpang boleh diturunkan di mana-mana sahaja di Singapura ataupun dalam kawasan operasi Malaysia yang merangkumi Johor Bahru, Iskandar Puteri, Forest City, Kulai, dan Senai.
Keluarga dan mereka yang merentas sempadan atas urusan kerja juga boleh menaiki kenderaan yang lebih besar dan premium menerusi peningkatan kepada skim itu.
