Ketika Johor dan Singapura semakin hampir menyambut pembukaan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) pada Februari 2027, sebahagian pemandu teksi berusia di Johor Bahru berdepan persoalan sama ada mereka mampu terus mencari rezeki dalam industri yang semakin mencabar.

Di sebalik jangkaan peningkatan pergerakan penumpang rentas sempadan, ramai pemandu teksi tempatan dan rentas sempadan terdiri daripada golongan berusia antara 50 dengan 75 tahun, dengan sebahagian mereka menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman bank untuk menggantikan kenderaan lama.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan kurangnya minat golongan muda menceburi industri teksi kerana lebih tertarik kepada perkhidmatan kereta sewa menerusi aplikasi yang menawarkan waktu bekerja lebih fleksibel.

Tinjauan Berita Harian (BH) mendapati cabaran tersebut menimbulkan persoalan mengenai kemampuan industri teksi memenuhi permintaan pengangkutan, terutama bagi perjalanan dari stesen RTS di Bukit Chagar ke pelbagai destinasi di Johor Bahru.

RTS Link, yang menghubungkan Bukit Chagar dengan Woodlands North, mempunyai kapasiti maksimum sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah pada waktu sibuk, sekali gus dijangka meningkatkan keperluan perkhidmatan pengangkutan sambungan.

Namun, peluang itu mungkin sukar dimanfaatkan sepenuhnya jika masalah pemandu berusia, kenderaan lama dan kekurangan pelapis muda tidak ditangani.

Lebih separuh pemandu sudah berusia

Pengerusi Gabungan Tiga Persatuan Teksi Rentas Sempadan Johor Bahru-Singapura, Encik Mohd Suhaimi Saidi, 66 tahun, berkata lebih separuh daripada sekitar 60 anggota persatuannya terdiri daripada golongan veteran.

Encik Mohd Suhaimi Saidi berkata sekitar 50 pemohon masih dalam proses mendapatkan kenderaan dan kelulusan, namun usaha menarik pemandu muda tidak begitu memberangsangkan.
Encik Mohd Suhaimi Saidi berkata sekitar 50 pemohon masih dalam proses mendapatkan kenderaan dan kelulusan, namun usaha menarik pemandu muda tidak begitu memberangsangkan. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Menurut beliau, faktor usia menyebabkan sebahagian anggota menghadapi masalah mendapatkan pinjaman bank untuk membeli kenderaan, sekali gus menyukarkan penyertaan mereka dalam peluasan perkhidmatan teksi rentas sempadan.

“Dalam persatuan saya ada lebih 60 anggota dengan lebih separuh daripada mereka adalah warga emas.

“Ramai yang perlu menukar teksi tetapi menghadapi masalah mendapatkan pinjaman bank. Apabila usia sudah lanjut, bank pun susah hendak berikan pinjaman,” katanya.

Menurutnya, sekitar 50 pemohon masih dalam proses mendapatkan kenderaan dan kelulusan, namun usaha menarik pemandu muda tidak begitu memberangsangkan.

“Kalau ada golongan muda yang berminat, kita memang galakkan mereka menggantikan pemandu lama.

“Tetapi sekarang tidak ramai yang berminat. Hendak beli kereta memerlukan modal, sedangkan mendapatkan penumpang pun bukan mudah,” katanya.

Encik Mohd Suhaimi berkata sekitar tiga hingga empat anggotanya dijangka mencapai had usia memandu teksi rentas sempadan pada tahun depan (2027).

Pengerusi Persatuan Kebajikan Tuanpunya dan Pemandu Teksi, Kereta Sewa serta Teksi Mewah Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Encik Mohd Nor Mohd Syed, 70 tahun, turut mengakui pembiayaan kenderaan merupakan cabaran utama.

Encik Mohd Nor Mohd Syed berkata pembelian kenderaan terpakai yang lebih baharu boleh menjadi pilihan, namun pemandu tetap perlu memenuhi syarat pembiayaan dan perlesenan yang ditetapkan.
Encik Mohd Nor Mohd Syed berkata pembelian kenderaan terpakai yang lebih baharu boleh menjadi pilihan, namun pemandu tetap perlu memenuhi syarat pembiayaan dan perlesenan yang ditetapkan. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Apabila umur sudah lanjut, bank di Malaysia biasanya susah hendak berikan pinjaman.

“Pemandu yang lebih muda mungkin masih boleh mendapatkan pinjaman, tetapi apabila sudah berumur 70 tahun ke atas, memang susah,” katanya.

Beliau berkata pembelian kenderaan terpakai yang lebih baharu boleh menjadi pilihan, namun pemandu tetap perlu memenuhi syarat pembiayaan dan perlesenan yang ditetapkan.

Syarat usia kenderaan sukarkan penyertaan

Seorang pemandu teksi rentas sempadan, Encik Sallehuddin Ramli, 40 tahun, berkata syarat usia kenderaan turut menyukarkan usaha menggantikan pemandu lama dengan golongan muda.

Encik Sallehuddin Ramli berkata usaha memenuhi kuota tersebut tidak mudah jika pemandu berdepan kekangan pembiayaan dan syarat usia kenderaan.
Encik Sallehuddin Ramli berkata usaha memenuhi kuota tersebut tidak mudah jika pemandu berdepan kekangan pembiayaan dan syarat usia kenderaan. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Di bawah peraturan teksi rentas sempadan yang dipertingkat mulai 4 Mei 2026, kenderaan bagi penyertaan baharu tidak boleh melebihi usia 10 tahun, manakala teksi sedia ada yang memenuhi syarat terdahulu dibenarkan beroperasi sehingga usia kenderaan mencapai 15 tahun.

“Masalahnya, ramai pemandu yang sudah berumur menggunakan kereta lama. Kalau hendak tukar kereta, pinjaman bank belum tentu diluluskan.

“Saya sendiri masih muda, tetapi kalau hendak mendapatkan pinjaman untuk menukar kenderaan pun belum tentu bank akan terima,” katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa Singapura mempertimbangkan kelonggaran usia kenderaan sehingga 14 tahun bagi pemandu baharu bagi memberi mereka masa mengumpulkan wang membeli kenderaan pengganti.

“Kalau tidak boleh mendapat pinjaman dan tidak mampu membeli kereta secara tunai, pemandu yang berusia mungkin terpaksa bersara lebih awal.

“Kalau syarat usia kenderaan dapat dilonggarkan, lebih ramai pemandu mungkin boleh menyertai perkhidmatan rentas sempadan,” katanya.

Malaysia dan Singapura sebelum ini bersetuju menambah kuota teksi rentas sempadan daripada 200 kepada 300 bagi setiap negara, dengan sasaran meningkatkannya secara berperingkat kepada 500.

Bagaimanapun, Encik Sallehuddin berpandangan usaha memenuhi kuota tersebut tidak mudah jika pemandu berdepan kekangan pembiayaan dan syarat usia kenderaan.

Anak muda pilih kereta sewa melalui aplikasi

Pemandu teksi muda, Encik Amin Mohamed Dali, 31 tahun, berkata industri teksi semakin kurang mendapat sambutan golongan muda kerana pekerjaan itu memerlukan mereka menunggu lama sebelum mendapat enumpang.

Encik Amin Mohamed Dali berkata beliau sendiri meneruskan pekerjaan sebagai pemandu teksi kerana keluarganya sudah berkecimpung dalam industri teksi selama tiga generasi.
Encik Amin Mohamed Dali berkata beliau sendiri meneruskan pekerjaan sebagai pemandu teksi kerana keluarganya sudah berkecimpung dalam industri teksi selama tiga generasi. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Beliau sendiri meneruskan pekerjaan tersebut kerana keluarganya sudah berkecimpung dalam industri teksi selama tiga generasi.

“Saya membawa teksi kerana datuk saya membawa teksi, kemudian bapa saya dan sekarang saya.

“Kalau saya bukan daripada keluarga pemandu teksi, mungkin saya sendiri tidak sanggup menunggu terlalu lama untuk mendapatkan penumpang,” katanya.

Menurut Encik Amin, ada kalanya beliau sudah berada di tempat menunggu sejak 7 pagi tetapi masih belum mendapat giliran membawa penumpang beberapa jam kemudian.

“Anak muda sekarang lebih suka pandu Grab kerana mereka bebas menentukan masa bekerja.

“Kalau teksi, kita perlu menunggu giliran. Ada yang tidak sanggup menunggu dan akhirnya berhenti bawa teksi,” katanya.

Sementara itu, pemandu kereta sewa menerusi aplikasi, Encik Muhammad Najib Katmon, 45 tahun, berkata kemudahan mendapatkan tempahan melalui telefon merupakan antara sebab beliau memilih pekerjaan tersebut.

Encik Muhammad Najib Katmon menyambut baik pembangunan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) kerana percaya perkhidmatan itu akan memudahkan perjalanan pekerja Malaysia ke Singapura.
Encik Muhammad Najib Katmon menyambut baik pembangunan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) kerana percaya perkhidmatan itu akan memudahkan perjalanan pekerja Malaysia ke Singapura. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Bekas pemandu lori di Singapura yang berasal dari Bandar Seri Alam itu baru memulakan pekerjaan berkenaan selepas tidak dapat bekerja lebih setahun akibat kecederaan dalam nahas jalan raya pada April 2025.

“Grab lebih mudah kerana semuanya menggunakan aplikasi di telefon.

“Kalau teksi, banyak masa dihabiskan untuk menunggu penumpang. Kita tidak suka menunggu terlalu lama. Kalau Grab, seorang penumpang pun kita boleh terus bergerak,” katanya.

Menurutnya, pekerjaan itu membolehkannya kembali mencari pendapatan meskipun masih mengalami kesukaran bergerak akibat kecederaan.

“Dengan keadaan kaki saya sekarang, memang susah hendak kembali bekerja di Singapura.

“Saya rasa buat masa ini, membawa Grab ialah pekerjaan yang saya mampu lakukan,” katanya.

Encik Najib turut menyambut baik pembangunan RTS Link kerana percaya perkhidmatan itu akan memudahkan perjalanan pekerja Malaysia ke Singapura.

Bagaimanapun, beliau mengakui peningkatan jumlah kereta sewa di sekitar pusat pemeriksaan imigresen boleh menimbulkan cabaran kesesakan apabila RTS Link mula beroperasi.

“Sekarang pun kawasan pusat pemeriksaan sudah sesak, dengan banyak kereta Grab dan bas.

“Apabila RTS (Link) dibuka nanti, kita belum tahu bagaimana keadaan tempat mengambil penumpang dan berapa ramai yang akan menggunakan perkhidmatan ini,” ujarnya.

“

“Saya membawa teksi kerana datuk saya membawa teksi, kemudian bapa saya dan sekarang saya. Kalau saya bukan daripada keluarga pemandu teksi, mungkin saya sendiri tidak sanggup menunggu terlalu lama untuk mendapatkan penumpang... Anak muda sekarang lebih suka pandu Grab kerana mereka bebas menentukan masa bekerja. Kalau teksi, kita perlu menunggu giliran. Ada yang tidak sanggup menunggu dan akhirnya berhenti membawa teksi.”
Pemandu teksi muda, Encik Amin Mohamed Dali, 31 tahun.