Anak perempuan Cik Nur Izzah Sutari yang berusia tiga tahun belajar bahasa Inggeris dan Mandarin di sekolahnya – bukan atas pilihan ibu bapanya, tetapi kerana tiada pilihan lain.

Sekolah My First Skool yang dihadiri kanak-kanak itu tidak menawarkan pelajaran bahasa ibunda selain Bahasa Mandarin bagi pelajar peringkat N1.

“Kali pertama saya melihat kurikulum anak saya, saya terkejut kami sebagai ibu bapa tidak diberi pilihan untuk memilih bahasa ibunda yang akan dipelajari anak kami.

“Apa yang ditunjukkan ialah ‘Aktiviti/Pengalaman berbahasa Cina’ selama sejam diikuti dengan ‘Aktiviti/Pengalaman berbahasa Inggeris’ sebagai sebahagian jadual mingguan murid,” kata Cik Izzah.

“Sejujurnya pada saya, kededua bahasa tersebut tidak kurang hebat.

“Bagus bagi seseorang menguasai sebanyak mungkin bahasa kerana ia merupakan kemahiran yang berguna pada masa hadapan.

“Namun, saya juga sangat percaya akan kepentingan memelihara bahasa Melayu di Singapura.

“Bagi orang Melayu, ia suatu peringatan tentang jati diri dan budaya kita,” tambahnya.

Berkongsi dengan Berita Harian (BH), Cik Izzah, 35 tahun, seorang pakar jualan dalam industri teknologi berkata beliau tidak ada pilihan lain selain menghantar anaknya itu ke prasekolah tersebut dek jarak sekolah dengan rumah mereka di Jurong East.

Pengalaman Cik Izzah dan anaknya bukan suatu kejanggalan.

Perkongsian anekdot segolongan masyarakat dengan BH menunjukkan hal serupa.

Menjawab pertanyaan BH, seorang jurucakap Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) berkata kurang satu daripada tiga prasekolah berlesen Ecda dan tadika Kementerian Pendidikan (MOE) menawarkan Bahasa Melayu hari ini.

Namun, jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding lima tahun lalu.

“Ini bermakna ibu bapa hari ini mempunyai lebih banyak pilihan prasekolah yang menawarkan program Bahasa Melayu berbanding sebelum ini,” katanya.

Terdapat sekitar 1,800 prasekolah berlesen Ecda dan tadika MOE di Singapura.

Daripada jumlah tersebut, 99 peratus prasekolah berlesen Ecda dan tadika MOE menawarkan sekurang-kurangnya satu bahasa ibunda termasuk Bahasa Mandarin, Melayu atau Tamil.

Tidak semua prasekolah dapat menawarkan kesemua bahasa ibunda disebabkan beberapa faktor.

Menjelaskan lebih lanjut, jurucakap Ecda itu berkata isu seperti kakitangan pengajar yang layak serta bilangan murid yang mahu mempelajari satu-satu bahasa ibunda itu perlu diambil kira.

“Ecda menyedari bahawa sesetengah prasekolah mungkin tidak dapat menawarkan program Bahasa Melayu memandangkan pertimbangan berkaitan tenaga kerja dan pendaftaran.

“Menjalankan program sedemikian secara mampan memerlukan pendidik bahasa ibunda yang berkelayakan dan bilangan pendaftaran yang mencukupi,” ulasnya.

Pun begitu, Ecda memahami kepentingan yang diberikan banyak keluarga terhadap membantu anak-anak mereka menyemai cinta terhadap bahasa ibunda mereka serta memupuk identiti budaya mereka sejak usia muda.

Oleh itu, meskipun pembelajaran bahasa ibunda tidak diwajibkan di peringkat prasekolah, agensi itu berkata ia tetap berusaha memastikan murid dapat didedahkan kepada program bahasa ibunda yang bermutu.

“Ecda akan terus bekerjasama rapat dengan pengendali prasekolah untuk memperluas akses kepada program bahasa ibunda yang bermutu, termasuk penawaran Bahasa Melayu, di samping menggalakkan pendidik dalam perkhidmatan dan bakal pendidik untuk mempertimbangkan pengajaran bahasa ibunda,” kata jurucakap tersebut lagi.

Beliau juga menyatakan bahawa untuk memperkukuh saluran pendidik bahasa ibunda yang berkelayakan, Ecda telah memperkenalkan laluan latihan yang mudah diakses, termasuk Sijil Pengajaran Bahasa Ibunda Prasekolah (CPMTL) dan pengkhususan pengajaran bahasa ibunda di bawah Diploma Pembangunan & Pendidikan Awal Kanak-kanak yang dijalankan di Politeknik Temasek dan Ngee Ann.

Dihubungi BH, pensyarah Institut Pendidikan Awal Kanak-kanak (NIEC), Cik Siti Maryam Lim Zulkifli, berkata beliau melihat peningkatan minat dalam kalangan pelajar untuk mengikuti trek pengkhususan tersebut.

“Saiz kelas kami biasanya antara 25 dengan 30 pelajar.

“Bagi kohort pertama kami hanya mempunyai satu kelas, tetapi tahun ini kami mempunyai dua kelas. Terdapat peningkatan minat, saya boleh katakan ia berganda,” ujarnya.

Beliau percaya terdapat keperluan untuk membangunkan lebih ramai pendidik bahasa ibunda di peringkat prasekolah.

“Ia juga mewujudkan laluan kerjaya yang lebih luas bagi pelajar kami, di mana setelah tamat pengajian, mereka boleh memilih sama ada mereka ingin berkhidmat sebagai guru prasekolah Bahasa Inggeris atau guru prasekolah Bahasa Melayu,” kata Cik Maryam.