MSF lakar usaha pertingkat mutu sektor pembangunan awal lima tahun mendatang
MSF lakar usaha pertingkat mutu sektor pembangunan awal lima tahun mendatang
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan menyemak kelayakan, kemahiran dan kecekapan pendidik yang diperlukan untuk menyokong kanak-kanak dengan pelbagai keperluan dan latar belakang, serta meningkatkan sumber dan latihan.
Ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan mutu merentasi sektor pendidikan awal kanak-kanak dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming.
Menjawab soalan Encik Melvin Yong (Radin Mas) yang menyeru agar sokongan lebih besar diberikan kepada pendidik, Encik Goh mengakui cabaran yang mereka hadapi, termasuk waktu suntuk untuk melaksanakan tugas seperti perancangan pelajaran atau peningkatan kemahiran memandangkan mereka menghabiskan masa lama untuk menjaga kanak-kanak.
“Bersama pengendali dan pendidik, kami sedang menyemak semula keadaan dan beban kerja pendidik, seperti membolehkan masa lapang (non-contact time) lebih sesuai.
“Kami juga akan memulakan projek reka bentuk semula pekerjaan seluruh sektor untuk mengkaji semula skop pekerjaan, proses kerja dan struktur sokongan di prasekolah, bagi menambah baik pengalaman kerja,” kata Encik Goh.
Dalam soalan susulannya, Encik Yong bertanya sama ada Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) akan menerima pakai langkah perlindungan serupa dengan yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) di mana pendidik mempunyai hak untuk tidak dihubungi di luar waktu kerja.
Akur akan beban kerja yang berat bagi pendidik prasekolah, Encik Goh berkata:
“Kami mahu merasmikan perkara ini dan kami akan bermula dengan pewujudan bersama piagam ibu bapa-prasekolah.”
Beliau menambah bahawa dasar tersebut masih diperhalusi dan maklumat lanjut akan dikongsi pada masa akan datang.
Encik Goh turut menyentuh sokongan pemerintah untuk memastikan pengendali prasekolah dapat mengukuhkan operasi mereka serta meningkatkan mutu pendidikan yang disediakan.
Menarik dan mengekalkan pendidik bermutu adalah keutamaan pemerintah, katanya. Oleh itu, MSF merancang menambah tenaga kerja pendidikan awal sebanyak 3,500 lagi pendidik menjelang 2030 untuk memenuhi keperluan sektor.
“Kami akan melengkapkan pendidik dengan lebih baik melalui latihan praperkhidmatan dan pembangunan berterusan dalam perkhidmatan untuk menyesuaikan diri dengan landskap awal kanak-kanak yang sentiasa berubah, sedang mereka menerapkan lebih banyak pembelajaran berasaskan permainan dan menyokong keperluan pembelajaran berbeza,” ujar Encik Goh.
Ecda juga akan bekerjasama dengan sektor tersebut untuk memperkukuh mutu prasekolah dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ini akan dilakukan melalui peningkatan keupayaan prasekolah, kurikulum dan program mereka, memperdalam kemahiran pendidik dan mempromosikan penyelidikan dalam sektor itu.
MSF dan Ecda juga akan memperbaharui Pelan Digital Industri Awal Kanak-kanak (IDP), yang dilancarkan pada 2021, untuk menggalak transformasi digital merentasi sektor dan meningkatkan produktiviti pengendali dan pendidik.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata Ecda akan menyokong prasekolah untuk menerima pakai alat berkemampuan kecerdasan buatan (AI) yang akan membantu pendidik dan pemimpin dalam tugas seperti perancangan kurikulum, pengurusan portfolio dan menyemak rakaman CCTV.
“Matlamat kami adalah untuk meringankan beban kerja karyawan kami, meningkatkan kesejahteraan mereka dan menambah baik penjagaan dan pendidikan anak kami,” katanya.
IDP 2.0 akan dilancarkan mulai separuh kedua 2026 dan pengendali perlu memenuhi satu set keperluan teknologi asas yang merangkumi operasi utama seperti alat digital untuk pengambilan kehadiran dan pengurusan kewangan.

