Kurang separuh siswazah baru dari institusi pendidikan swasta mendapat pekerjaan sepenuh masa pada 2024, di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi lebih perlahan dan permintaan pengambilan pekerja lebih rendah pada masa ini.
Tinjauan Pekerjaan Siswazah Institusi Pendidikan Swasta terkini, yang dikeluarkan SkillsFuture Singapura pada 26 April, menunjukkan sebanyak 46.4 peratus siswazah baru mendapat pekerjaan sepenuh masa, berbanding 58.7 peratus pada 2023.
Lebih ramai siswazah tersebut mendapat pekerjaan sambilan atau sementara, iaitu 24.2 peratus, naik daripada 18.9 peratus pada 2023.
Manakala kadar siswazah yang melakukan pekerjaan bebas, berkurangan, iaitu 4.2 peratus, turun daripada 5.7 peratus pada 2023.
Secara keseluruhan, daripada 2,300 siswazah baru dalam tenaga pekerja yang ditinjau, sebanyak 74.8 peratus mendapat pekerjaan tetap, bebas atau sambilan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, berbanding 83.2 peratus pada 2023.
Gaji bulanan kasar median bagi mereka yang bekerja sepenuh masa pada 2024 meningkat sehingga $3,500, berbanding $3,400 pada 2023.
Siswazah daripada Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Bersekutu Parkway dan Institut ERC, yang antara lain menawarkan kursus ijazah dalam bidang perniagaan dan teknologi, membawa pulang gaji paling tinggi, iaitu $4,000 sebulan, diikuti siswazah daripada Institut Pengurusan Singapura (SIM) yang menikmati pendapatan $3,600 sebulan.
Siswazah baru daripada universiti berautonomi seperti Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Nasional Singapura (NUS), bermula dengan gaji bulanan median $4,500, menurut tinjauan pekerjaan bersama bagi kohort siswazah 2024.
Hasil tinjauan tersebut dikeluarkan pada 24 Februari, lapor The Straits Times (ST).
Sekitar 79.5 peratus siswazah daripada universiti berautonomi memperoleh pekerjaan tetap sepenuh masa dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, dengan 6 peratus melakukan kerja sambilan atau sementara dan 1.6 peratus melakukan pekerjaan bebas.
Dalam pada itu, lulusan politeknik yang telah menamatkan perkhidmatan negara, bermula dengan gaji median $3,000 sebulan, meningkat daripada $2,963 sebulan pada 2023.
Tinjauan pendidikan swasta tersebut, yang dijalankan dari November 2024 hingga Mac 2025, disertai sekitar 3,500 daripada 9,600 siswazah baru yang mengikuti program ijazah sarjana muda sepenuh masa di 27 institusi swasta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg