Perjalanan ke menara gading bukanlah satu perjalanan yang mudah, malah ia penuh onak dan duri bagi sesetengah individu.
Begitulah yang dilalui oleh Cik ‘Aqilah Alwi, 30 tahun, yang pernah tergolong dalam kalangan pelajar aliran lemah EM3 pada awal pendidikannya.
Ia pernah membuat dirinya terasing apabila teman-temannya memasuki aliran lain.
Berbekalkan semangat memperbaiki diri, Cik ‘Aqilah kini akhirnya berjaya meraih ijazah Sarjana dalam Seni Bina dengan pengkhususan dalam Reka Bentuk Bandar dari Universiti Nasional Singapura (NUS).
Menyingkap perubahan pada dirinya, beliau berkata keputusan berpindah ke EM3 yang dibuat oleh ibunya membuka lembaran baru.
“Kelas yang kecil membolehkan saya lebih fokus.
“Saya mula faham pelajaran dan berasa seronok belajar,” terang beliau, yang menganggap langkah itu menjadi titik perubahan sikap dan semangatnya terhadap pelajaran.
Menjelang peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), Cik ‘Aqilah masih bergelut.
Beliau mendapat 97 markah (mengikut sistem skor-T lama dengan 300 markah adalah tertinggi) – di bawah purata kebanyakan rakan-rakannya.
Namun, beliau diterima masuk ke Sekolah Menengah Pioneer dan terus berusaha, walaupun persepsi negatif masyarakat terhadap pelajar EM3 sering menghantuinya.
“Ada ibu bapa anggap kami pelajar ‘kelas bawah’. Tapi kami juga berusaha, cuma dengan rentak berbeza,” jelasnya.
Perjalanan di sekolah menengah juga tidak mudah bagi dirinya.
Cik ‘Aqilah bermula dalam aliran Normal Teknikal (NT) sebelum beralih ke Normal Akademik (NA) – satu perubahan yang menuntut kerja keras berganda.
Sukatan mata pelajaran lebih mencabar memaksa beliau mengurus tekanan dan masa dengan lebih bijak.
Menurut Cik ‘Aqilah, ibunya merupakan penguat semangatnya dan sering memberikannya sokongan moral.
“Sumber semangat utama saya ialah ibu saya, sejak awal lagi... beliau tidak pernah membandingkan saya dengan adik-beradik atau rakan-rakan yang lain.
“Beliau sentiasa memberi dorongan dan yakin dengan potensi saya, walaupun keputusan saya tidak sebaik orang lain.
“Kata-katanya yang paling saya ingat adalah ‘tak apa kalau lambat, yang penting sampai’,” kata Cik ‘Aqilah.
Selepas peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘N’, beliau menyambung pengajian ke Menengah 5 dan mengambil GCE Peringkat ‘O’.
Namun, keputusannya mengehadkan peluangnya ke politeknik.
“Sekali lagi saya berasa sangat terasing. Ramai rakan dah tahu hala tuju, saya masih tercari-cari,” kenangnya.
Beliau akhirnya memilih melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE) – laluan yang sering disalah anggap sebagai ‘penghujung jalan’.
Sebaliknya, di ITE itulah, Cik ‘Aqilah menemui semula keyakinan diri.
Beliau menamatkan pengajian dalam jurusan Reka Bentuk Kejuruteraan Awam dan Struktur dengan Gred Mata Purata (GPA) penuh 4.0 dan dianugerahkan biasiswa iBuildSG.
“Saya tidak sangka ITE beri saya peluang sebesar ini,” katanya.
Kejayaan itu membawanya ke Politeknik Singapura (SP) untuk memburu diploma dalam bidang seni bina.
Di sana, beliau bukan hanya belajar tentang rekaan, bahkan mengenai keberanian menyuarakan idea dan membina keyakinan.
“Saya sedar bahawa walaupun laluan saya panjang, saya masih boleh berjaya jika terus berusaha,” ujarnya.
Biasiswa iBuildSG yang disambung ke peringkat diploma turut menjamin pekerjaan selepas tamat pengajian.
Cik ‘Aqilah bekerja selama empat tahun dalam sektor binaan sebelum menyambung ke peringkat ijazah.
“Pengalaman kerja membentuk pemahaman saya tentang dunia sebenar, dan membakar semangat untuk jadi lebih daripada sekadar pelukis pelan,” tambah beliau.
Beliau diterima masuk ke tahun kedua program ijazah Sarjana Muda Seni Bina di NUS semasa pandemik Covid-19.
Ia bukan permulaan yang mudah, namun bantuan kewangan daripada Mendaki dan NUS memberi ruang untuk beliau terus melangkah.
Pengajian ke peringkat sarjana pula dibiayai sendiri melalui simpanan, sokongan keluarga dan Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA).
Kini, selepas menamatkan ijazah Sarjana dalam Reka Bentuk Bandar, Cik ‘Aqilah melihat semula perjalanan yang pernah dilalui dengan rasa syukur dan ketabahan.
“Rasa letih itu biasa, tapi saya dikelilingi oleh pensyarah dan rakan yang menyokong. Sedikit demi sedikit, saya bina semula keyakinan diri,” katanya.
Semasa kursusnya di NUS, Cik ‘Aqilah dapat turut serta dalam program pertukaran pelajar ke Jerman dan Hong Kong, serta projek usaha sama antarabangsa di NUS.
Semua itu mengukuhkan minatnya terhadap seni bina bersifat terangkum dan perancangan bandar yang responsif terhadap masyarakat.
“Apabila saya menoleh ke belakang, perkara yang paling saya banggakan adalah saya tidak pernah berhenti mencuba.
“Daripada aliran EM3, ke ITE, kemudian politeknik, ijazah, dan akhirnya ke peringkat sarjana, setiap tahap menuntut saya untuk bangkit daripada pelbagai cabaran.
“Saya tidak sentiasa berada di tempat pertama, tetapi saya sentiasa memilih untuk terus bergerak,” kata Cik ‘Aqilah, yang akhirnya mendapat kepuasan setelah impiannya tercapai.
“
“Apabila saya menoleh ke belakang, perkara yang paling saya banggakan adalah saya tidak pernah berhenti mencuba. Daripada aliran EM3, ke ITE (Institut Pendidikan Teknikal), kemudian politeknik, ijazah, dan akhirnya ke peringkat sarjana, setiap tahap menuntut saya untuk bangkit daripada pelbagai cabaran. Saya tidak sentiasa berada di tempat pertama, tetapi saya sentiasa memilih untuk terus bergerak.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg