Kekurangan pada diri bukan alasan tidak boleh meraih kejayaan atau mencari pendapatan demi menyara hidup.
Walaupun tujuh tahun menghidap angin ahmar dan menggunakan kerusi roda untuk bergerak, Encik Muhammad Rizal Mansoor, 43 tahun, tabah menjalani hidup dan mampu meraih pendapatan $10,000 sebulan dengan meniaga produk manisan berperisa coklat, Choco Albab.
Beliau merupakan antara penjual Singapura yang menjalankan perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM) di bawah syarikat Saudagaar Asia Sdn Bhd, yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
Pada 7 Disember, Encik Rizal diundang syarikat berkenaan ke Pusat Persidangan Bangi Avenue di Lembah Klang Selatan bagi menerima anugerah pengiktirafan sebagai satu-satunya pemimpin niaga (barisan atasan atau ‘upline’) pencetus inspirasi dalam kalangan 80,000 ejen penjualan Choco Albab.
Beliau turut menerima dua lagi anugerah, ‘Gladiator Leader’ kerana berjaya menjual produk dan meraih RM30,000 ($9,112) dalam sembilan hari dan ‘Sales Warrior’ kerana mencapai jualan RM2,000 pada hari pertama setiap bulan.
Acara tahunan Saudagaar Asia Sdn Bhd itu bertujuan memberi penghargaan kepada penjual yang bertungkus lumus menjalankan perniagaan produk Choco Albab.
Bapa dua anak itu diserang angin ahmar dan rebah dalam bot pada 2017 semasa ekspedisi memancing.
“Pada dua minggu pertama, saya tidak dapat makan atau minum dan bergantung kepada tiub. Separuh badan kiri saya tidak dapat berfungsi, otak saya juga dibedah akibat pembekuan darah, dan ini juga menjejas pertuturan saya,” terangnya.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Rizal berkata beliau sama sekali tidak menyangka diberi penghargaan sebegitu.
“Saya diberi kepercayaan menjalankan perniagaan walaupun kadangkala terasa tewas, tetapi majikan saya selalu beri galakan dan sokongan sehingga saya mempunyai kepercayaan diri yang kuat,” ujarnya.
Encik Rizal berkata latihan dan panduan yang diberi setiap hari serta dorongan pemimpin syarikat memberinya semangat agar terus berjuang.
Semuanya bermula sekitar 2020, sewaktu wabak Covid-19 sedang tular dan ramai yang mengambil kesempatan mengalihkan tugas penjualan ke dalam talian.
Encik Rizal juga tidak terkecuali dan berjinak-jinak berniaga melalui wadah Facebook ‘Live’ dengan bermula menjual makanan beku sebelum diberi peluang menjual produk Choco Albab.
“Cabaran menjual barang dalam talian ialah pelanggan tidak dapat mencuba atau merasa barangan yang saya jual tetapi manfaatnya untuk orang seperti saya yang tidak dapat ke mana-mana, ini adalah cara mencari rezeki dari rumah,” kata Encik Rizal.
Beliau cukup emosi sewaktu dikelilingi keluarganya tatkala menerima anugerah, sebagaimana yang terakam dalam video yang dikongsikan dengan BH.
“Saya bersyukur mendapat sokongan keluarga. Apabila anak-anak melihat saya hadiri kursus dan bertungkus lumus menjalankan perniagaan, mereka turut membantu menguar-uarkan kepada teman-teman mereka mengenai produk saya,” jelasnya.
Encik Rizal juga ingin berkongsi kepada mereka yang senasib dengannya agar berubah fikiran dan jangan cepat berserah dengan berusaha serta memiliki matlamat sendiri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg