Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penumpang kereta sewa kini boleh tempah ruang kerusi roda, empat duduk kanak-kanak

Dec 4, 2024 | 2:45 PM
Langkah itu adalah sebahagian daripada semakan berterusan terhadap sektor teksi dan pengangkutan sewa privet.
Langkah itu adalah sebahagian daripada semakan berterusan terhadap sektor teksi dan pengangkutan sewa privet. - Foto ST

Penumpang yang membawa bersama kanak-kanak kecil, warga emas atau individu kurang upaya kini boleh meminta tempat duduk kanak-kanak atau ruang but tambahan untuk kerusi roda dilipat dengan lebih mudah apabila mereka menempah khidmat kenderaan sewa privet.

Ia dilancarkan mulai November sebagai sebahagian daripada semakan berterusan sektor teksi dan pengangkutan sewa privet, yang dikenali secara kolektif sebagai sektor pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat (P2P), kata Menteri Negara Kanan Pengangkutan, Dr Amy Khor, dalam hantaran di Facebook pada 4 Disember.

Mengiringi hantarannya itu ialah tangkap layar fungsi tersebut pada pelbagai aplikasi sewa kereta privet.

Ini termasuk pilihan menempah perjalanan untuk kanak-kanak yang mempunyai ketinggian bawah 1.35 meter pada aplikasi Zig ComfortDelGro; pilihan mesra kanak-kanak dan ruang bagi kerusi roda pada aplikasi Gojek; dan pilihan mesra kanak-kanak dan kerusi roda pada aplikasi Grab, lapor The Straits Times.

Selain itu, mulai Januari, semua pengendali teksi dan kereta sewa privet perlu memaklumkan penumpang, pemandu dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam masa sejam daripada sebarang kejadian sistemik yang boleh menjejaskan penyediaan perkhidmatan pengangkutan P2P.

Syarikat pengendali yang berhasrat meninggalkan pasaran Singapura juga perlu mengemukakan pelan keluar kepada LTA sekurang-kurangnya 120 hari sebelum menyerahkan lesen mereka, meningkat daripada tempoh 60 hari sekarang.

Pengendali itu juga perlu memaklumkan orang ramai sekurang-kurangnya 60 hari sebelum menyerahkan lesen mereka, supaya penumpang dan pemandu mempunyai masa yang mencukupi untuk mengambil wang daripada dompet elektronik mereka dan beralih ke platform lain.

Ini adalah sebahagian daripada piawaian baru yang perlu dipenuhi oleh pengendali P2P untuk menguruskan gangguan operasi dan mengurangkan kesan gangguan tersebut terhadap pemandu dan penumpang, tambah Dr Khor.

Kemas kini lain kepada peraturan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 itu termasuk lanjutan jangka hayat berkanun teksi bukan elektrik dari lapan tahun kepada 10 tahun untuk mengurangkan penurunan jumlah teksi di sini.

Kekerapan pemeriksaan teksi bawah tiga tahun juga akan diturunkan kepada sekali setahun, daripada sekali setiap enam bulan sebelumnya, bagi mengurangkan masa gangguan bagi pemandu.

Lanjutan jangka hayat berkanun itu akan membolehkan pengusaha teksi membahagikan kos kenderaan itu bagi tempoh lebih panjang, kata Dr Khor semasa perbahasan belanjawan kementeriannya pada Mac.

Ini boleh dilakukan memandangkan bilangan teksi di Singapura “masih amat layak jalan digunakan” di jalan raya, dengan kadar lulus pada pemeriksaan pertama sebanyak 99.5 peratus pada 2023 – lebih tinggi daripada standard kelulusan 98 peratus bagi syarikat teksi.

Sebaliknya, kekerapan pemeriksaan untuk kereta sewa privet yang berumur lebih 10 tahun akan ditingkatkan dari sekali setahun kepada enam bulan sekali.

Ini kerana kereta sewa privet yang lebih lama mempunyai kadar lulus pada pemeriksaan pertama sebanyak 84.5 peratus pada 2023, di bawah standard lulus 90 peratus untuk pengendali pengangkutan sewa privet.

Pemeriksaan yang lebih kerap akan membantu memastikan kenderaan itu layak di jalan raya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg