Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kursus persiapan rumah tangga lebih murah mulai Julai 2025

Rebat ditambah jadi $170; 31,000 pasangan Melayu/Islam raih manfaat program Bersamamu sejak Julai 2019
Feb 16, 2025 | 6:20 PM
Encik Ali Suleiman (dua dari kanan), 78 tahun, dan isteri, Cik Zainon Termon (dua dari kiri), 75 tahun, antara 202 pasangan yang menghadiri majlis Sambutan Perkahwinan Jubli Emas (GJWC) 2025 pada 16 Februari. Bersama mereka ialah anak perempuan mereka, Cik Hafeena Ali (kanan), 54 tahun dan cucu mereka, Cik Nurfarahin Samsudin, 31 tahun.
Encik Ali Suleiman (dua dari kanan), 78 tahun, dan isteri, Cik Zainon Termon (dua dari kiri), 75 tahun, antara 202 pasangan yang menghadiri majlis Sambutan Perkahwinan Jubli Emas (GJWC) 2025 pada 16 Februari. Bersama mereka ialah anak perempuan mereka, Cik Hafeena Ali (kanan), 54 tahun dan cucu mereka, Cik Nurfarahin Samsudin, 31 tahun. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Semua pasangan warga Singapura yang menghadiri program persiapan perkahwinan yang disokong Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) layak menerima rebat $170 mulai 1 Julai 2025, jika mereka melengkapkan program tersebut.

Rebat itu lebih tinggi berbanding yang diberikan pada masa ini, iaitu $70 dan $140 bergantung pada jenis program yang disertai.

Pasangan berpendapatan rendah akan diberi subsidi penuh dan boleh menyertai program secara percuma.

Pasangan yang ingin berkahwin juga boleh mengikuti kursus persiapan perkahwinan menerusi pembelajaran dalam talian atau e-learning dengan jadual pembelajaran lebih fleksibel. Program persiapan sedemikian diperkenalkan untuk pasangan Melayu/Islam sejak November 2023, tetapi akan diubahsuai dan diperluas untuk pasangan bukan Melayu/Islam pada 2025.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad mengumumkan butiran sokongan yang dipertingkat untuk pasangan baru itu di majlis Sambutan Perkahwinan Jubli Emas (GJWC) 2025 pada 16 Februari.

Dalam ucapannya, beliau berkata lebih ramai pasangan didapati mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh hubungan masing-masing.

Ini termasuk program bagi mempertingkat kemahiran berhubungan dan perancangan kewangan.

“Perkahwinan yang kukuh dan penuh kasih sayang membentuk asas kepada keluarga yang kukuh dan berdaya tahan, yang merupakan asas kepada masyarakat kita. 

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah mencapai kemajuan yang baik dalam perjalanan ini, tetapi kami harus terus maju untuk menjalin hubungan dan ikatan kekeluargaan yang lebih kukuh.

“Kami berharap lebih ramai pasangan akan menghadiri program persiapan perkahwinan untuk memperoleh kemahiran penting seperti komunikasi yang berkesan, perancangan kewangan, dan penyelesaian konflik,” kata Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Mulai 1 Julai 2025, pasangan yang mengikuti program persiapan perkahwinan yang disokong Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) layak menerima rebat $170 jika mereka melengkapkan program tersebut.

Rebat ini ditawarkan kepada rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas yang telah berkahwin kurang dua tahun atau bakal mendirikan rumah tangga.

Buat masa ini, rebat yang disediakan adalah $70 bagi program ‘berpandu bukti’ atau evidence-informed dan $140 bagi mengikuti program yang ‘berdasarkan bukti’ (evidenced based). Program berpandu bukti menggabungkan sumber kajian, amalan terbaik dan maklum balas masyarakat, sementara program berdasarkan bukti bersumber amalan terbukti yang telah diuji.

Sebagai contoh, pasangan warga Singapura yang memenuhi syarat dan ingin menyertai program persiapan perkahwinan Cinta Abadi yang bermula dengan harga $200, boleh menerima rebat $170 dan hanya perlu membayar $30.

Subsidi penuh akan ditawarkan kepada pasangan pendapatan rendah yang memenuhi syarat yang ditentukan dan mereka boleh mengikuti program itu secara percuma.

Cinta Abadi, yang dikendalikan bersama oleh Akademi Peningkatan Keluarga Islam, BDMI, D’MarriageExperts dan SPMC, antara program persiapan perkahwinan yang disokong MSF.

Sejak dilancarkan pada Julai 2019, 31,000 pasangan Melayu / Islam telah mengikuti program Bersamamu. Antara lain, program ini memberi peluang kepada Kadi atau Naib Kadi untuk mendampingi pasangan sebelum dan sesudah mereka mendirikan rumah tangga.

Program Journey with You (JoY) pula, yang memadankan bagi pasangan suami isteri baru bukan Muslim dengan pasangan suami isteri lebih berpengalaman sebagai pembimbing dan pendaftar perkahwinan berlesen, telah menyokong lebih 200 pasangan sejak ia dilancarkan pada Disember 2021. Menurut kenyataan Keluarga Sepanjang Hayat, bilangan pembimbing dalam masyarakat telah bertambah kepada hampir 200.

Kuiz Perjalanan Perkahwinan Kami (OMJQ) yang dilancarkan pada Februari 2024 pula telah dilengkapkan oleh lebih 10,500 pasangan sehingga Januari 2025.

Menurut Keluarga Sepanjang Hayat, kursus yang dikendalikan di dalam talian juga bakal diperluas pada 2025.

Butiran lanjut mengenai kursus-kursus ini akan dikongsi dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, 202 pasangan yang telah berkahwin lebih 50 tahun menerima hadiah khas di majlis Sambutan Perkahwinan Jubli Emas yang dihadiri 1,000 tetamu, termasuk Presiden Tharman Shanmugaratnam dan isteri, Cik Jane Ittogi.

Hadiah itu termasuk sijil, pingat emas, nota ucap tahniah dan gambar sebagai tanda mata.

Pasangan yang hadir juga perbaharui komitmen mereka terhadap perkahwinan masing-masing dengan disaksikan keluarga dan rakan-rakan. Antara pasangan yang hadir ialah Encik Ali Suleiman 78 tahun, dan isterinya, Cik Zainon Termon, 75 tahun yang telah 55 tahun berkahwin. Mereka mempunyai tiga anak dan tujuh cucu.

Majlis tahunan itu dianjurkan bersama oleh Majlis Keluarga Sepanjang Hayat, Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan Pejabat Pendaftaran Perkahwinan (ROM).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg