Tanpa mengadu, Encik Anwar Yahya biasanya mencuci semua pinggan mangkuk setiap kali beliau dah isteri selesai makan di rumah.
Juga tanpa jenuh, beliau akan menzahirkan ucapan terima kasih setiap kali isterinya itu siap memasak.
Encik Anwar, 77 tahun, percaya berkongsi tanggungjawab, seperti membuat kerja rumah dan menyatakan penghargaan kepada isteri secara kerap adalah asas perkahwinan yang kukuh dan kunci rumah tangga berkekalan lebih lima dekad.
Beliau dan isterinya, Cik Badariah Abbas, 77 tahun telah berkahwin selama 53 tahun.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), Encik Anwar berkata:
“Pengorbanan, persefahaman dan bertolak ansur itu amat penting dalam sebuah rumah tangga.
“Sebagai suami, saya buat apa yang saya mampu sekarang. Kalau semuanya saya serahkan pada isteri, jika beliau jatuh sakit suatu hari, saya juga yang susah.”
Misalnya, Encik Anwar mencuci dan menggosok bajunya sendiri, amalan yang diteruskan sejak beliau bertugas sebagai pegawai polis auksiliari di pelabuhan PSA.
Menurut beliau, pakaian seragamnya berat dan beliau enggan membebankan isteri.
Justeru, beliau akan mencuci dan menggosok pakaian seragamnya sendiri, dan hanya membenarkan isterinya memasangkan butang sahaja.
“Apa salahnya kita sebagai suami bantu isteri kita?” ujar Encik Anwar yang menjaga pasangan hidupnya itu bagaikan menatang minyak yang penuh.
Mengimbas kembali saat mereka kali pertama bertemu sekitar 53 tahun yang lalu, di majlis perkahwinan seorang kenalan masih mampu mengukir senyuman di bibir kededua Encik Anwar dan CIk Badariah.
Cinta berputik pada pandangan pertama dan dalam masa kurang setahun, mereka telah mendirikan rumah tangga.
Gelak tawa pasangan itu sepanjang temu bual mencerminkan keserasian dan kemesraan yang jelas.
Sementara itu, Cik Badariah, yang suaminya gambarkan sebagai seorang isteri yang penyabar dan memenuhi segala yang diinginkan, menekankan peri penting mempunyai hubungan baik dengan keluarga mentua.
“Keharmonian antara kedua-dua keluarga adalah penting,” ujar beliau yang berasal dari Negeri Sembilan, kini merupakan penduduk tetap (PR) di sini.
Encik Anwar menjelaskan bahawa perkahwinan itu bukan hanya antara suami dan isteri, malah melibatkan keluarga kededua pihak.
“Apabila saya berkahwin dengannya, saya juga berkahwin dengan keluarganya. Menyesuaikan diri dengan gaya hidup keluarga masing-masing mencabar pada mulanya namun ia akan membantu dalam mengukuhkan hubungan itu.”
Encik Anwar dan Cik Badariah antara 202 pasangan yang diraikan di Sambutan Perkahwinan Jubli Emas pada 16 Februari kerana telah berkahwin lebih 50 tahun.
Berkongsi lanjut, Encik Anwar dan Cik Badariah berkata antara kegiatan yang mereka lakukan bersama adalah mengaji selepas solat Subuh.
Mereka juga selalu ke masjid, satu tempat yang bagi mereka menawarkan pengalaman berharga, terutama dalam usaha perbaiki rumah tangga.
“Melalui interaksi bersama jemaah, kami belajar cara menangani masalah apabila ia timbul, termasuk yang berkaitan dengan perkahwinan atau isu keluarga,” jelas Encik Anwar yang sebelum ini pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi di Masjid Al-Taqua di Bedok, dari 2000 hingga 2011.
Dalam pada itu, Cik Badariah berkata generasi masa kini meningkat dewasa dalam keadaan yang amat berbeza berbanding dengannya dan mungkin banyak dipengaruhi bahan di media sosial dan kurang pendedahan kepada pengalaman di luar media sosial.
“Sesetengah anak muda sekarang berkahwin mengikut trend dan pengaruh rakan-rakan sekeliling. Mereka ingin berkahwin tetapi mungkin kurang bersedia menghadapi cabaran yang mengiringi perkahwinan,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg