Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kutipan cukai S’pura naik 10.7% kepada $88.9 bilion

Sep 11, 2025 | 4:18 PM
Meskipun kadar pematuhan cukai tempatan kekal tinggi, Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras), berkata ia akan terus mengambil pendirian tegas terhadap golongan kecil yang sengaja mengelak daripada memenuhi kewajipan cukai mereka.
Meskipun kadar pematuhan cukai tempatan kekal tinggi, Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras), berkata ia akan terus mengambil pendirian tegas terhadap golongan kecil yang sengaja mengelak daripada memenuhi kewajipan cukai mereka. - Foto fail

Hasil kutipan cukai di Singapura meningkat sebanyak 10.7 peratus, dipacu oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta peningkatan dalam perbelanjaan pengguna.

Dalam tahun kewangan dari April 2024 hingga Mac 2025, Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) mengutip cukai sebanyak $88.9 bilion. 

Ini merupakan peningkatan 10.7 peratus berbanding $80.3 bilion yang dikutip semasa tahun kewangan sebelum ini, dari April 2023 hingga Mac 2024, lapor The Straits Times (ST).

Jumlah keseluruhan kutipan cukai itu membentuk sekitar 76.9 peratus daripada hasil kendalian pemerintah dan 12.2 peratus daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Singapura, menurut Iras pada 11 September.

Meskipun kadar pematuhan cukai tempatan kekal tinggi, Iras berkata ia akan terus mengambil pendirian tegas terhadap golongan kecil yang sengaja mengelak daripada memenuhi kewajipan cukai mereka.

Menurut Iras, ia telah mengaudit dan menyiasat lebih 8,600 kes berkaitan cukai pada tahun kewangan terkini, serta mendapatkan semula sekitar $507 juta dalam jumlah cukai dan penalti. 

Jumlah ini turun berbanding 9,590 kes dan lebih $857 juta cukai serta penalti yang ia dapatkan semula dalam tahun kewangan sebelumnya.

Hasil kutipan cukai naik bagi semua jenis cukai, dengan cukai pendapatan korporat naik 6.7 peratus kepada $30.9 bilion, berbanding $29 bilion pada tahun kewangan sebelumnya, susulan prestasi keuntungan korporat yang kukuh.

Cukai pendapatan korporat kekal menjadi penyumbang terbesar kepada hasil kutipan Iras, iaitu 34.8 peratus, tetapi turun daripada 36.1 peratus yang dicatatkan pada tahun kewangan lalu.

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pula menyumbang 22.6 peratus kepada hasil kutipan Iras, iaitu $20 bilion, naik daripada $16.6 bilion pada tahun kewangan sebelumnya. 

Peningkatan itu disebabkan oleh perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi dan langkah penyesuaian yang dibuat kepada kadar GST.

Cukai pendapatan individu pula meningkat kepada $19.1 bilion daripada $17.5 bilion pada tahun kewangan sebelumnya, didorong oleh kenaikan gaji dan peningkatan bilangan pembayar cukai.

Kutipan cukai hartanah berjumlah $6.6 bilion, meningkat daripada $5.9 bilion yang dikumpul pada tahun kewangan sebelumnya.

Kutipan duti setem juga meningkat kepada $6.6 bilion, daripada $5.8 bilion pada tahun kewangan lalu, susulan peningkatan jumlah urus niaga hartanah.

“Cukai yang dikutip memainkan peranan penting dalam menyokong perkhidmatan awam asas, merangsang pertumbuhan ekonomi, mempertingkatkan persekitaran kehidupan, dan memperkasa program sosial yang meningkatkan mutu hidup warga Singapura,” kata Iras.

Dalam tahun kewangan terkini, Iras memproses lebih $1.3 bilion pembayaran kepada sekitar 127,500 perniagaan melalui pelbagai skim termasuk Skim Kredit Gaji Progresif dan Kredit Pekerjaan Warga Emas.

Iras berkata ia akan terus mempertingkatkan pengalaman pembayar cukai dan perniagaan melalui inisiatif utama seperti Giro elektronik, atau eGiro.

Penguasa cukai itu telah meluaskan perkhidmatan eGiro daripada dua kepada tujuh bank yang mengambil bahagian untuk pembayar cukai individu, serta meluaskan khidmat tersebut kepada pembayar cukai korporat.

Ia juga telah menaik taraf portal myTax, antaranya membolehkan pembayar cukai melayari portal itu dengan lebih mudah, serta melengkapi portal tersebut dengan hab pemberitahuan berpusat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg