Hampir 500,000 pembayar cukai akan menerima bil cukai mereka secara langsung daripada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) bagi musim cukai ini.
Sebahagian individu bekerja sendiri akan mendapat manfaat daripada skim itu buat kali pertama.
Mulai pertengahan Mac, pembayar cukai akan menerima bil cukai dengan maklumat pendapatan mereka disertakan secara automatik dan pelepasan cukai sudah diisi di bawah inisiatif Notis Taksiran Langsung.
Inisiatif itu kini diperluas kepada mereka yang bekerja sendiri, kata Iras pada 11 Mac, berikutan maklumat pendapatan yang dikemukakan oleh pengantara, misalnya pertubuhan yang membayar komisen dan pengendali kereta sewa privet.
Menurut The Straits Times, Iras merancang melancarkan inisiatif itu kepada sebahagian besar pembayar cukai dalam beberapa tahun akan datang.
Kira-kira 500,000 pembayar cukai akan menjadi antara lebih 1.9 juta individu yang layak bagi Perkhidmatan Tidak Perlu Menghantar Penyata Cukai (No-Filing Service – NFS) yang bererti mereka tidak perlu memfail penyata cukai, kata Iras.
Untuk menyemak sama ada anda akan mendapat bil cukai anda secara langsung, anda boleh melayari pusat pemberitahuan Portal myTax atau lihat Tax Matters at a Glance (Sepintas Lalu Mengenai Cukai).
Pindaan boleh dibuat dalam masa 30 hari dari tarikh bil cukai anda.
Dengan perubahan dalam kriteria pelepasan cukai berkaitan tanggungan yang berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2025, atau pendapatan mulai 2024, pihak berkuasa mengingatkan pembayar cukai supaya mengesahkan maklumat sudah terisi yang diberikan dalam penyata cukai mereka.
Sebarang perubahan yang perlu dibuat perlu dilakukan melalui Portal myTax, tambahnya, dengan penyata cukai pendapatan perlu difailkan selewat-lewatnya pada 18 April.
Pada 2025, semua penduduk yang membayar cukai akan menerima 60 peratus rebat cukai pendapatan peribadi untuk pendapatan yang diperoleh pada 2024, dihadkan pada $200 bagi setiap pembayar cukai, seperti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa ucapan Belanjawannya pada 18 Februari.
Terdapat juga perubahan pada had pendapatan tahunan untuk pelepasan berkaitan tanggungan, daripada $4,000 kepada $8,000.
Perubahan itu, yang diumum semasa ucapan Belanjawan 2024, akan melibatkan pelepasan pasangan, pelepasan ibu bapa, pelepasan anak yang layak, pelepasan anak bagi ibu bekerja, pelepasan tambahan tunai apabila tokokan dibuat ke akaun Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) pasangan atau adik-beradik, dan pelepasan penjaga datuk nenek.
Pelepasan anak bagi ibu yang bekerja juga akan diubah.
Daripada sejumlah peratusan pendapatan ibu bekerja yang layak, ia kini menjadi pelepasan cukai dolar tetap bagi mereka yang mempunyai anak yang layak, yang merupakan warga Singapura dan dilahirkan atau diambil sebagai anak angkat pada atau selepas 1 Januari 2024.
Pelepasan cukai berjumlah $8,000 untuk anak pertama; $10,000 bagi anak kedua; dan $12,000 untuk mana-mana anak berikutnya.
Perubahan terakhir akan memberi kesan kepada mereka yang masih memfailkan cukai secara fizikal – kira-kira 2 peratus daripada individu yang membayar cukai dalam kalangan penduduk.
Untuk diselaraskan dengan tarikh akhir bagi mereka yang memfailkan cukai secara elektronik, tarikh akhir bagi mereka yang memfailkan cukai menggunakan borang fizikal kini ialah 18 April, bukan 15 April.
Borang kertas itu akan diberikan kepada mereka antara Februari dengan Mac, walaupun Iras berkata ia menggalak pembayar cukai beralih kepada pemfailan elektronik.
Untuk pembayaran cukai, pihak berkuasa mengesyorkan orang ramai menggunakan kaedah pembayaran terjamin seperti Giro atau PayNow QR, sambil memberi amaran tentang sebarang percubaan penipuan.
Ia berkata individu harus mengklik hanya pautan yang ada ‘iras.gov.sg’ atau ‘go.gov.sg’, dan Iras tidak akan meminta maklumat peribadi atau sulit melalui e-mel atau pautan Internet tidak selamat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg