USTAZ DR MOHD MURAT MD ARIS
Apakah peranan zakat dalam masyarakat Islam di Singapura pada masa kini, kepentingannya dan bagaimana ia telah berkembang?
Zakat sebagai rukun Islam yang ketiga mempunyai kedudukan yang amat penting bagi masyarakat Islam. Ia bukan sahaja melambangkan ketaatan kepada Allah swt, malah turut berfungsi sebagai mekanisme keadilan sosial yang berperanan menangani ketidaksamarataan dan memperkukuh kebersamaan dalam kalangan umat Islam.
Pada era awal pembangunan negara, amalan zakat dilaksanakan secara tidak formal oleh beberapa pertubuhan kebajikan Islam. Namun, dengan penubuhan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), sistem kutipan dan pengagihan zakat kemudiannya dibangunkan secara lebih berstruktur, teratur dan berpusat. Ini bagi memastikan kutipan serta agihan dilaksanakan dengan cekap, telus dan mematuhi ketetapan syariah untuk semua lapan kategori asnaf, khususnya fakir dan miskin.
Singapura telah menyaksikan peningkatan kutipan zakat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Faktor apakah yang mendorong trend positif ini?
Apakah daya usaha yang telah dilaksanakan oleh Muis untuk mendidik masyarakat Islam tentang kewajipan zakat mereka?
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Singapura menyaksikan peningkatan kutipan zakat yang ketara, mencapai lebih daripada $70 juta, jumlah tertinggi dalam sejarah.
Perkembangan positif ini didorong oleh beberapa faktor penting, termasuk kesedaran masyarakat dan pertumbuhan ekonomi negara, di samping pemahaman yang semakin meluas bahawa zakat bukan sekadar amalan kebajikan, bahkan satu tanggungjawab agama untuk berkongsi sebahagian daripada rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah swt.
Usaha pendidikan awam yang dijalankan Muis, termasuk penyebaran maklumat melalui media sosial, laman web dan kerjasama dengan masjid-masjid serta penggiat masyarakat, berjaya meningkatkan kesedaran tentang ibadah zakat ini dan membetulkan salah tanggapan, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Antara salah tanggapan yang perlu dibetulkan termasuk mengenai kewajipan dan pengiraan zakat bagi aset kewangan yang berlainan.
Hal ini terutamanya, adakah aset berikut wajib dizakatkan, siapa yang harus menunaikan zakat atasnya, bila harus zakat ditunaikan, dan bagaimana untuk mengiranya? Misalnya, masih ada yang tidak pasti sama ada zakat perlu ditunaikan atas emas yang niat dipakai berbanding emas yang tidak niat dipakai dan dibeli sebagai pelaburan.
Di samping itu, ada juga kemusykilan tentang perbezaan antara zakat dan wakaf dengan infak dari segi hukum, tujuan, kadar, kaedah dan penerima. Melalui pendidikan dan penerangan berterusan, Muis berusaha menjelaskan isu-isu ini supaya masyarakat dapat melaksanakan ibadah zakat dengan sempurna.
Selain itu, bagi memudahkan proses pembayaran zakat, sistem kutipan dan agihan zakat yang dilaksanakan secara berpusat dan telus melalui Muis dan masjid-masjid telah meningkatkan tahap kecekapan dan kebertanggungjawaban, manakala penyepaduan dengan sistem kewangan moden seperti NETS, PayNow dan kad debit menjadikan proses pembayaran zakat jauh lebih mudah, cepat dan selamat.
Dana zakat yang dikumpulkan memberi impak besar kepada kesejahteraan masyarakat Islam. Muis bekerjasama rapat dengan badan lain untuk menyediakan bantuan kewangan bulanan kepada keluarga yang menghadapi cabaran demi memenuhi keperluan asas.
Bantuan ini memberi tumpuan kepada penerima jangka panjang seperti warga emas, pesakit kronik dan individu kurang upaya yang bergantung pada sokongan ini untuk meneruskan kehidupan harian mereka. Ia juga memberi bantuan jangka pendek, bagi golongan yang tiada pekerjaan baru atau yang bergaji rendah.
Selain bantuan kewangan, zakat turut membiayai program pembangunan keluarga yang memberi penekanan kepada kemahiran hidup, pengurusan kewangan serta daya usaha sosial seperti kunjungan sokongan oleh sukarelawan bagi mengurangkan pengasingan sosial, khususnya dalam kalangan warga emas dan mereka yang bergelut dengan masalah kesihatan.
Di samping memenuhi keperluan asasi masyarakat, zakat juga memainkan peranan strategik dalam memperkukuh institusi keagamaan di bawah asnaf fisabilillah.
Zakat menyokong pembangunan masjid melalui pembiayaan latihan kepimpinan, tadbir urus dan program pembangunan masyarakat untuk memastikan masjid sentiasa berada pada tahap kecemerlangan dalam memenuhi keperluan jemaah.
Dalam bidang pendidikan pula, zakat mengukuhkan pendidikan Islam formal dan sambilan menerusi geran-geran pendidikan, serta membantu pembangunan kurikulum seperti ADIL, dan menyediakan peluang latihan berterusan untuk satizah.
Usaha ini memastikan pendidikan agama dapat dicapai oleh setiap kanak-kanak tanpa halangan kewangan. Institusi agama setempat juga terus berkembang dengan kukuh.
Bagaimanakah pendigitalan telah mengubah cara umat Islam di Singapura menunaikan kewajipan zakat?
Pendigitalan turut membawa perubahan besar dalam membantu dan mempermudah masyarakat menunaikan kewajipan zakat.
Laman web zakat.sg kini menjadi saluran utama pembayaran, dengan fungsi kalkulator zakat serta sistem pengurusan maklumat pembayar (CRM) yang membolehkan mereka menjejak rekod sumbangan terdahulu sekiranya tidak memilih untuk berzakat secara rahsia. Kemudahan digital ini memberikan pengalaman yang lebih tersusun dan mesra pengguna, sejajar dengan budaya teknologi masyarakat Singapura.
Bagaimanakah aspek ketelusan dan kebertanggungjawaban dipastikan dalam proses kutipan dan agihan zakat? Apakah yang akan anda sampaikan kepada umat Islam yang mungkin ragu-ragu untuk menunaikan zakat melalui institusi rasmi?
Ketelusan dan kebertanggungjawaban menjadi asas kepada kepercayaan masyarakat terhadap sistem zakat.
Muis secara konsisten berkongsi perkembangan agihan zakat melalui kempen pendidikan awam dan menerbitkan semua penggunaan dana zakat dalam Laporan Tahunannya. Proses audit yang ketat memastikan setiap dana yang diterima diuruskan dengan penuh amanah, cekap dan selaras dengan ketetapan syariah.
Dengan sistem yang telus dan bertauliah ini, masyarakat dapat diyakinkan setiap sumbangan yang mereka keluarkan benar-benar sampai kepada golongan yang berhak dan memberi impak yang nyata kepada kehidupan mereka.
Kesimpulannya, zakat di Singapura berfungsi bukan sahaja sebagai tuntutan agama, malah sebagai instrumen pembangunan sosial yang menyeluruh. Ia membantu mengangkat martabat keluarga yang memerlukan, memperkukuh institusi agama, serta memupuk budaya ihsan dan tanggungjawab dalam kalangan masyarakat.
Dengan komitmen berterusan daripada pembayar zakat, sistem ini akan terus menjadi tonggak penting dalam memperkasa dan memajukan masyarakat Islam agar kekal maju, berdaya tahan dan penuh kasih sayang.
Penulis merupakan Timbalan Mufti Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg