Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Label gred khasiat minuman segar dilaksana mulai 30 Dis

Iklan promosi minuman segar gred rendah ‘D’ dilarang di bawah peraturan baru
Dec 29, 2023 | 6:06 PM
LANGKAH KURANGKAN PENGAMBILAN GULA: Keperluan  memaparkan gred khasiat, atau Nutri-Grade, minuman yang disediakan secara segar dikenakan ke atas perniagaan runcit seperti kedai makanan dan minuman (F&B), syarikat katering serta wadah digital, dan perniagaan bukan runcit seperti hotel, tempat kerja, institusi pendidikan, institusi penjagaan kesihatan dan tempat penjagaan kanak-kanak.
LANGKAH KURANGKAN PENGAMBILAN GULA: Keperluan memaparkan gred khasiat, atau Nutri-Grade, minuman yang disediakan secara segar dikenakan ke atas perniagaan runcit seperti kedai makanan dan minuman (F&B), syarikat katering serta wadah digital, dan perniagaan bukan runcit seperti hotel, tempat kerja, institusi pendidikan, institusi penjagaan kesihatan dan tempat penjagaan kanak-kanak. - Foto fail

Keperluan memaparkan gred khasiat, atau Nutri-Grade, dan larangan pengiklanan minuman yang disediakan segar untuk dijual akan berkuat kuasa mulai 30 Disember bagi beberapa perniagaan tertentu.

Ini termasuk minuman yang disediakan secara segar yang dijual dalam perniagaan runcit, seperti kedai makanan dan minuman (F&B), syarikat katering serta platform digital, dan perniagaan bukan runcit, seperti hotel, tempat kerja, institusi pendidikan, institusi penjagaan kesihatan dan tempat penjagaan kanak-kanak.

Ini dinyatakan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan pada 29 Disember.

“Langkah-langkah Nutri-Grade akan memudahkan pengguna mengenal pasti dan memilih minuman segar yang lebih rendah kandungan gula dan lemak tepu berdasarkan tanda Nutri-Grade mereka.

“Pengguna yang ingin menambah bahan tambahan, atau topping, seperti pearl dan jeli ke minuman segar mereka juga akan mendapat maklumat tentang kandungan gulanya,” kata MOH.

Pada 30 Disember 2022, keperluan pelabelan Nutri-Grade dan larangan pengiklanan dilaksanakan bagi minuman prabungkus, atau pre-packaged, yang dijual di Singapura dan minuman dari dispenser automatik yang tidak boleh disesuaikan untuk menggalak pengguna mengurangkan pengambilan gula.

Dengan langkah terbaru ini juga, iklan yang mempromosikan penjualan minuman segar yang mempunyai gred ‘D’ akan dilarang.

Antara ciri utama keperluan pelabelan yang akan dikuatkuasakan ialah keperluan bagi perniagaan melabelkan minuman segar dengan gred ‘A’, ‘B’, ‘C’ atau ‘D’, mengikut sistem penggredan Nutri-Grade yang berdasarkan kandungan gula dan lemak tepu dalam minuman.

Jika minuman tersebut mempunyai gred ‘C’ atau ‘D’, tanda Nutri-Grade mesti dilabelkan bersebelahan dengan minuman yang disenaraikan untuk dijual, seperti pada menu fizikal atau dalam talian, di tempat pembeliannya.

Pelabelan minuman Nutri-Grade yang digredkan ‘A’ atau ‘B’ tidak diwajibkan.

Menurut MOH, individu dan perniagaan yang menjalankan perniagaan F&B lebih kecil akan dikecualikan buat masa ini daripada melaksanakan keperluan Nutri-Grade bagi minuman segar.

Ini termasuk perniagaan F&B yang memperoleh hasil tidak lebih $1 juta pada tahun kewangan terkini dan menjual atau membekalkan minuman tersebut di kurang dari 10 tempat makanan.

“Kami akan mengkaji semula pengecualian ini dari semasa ke semasa dan menyesuaikannya jika perlu.

“Perniagaan masih perlu mematuhi langkah-langkah bagi minuman prabungkus dan minuman yang dikeluarkan dari dispenser minuman automatik yang tidak boleh disesuaikan,” kata MOH.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg