Individu dan pekebun, penerima bantuan khidmat jagaan warga emas, kumpulan sukarelawan dan pertumbuhan akar umbi kini boleh meneroka daya usaha berkaitan alam semula jadi mereka sendiri dengan pelancaran Perusahaan Sosial Ladang Bandar Masyarakat (SECUF) pertama Singapura di Taman West Coast.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, telah merasmikan ladang itu dan menyertai aktiviti yang dianjurkan seperti bengkel hortikultur terapeutik pada 1 Jun.
Ladang berkeluasan 5,000 meter persegi telah dilancarkan Lembaga Taman Negara (NParks) dengan kerjasama City Sprouts, sebuah perusahaan sosial yang mengusahakan kegiatan pertanian bandar di samping menawarkan ruang bercucuk tanam kepada masyarakat tempatan.
Ia turut mengetengahkan lot rumah kaca dan plot berkebun untuk disewa masyarakat dan rakan kongsi serta ruang bersama, termasuk dewan masyarakat bersepadu dan sebuah kafe dengan misi sosial di mana orang ramai boleh berkumpul dan menjalankan aktiviti.
Ladang bandar ini juga merupakan sebahagian usaha mengukuhkan pengawasan masyarakat dan daya tahan sosial di bawah visi Bandar Dalam Alam Semula Jadi (City in Nature).
City Sprouts akan bekerjasama dengan penyewanya, Orang Laut SG, Ordinary Mood Café dan Wildlings, sebuah syarikat yang menghubungkan kanak-kanak dan keluarga dengan dunia semula jadi melalui Sekolah Hutan Tropika mereka, dalam mencapai matlamat jangka panjang melibatkan semua segmen masyarakat dan mempromosikan budaya Singapura dan warisan budaya West Coast yang unik.
City Sprouts@West Coast juga komited dalam bekerjasama rapat dengan benefisiari seperti khidmat jagaan warga emas St Luke’s Eldercare, dan Lions Befrienders.
Sebagai sebahagian usaha berterusan bekerjasama dengan perusahaan sosial untuk menubuhkan ladang perusahaan sosial ini, NParks telah menerbitkan tender SECUF kedua untuk ladang bandar masyarakat seterusnya yang akan dilancarkan di Taman Pasir Ris.
Perusahaan sosial yang berminat boleh mengemukakan permohonan mereka melalui Ge-Biz, portal e-perolehan pemerintah Singapura.
NParks juga mengumumkan bahawa 194 plot yang diperuntukan untuk berkebun akan dibuka untuk permohonan dan pengundian melalui saluran AXS dari 3 Jun 2024, 10 pagi hingga 16 Jun 2024, 11.59 malam.
Plot ini akan dibuka untuk permohonan di pelbagai taman peruntukan sedia ada termasuk Taman Aljunied, Taman Choa Chu Kang, Taman Pasir Ris, Taman Sengkang Riverside dan Taman Yishun. – SHIQIN RAMADAN
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg