Pengeluaran sayur-sayuran dan makanan laut jatuh pada 2023 walaupun ada peningkatan dalam bilangan ladang sayur-sayuran, manakala pengeluaran telur tempatan meningkat.
Dalam laporan makanan tahunannya pada 20 Mei, Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata industri itu menghadapi cabaran dalam membina ladangnya semasa pandemik Covid-19, dan bergelut dengan tekanan inflasi, harga tenaga lebih tinggi dan kos tenaga kerja.
Pengeluaran sayur-sayuran tempatan menyumbang 3.2 peratus daripada jumlah penggunaan makanan pada 2023, turun daripada 3.9 peratus pada 2022.
Pengeluaran makanan laut turun kepada 7.3 peratus daripada 7.6 peratus pada 2022, kata SFA.
Hasil sayur-sayuran tempatan merosot walaupun terdapat peningkatan dalam bilangan ladang – 115 ladang sayur di Singapura pada 2023, meningkat daripada 111 pada 2022, menurut laporan statistik makanan SFA.
Bilangan ladang makanan laut berasaskan lautan jatuh daripada 109 pada 2022 kepada 98 pada 2023, manakala bilangan ladang makanan laut berasaskan darat meningkat daripada 27 pada 2022 kepada 33 pada 2023.
Kejatuhan dalam pengeluaran tempatan berlaku di tengah-tengah laporan mengenai masalah lain yang dihadapi oleh sektor pertanian tempatan.
Ladang sayur-sayuran VertiVegies telah membatalkan rancangan membina sebuah ladang dalaman terbesar di Lim Chu Kang, menyatakan mengalami masalah bersama rakan usaha samanya, syarikat perladangan China SananBio, yang membekalkan ladang itu dengan perkakasan pengeluarannya.
Ia mengembalikan sebidang tanah seluas 2 hektar kepada SFA pada April 2022.
VertiVegies berhasrat menghasilkan sekitar enam tan sayur-sayuran setiap hari, termasuk sayur-sayuran kegemaran seperti xiao bai cai, nai bai dan kubis.
Ladang itu akan menjadi salah satu ladang sayur-sayuran dalaman terbesar di Singapura, meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran tempatan sehingga 10 peratus.
SFA juga akan berusaha untuk memperbaiki infrastruktur penternakan ikan di perairan selatan, di mana satu-satunya ladang beroperasi di sana – Kumpulan Barramundi – mempunyai rancangan untuk keluar.
Untuk meningkatkan keselamatan makanan, Singapura mempunyai matlamat menghasilkan 30 peratus keperluan pemakanannya menjelang 2030.
Singapura juga telah meningkatkan jumlah sumber import makanan pada 2023, daripada 183 negara dan wilayah pada 2022 kepada 187 pada 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg