Topik diikuti
Pergi ke BHkuLadang telur keempat S’pura bekal telur gred Jepun mula binaan selepas empat tahun tertangguh
Ladang telur keempat S’pura bekal telur gred Jepun mula binaan selepas empat tahun tertangguh
Ladang telur keempat S’pura bekal telur gred Jepun mula binaan selepas empat tahun tertangguh
Ladang telur keempat Singapura, yang pada asalnya dijadualkan mula beroperasi pada 2024, kini akan memulakan pengeluaran pada 2028.
DoMo Farm ingin membawa telur bergred Jepun – yang mempunyai kuning telur berwarna jingga tua dan selamat dimakan mentah – kepada pengguna Singapura menjelang tahun tersebut.
Disebabkan piawaian kebersihan dan keselamatan ketat yang diperlukan bagi pengeluaran telur, pembinaan ladang itu tertangguh bagi memastikan langkah biokeselamatan yang mencukupi dapat dilaksanakan tanpa menjejas sasaran pengeluaran ladang tersebut, kata pemilik ladang, ISE Foods Holdings, kepada The Straits Times (ST) pada 24 September.
Kos pembinaan lebih tinggi akibat gangguan rantaian bekalan yang disebabkan oleh tempoh pascapandemik serta perang Russia-Ukraine turut menyumbang kepada kelewatan itu, kata pengarah eksekutifnya, Encik Kenneth Ho.
“Kami ada banyak masa untuk membuat (perancangan dan reka bentuk) secara terperinci. Oleh itu, kami dapat kekalkan kos seperti bajet asal kami, tetapi dengan kapasiti pengeluaran lebih tinggi sekarang,” kata Encik Ho, sambil menambah bahawa penangguhan pembinaan ladang itu akhirnya membawa manfaat.
“Kami percaya bahawa keselamatan makanan dan kemampanan komersial harus berjalan seiring.”
ISE Foods Holdings merupakan anak syarikat firma penyelesaian kejuruteraan dan perkhidmatan, Ellipsiz, di mana Encik Ho turut memegang jawatan ketua pegawai eksekutif.
Beliau bercakap kepada ST di pejabat ISE Foods Holdings menjelang majlis pecah tanah ladang bernilai $110 juta itu di Lim Chu Kang pada 29 September. Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, merupakan tetamu kehormat.
Singapura kini mempunyai tiga ladang telur – Chew’s Agriculture, Seng Choon Farm dan N&N Agriculture. Pada 2025, mereka mengeluarkan lebih 736 juta telur, dengan jumlah pengambilan telur Singapura pada tahun tersebut melebihi 2.2 bilion telur.
Apabila beroperasi pada 2028, DoMo Farm akan dapat menghasilkan kira-kira 380 juta telur setahun. Encik Ho berkata pihaknya merancang untuk memperluas pengeluaran kepada lebih 500 juta telur setahun.
Apabila sasaran itu tercapai, telur tempatan berpotensi merangkumi lebih separuh daripada jumlah telur yang dimakan pada 2025.
Encik Ho berkata harga telur DoMo Farm akan kekal kompetitif berbanding telur yang dihasilkan ladang tempatan lain yang dijual dengan harga antara $3.35 hingga $7 di laman web FairPrice dan Cold Storage.
Pada 2024, ST melaporkan bahawa semakan ISE terhadap langkah biokeselamatan dan kos pembangunan mungkin memerlukan pengubahsuaian kepada reka bentuk atau susun atur ladang tersebut, yang boleh membawa kepada kelewatan penyiapan ladang itu.
Kelewatan itu didedahkan menerusi kemas kini Ellipsiz kepada Bursa Saham Singapura pada September 2023 serta laporan keputusan separuh tahunannya bagi Tahun Kewangan 2024.
Ketika itu ladang tersebut enggan memberi sebarang komen.
Dalam temu bual baru-baru ini, Encik Ho mendedahkan bahawa plot ladang seluas 10 hektar yang asalnya diperuntukkan di Kranji Way terlalu kecil untuk memenuhi langkah biokeselamatan, serta mencapai sasaran pengeluaran tahunan awal sebanyak 360 juta telur.