Setiap nota dan lirik dalam lagu barunya membawa satu mesej yang jelas – kasih dan penghargaan buat tanah air tercinta.
Berjudul ‘Way Back Home’ lagu itu ibarat warkah cinta bagi pulau titik merah ini.
Shareefa Aminah Abdul Shariff, atau lebih dikenali sebagai Shazza, telah memuatnaikkan lagu itu di media sosialnya pada malam 3 Ogos.
Bercakap dengan Berita Harian, Shazza, 23 tahun berkata ia sudah menjadi impian beliau sejak sekian lama untuk menulis lagu sempena Hari Kebangsaan Singapura.
“Saya ingin menulis lagu yang dapat menyentuh hati warga Singapura. Meskipun betapa jauh mereka merantau, mereka masih rasa tenang dan selesa untuk kembali ke negara ini,” jelas anak kedua dalam tiga beradik itu.
Lagu ‘Way Back Home’ yang ditulis dan dihasilkan beliau sendiri secara bebas tanpa penajaan, kini menerima banyak pujian dalam talian.
Walaupun ia bukan lagu kebangsaan rasmi 2025, ramai pendengar merasakan ia mempunyai sentuhan yang jujur dan tulus, sejajar dengan sambutan kemerdekaan Singapura yang ke-60 tahun.
Memandangkan beliau terlibat dalam Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024, Shazza berkongsi bahawa pengalaman itu memberinya pendedahan yang lebih luas dan perspektif yang lebih mendalam dalam menghargai Singapura.
Secara tidak langsung, ia menggerakkan hatinya untuk menulis dan menyumbang lagu khas untuk Singapura.
Shazza turut mengongsi bahawa ia mengambil sekitar tiga bulan untuk menulis lagu itu dan beliau juga mendapat kerjasama daripada rakan baiknya, Timothy Liew, yang juga merupakan penerbit muzik tempatan.
“Saya banyak fikir tentang kawan-kawan saya yang keluar negara untuk belajar atau bekerja. Ada yang ke London, Jerman, Helsinki, dan ada yang belajar di Oxford di Britain selama beberapa tahun.
“Walaupun saya suka duduk di rumah, saya kagum melihat mereka berani ke luar negara buat tempoh yang lama. Lagu ini juga khas untuk mereka yang keluar dan tetap akan pulang kembali ke tanah air, Singapura,” jelas Shazza yang pernah meraih Anugerah Jauhari Harapan 2023 yang disampaikan akhbar ini.
Shazza juga menyelitkan impiannya untuk membawa muzik Singapura ke pentas antarabangsa.
Baginya, lagu ini adalah satu penghormatan kepada golongan muda yang cuba membawa nama negara ke tahap lebih tinggi melalui bidang masing-masing.
“Walaupun projek lagu ini tidak dibayar, saya gembira menghasilkannya kerana ia ikhlas dari hati dan saya berterima kasih kepada bapa saya yang kerap menyokong dan menggalak saya teruskan menulis dan juga hasilkan video muzik untuk lagu tersebut,” cerita Shazza yang kemudian menambah video muzik itu mendapat bantuan rakaman dan suntingan oleh bapanya, Encik Abdul Shariff dan juga bekas pelajar bapanya, Encik Hafiz Rahman sebagai juruvideo.
“Saya harap bagi mereka yang menonton video muzik ini, mereka dapat perhatikan bahawa ada banyak detik kecil yang sering kita pandang ringan, tetapi sebenarnya itulah wajah sebenar Singapura.
“Misalnya, kanak-kanak bermain badminton di kawasan estet perumahan, pemandu bas membantu individu berkerusi roda menaiki bas, ataupun mural kejiranan yang kita lihat setiap hari. Semua ini menggambarkan kehidupan seharian yang membentuk kita sebagai rakyat Singapura,” tambah Shazza.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg