Sewaktu berada dalam tahanan di penjara, Cik Siti Nur Indah Abdullah, berasa luluh kerana tidak dapat membesarkan anak keenamnya yang baru sahaja dilahirkan.

Beliau bertambah pilu tatkala anaknya itu tidak mengenalinya pada fasa awal pembesaran dan membuatnya semakin rasa terpisah dengan kesemua anaknya.

Cik Indah, 36 tahun, yang diberkas pada 2021 atas kesalahan penyalahgunaan dadah sedang hamil.

Ketika itu, kandungannya berusia enam bulan.

Menyingkap pengalaman yang menyayat hati itu, beliau yang dibebaskan pada 2024 berkata:

“Setelah saya melahirkan anak saya, saya cuma dapat meluangkan masa dan mendukungnya hanya selama 30 minit sehari.

“Saya tidak dapat benar-benar menyusukannya dan setiap masa diluangkan bersama anak saya dipantau oleh pegawai kerana saya masih menjalani hukuman penjara.

“Apabila anak saya datang melawat saya di penjara, dia seperti tidak kenal saya dan tidak ingin dekat dengan saya.

“Justeru, apabila saya cuba memanggilnya, dia akan mula menangis. Pada waktu itu, saya benar-benar berasa sedih dan gagal sebagai seorang ibu.”

Walaupun dirundung kepiluan dek anaknya yang menjauh daripadanya, ibu tujuh anak berusia antara tujuh bulan dengan 17 tahun itu bernasib baik kerana menerima sokongan badan tidak mengaut untung, New Life Stories, sewaktu di penjara.

Beliau telah menjalani program, New Life Stories, di bawah naungan Collective for a Stronger Society (CSS) yang memupuk kemahiran keibubapaan yang mendalam dan mencerahkan tentang trauma yang biasa dilalui kanak-kanak.

Dilancarkan pada 2024, CSS merupakan kerjasama antara Yayasan Masyarakat Singapura (CFS) dengan Dana Masyarakat.

“Melalui program tersebut, saya pelajari cara dan kemahiran tertentu dalam menjadi ibu bapa kepada anak-anak saya.

“Justeru, secara tidak langsung, ia bantu saya mengambil pendekatan berbeza apabila bersama anak-anak seperti agar lebih berlembut dengan mereka.

“Alhamdulillah, hal itu telah membantu saya membangun hubungan yang sangat rapat dengan anak saya.

“Malah, bila saya keluar penjara, anak saya yang dulu tak kenal saya lari ke arah saya untuk peluk saya,” jelas Cik Indah yang kini seorang suri rumah.

New Life Stories merupakan badan yang menghulurkan sokongan kepada banduan dan anggota keluarga mereka untuk membina hidup mereka semula dalam masyarakat.

Ia juga merupakan salah satu rakan kerjasama dalam usaha CSS dengan matlamat membantu mendorong mobiliti sosial bagi keluarga yang memerlukan melalui kumpulan dana oleh penderma, perniagaan dan rakan kerjasama pemerintah.

Dilancarkan pada 2024, CSS merupakan usaha kerjasama antara CFS dengan Dana Masyarakat (cabang filantropi Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga.

CFS pula merupakan badan yang bertujuan memperkasa individu dan pertubuhan untuk menyumbang balik kepada masyarakat.

Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, mengumumkan pada acara, Donor Learning Event, di Pusat Khidmat Keluarga Yishun @ Persatuan Kanak-Kanak, empat program baharu pula akan dilancarkan dalam usaha CSS membantu masyarakat yang mempunyai keperluan berbeza, meningkatkan jumlah program kepada 21 daripada 17.

“Tatkala CSS melangkah ke fasa seterusnya, ia akan memberi tumpuan lebih kepada hal kesihatan, pendidikan dan daya tahan keluarga.

“Kami juga akan perkukuhkan lingkungan keprihatinan kerana keluarga akan menjadi baik sekiranya sokongan diaturkan dalam setiap aspek kehidupan mereka.”

Setakat ini, dana yang terkumpul CSS telah melebihi jumlah $21.4 juta dan telah memanfaatkan lebih 10,000 keluarga dan 30,000 penerima bantuan.