Ibu bapa yang ingin memahami anak dengan lebih baik dan membina hubungan lebih kukuh di rumah boleh menyertai bengkel keibubapaan percuma bertajuk, ‘Listening Before Correcting – Why Emotional Safety Matters For Our Kids’ (Mendengar Sebelum Membetulkan – Mengapa Keselamatan Emosi Penting Untuk Anak-Anak Kita) pada 10 Julai.

Dianjurkan oleh The Whitehatters dengan sokongan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), bengkel tersebut akan memberi tumpuan kepada bagaimana perbualan dalam keluarga boleh mengukuhkan hubungan dan kepercayaan antara ibu bapa dengan anak, atau sebaliknya mewujudkan jurang dalam hubungan tersebut.

Menurut penganjur, apabila kanak-kanak menghadapi kesukaran, menunjukkan tingkah laku yang mencabar atau menarik diri, ramai ibu bapa cenderung memberi tumpuan membetulkan tingkah laku tersebut.

Namun, pada saat itu, anak mungkin lebih memerlukan ruang untuk didengar dan difahami.

Melalui contoh yang dekat dengan kehidupan harian, peserta akan meneroka bagaimana ibu bapa boleh mewujudkan persekitaran yang membolehkan anak berasa selamat untuk berkongsi fikiran dan perasaan mereka.

Bengkel itu juga bertujuan membantu keluarga yang berdepan cabaran keibubapaan, khususnya apabila disiplin, emosi dan perbezaan pandangan menjadi punca konflik.

Antara konsep utama yang akan dibincangkan ialah pentingnya mendengar sebelum membetulkan tingkah laku anak, satu perubahan pendekatan yang boleh menjadikan keadaan harian peluang membina hubungan dan kepercayaan.

Peserta juga akan mempelajari pentingnya komunikasi yang jelas dan tekal antara ibu bapa dengan anak dalam membentuk pemahaman anak tentang batasan, keupayaan meluahkan emosi serta rasa selamat dalam hubungan keluarga.

Selain itu, bengkel tersebut akan membantu ibu bapa memahami keperluan emosi anak dengan lebih mendalam, termasuk mengenal pasti tanda berlakunya keretakan komunikasi, menilai semula tingkah laku sendiri dan memberi tindak balas yang dapat mengurangkan sikap mempertahankan diri sambil mengekalkan batasan yang jelas.

Tarikh: 10 Julai
Masa: 7 malam hingga 9.30 malam
Lokasi: Kelab Masyarakat Woodlands

Pendaftaran boleh dibuat di pautan, https://bh.sg/bengkel