Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lahir keyakinan DPM Wong, pemimpin 4G terus pererat hubungan dengan masyarakat Melayu/Islam

May 10, 2024 | 6:00 PM
Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong (tengah), menyertai permainan congkak bersama pelajar Sekolah Menengah Orchid Park pada 2015, sebahagian acara di pelancaran Bulan Bahasa Melayu pada tahun itu. Bersamanya ialah isterinya, Cik Ho Ching (berdiri, baju putih), dan penjawat politik Melayu seperti Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (berdiri, tiga dari kanan),  Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (berdiri, empat dari kanan); dan Encik Zaqy Mohamad (di sebelah Encik Lee).
Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong (tengah), menyertai permainan congkak bersama pelajar Sekolah Menengah Orchid Park pada 2015, sebahagian acara di pelancaran Bulan Bahasa Melayu pada tahun itu. Bersamanya ialah isterinya, Cik Ho Ching (berdiri, baju putih), dan penjawat politik Melayu seperti Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (berdiri, tiga dari kanan), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (berdiri, empat dari kanan); dan Encik Zaqy Mohamad (di sebelah Encik Lee). - ST

Tahap kepercayaan antara Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan pasukan pemimpin generasi keempat (4G) dengan masyarakat Melayu/Islam memerlukan masa untuk dibangunkan dan kededua pihak sedang berusaha memupuknya, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

“Saya lihat DPM Wong telah menghadiri banyak majlis berbuka puasa pada Ramadan baru-baru ini. Malah, beliau juga telah bertemu pemimpin masyarakat dan ketua agama, Anggota Parlimen (AP) dan aktivis akar umbi Melayu PAP.

“Ini semua sebahagian usaha membangunkan hubungan serta keyakinan dan kepercayaan bersama, saling memahami pendirian masing-masing, apa yang  boleh diterima, apa yang boleh diminta tapi yang tidak dapat dipersetujui pemerintah,” kata Encik Lee.

“Dan ini memerlukan masa untuk dibangunkan tapi saya yakin mereka boleh melakukannya.”

Encik Lee berkata demikian semasa diminta berkongsi pandangannya mengenai cara Encik Wong dan pasukan pemimpin 4G mendekati isu-isu yang dianggap sensitif untuk masyarakat Melayu/Islam.

Beliau sedang menjawab soalan mengenai isu-isu sensitif melibatkan masyarakat Melayu/Islam yang ditanganinya sepanjang dua dekad sebagai Perdana Menteri semasa bertemu media setempat di Istana pada 26 April.

Wawancara itu diadakan menjelang 15 Mei, apabila beliau dijadual menyerahkan jawatannya kepada Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Lawrence Wong.

Berhubung isu mencabar dan sensitif, Encik Lee berkata ancaman pengganasan yang dibawa Jemaah Islamiyah (JI) adalah satu isu jangka panjang yang perlu dipantau selama dua dekad.

“Anda perlu memerhatikannya dan bimbang sama ada sesuatu akan berlaku dan mendatangkan masalah serius... atau menimbulkan krisis yang perlu ditangani untuk mengelak masalah serius. Itulah cabaran yang berterusan selama lebih 20 tahun.

“Isu-isu lain seperti tudung atau 377A, kami tangani bagi jangka panjang. Kami telah berbincang mengenainya lama sebelum saya menjadi Perdana Menteri,” ujar Encik Lee.

“Ia (isu) yang kami yakin dilihat dari sudut pandang sederhana oleh masyarakat, masyarakat memahami dan menerima sudut pandang pemerintah dan bersedia bekerjasama dengan pemerintah dan memberi kami masa untuk menguruskan isu tanpa memecahbelahkan dan merumitkan pandangan. Ini sesuatu yang sangat membantu dan membolehkan kita, apabila masa sesuai tiba, untuk menangani isu dan menghasilkan kesudahan yang baik.”

Namun, melebihi isu yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam, Encik Lee berkata cabaran jangka panjang lebih rumit ialah menguruskan ketegangan berhubung usaha memupuk perpaduan sosial antara warga Singapura dengan bersifat terbuka dan menerima kehadiran pekerja hijrahan dan tenaga kerja asing.

“Ia sesuatu yang amat sukar untuk diuruskan kerana kita tidak mempunyai banyak ruang untuk menguruskannya. Anda tidak boleh berkata keadaan akan berubah menjadi lebih baik dalam sekelip mata jika kita menghantar pulang semua pekerja asing.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg