Laluan kemahiran baru bagi pakar teknikal kenderaan elektrik dilancar
Laluan kemahiran baru bagi pakar teknikal kenderaan elektrik dilancar
Teknisyen automotif sedia ada tidak lama lagi boleh meningkatkan keupayaan mereka dengan adanya laluan kemajuan kerjaya lebih jelas yang disediakan di bawah Laluan Kemahiran bagi Pakar Teknikal Kenderaan Elektrik (EV).
Laluan kemahiran baharu itu bertujuan menyediakan tenaga kerja industri automotif bagi peralihan kepada EV.
Ia menampilkan kemajuan berstruktur empat peringkat daripada Pakar Teknikal kepada Jurutera, dengan kursus yang disusun berdasarkan maklum balas dan keperluan industri.
Selain menyediakan laluan kemajuan yang jelas bagi teknisyen automotif sedia ada meningkatkan keupayaan mereka, ia juga membolehkan pakar teknikal baharu dilatih, sekali gus memperkukuh saluran tenaga kerja EV Singapura.
Ia juga akan menangani permintaan semakin meningkat bagi karyawan EV yang mahir sedang Singapura menyediakan perkhidmatan elektrik kepada sektor automotif dan pengangkutan awam.
Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Cik Sun Xueling, berkata Akademi Pengangkutan Awam Kementerian Pengangkutan (MOT), SkillsFuture Singapura (SSG) dan Institusi Jurutera Singapura (IES) telah bekerjasama untuk melancarkan laluan kemahiran baharu itu.
“Ini merangka pelan hala tuju kemajuan bagi kerjaya dalam penyelenggaraan EV, termasuk latihan yang tersedia daripada institusi pengajian tinggi (IHL), Akademi Bas Singapura dan NTUC LearningHub.
“Majikan automotif utama seperti Borneo Motors, BYD, Cycle & Carriage dan Komoco, serta pengendali bas awam juga akan menyokong dengan peluang pekerjaan,” kata Cik Sun pada 4 Mac.
Cik Sun menjelaskan laluan kemahiran baharu itu dibangunkan di atas usaha pembangunan keupayaan sedia ada, seperti Pensijilan Pakar Keselamatan EV Nasional (NESS) yang menyediakan pakar teknikal automotif dengan pengetahuan asas penting untuk bekerja dengan selamat dalam persekitaran EV voltan tinggi.
NESS yang dilancarkan pada 2022, sejauh ini, telah menyediakan latihan keselamatan asas dalam penyelenggaraan EV kepada lebih 2,000 individu, tambah beliau.
Antara ciri utama Laluan Kemahiran bagi Pakar Teknikal EV termasuk kemajuan dalam pembangunan profesional, di mana peserta akan maju melalui tahap kecekapan dan kemahiran teknikal, sebelum akhirnya layak mendapat pengiktirafan di bawah Skim Kejuruteraan Bertauliah.
Ia dibahagikan kepada empat peringkat.
Di peringkat satu dan dua, terdapat laluan akademik dan bukan akademik yang boleh diambil kira.
Di bawah laluan akademik peringkat satu, individu dengan sekurang-kurangnya Sijil Nitec dalam Teknologi Automatif selepas kemasukan 2021 boleh diambil kira untuk dipertimbangkan bagi peranan Pakar Teknikal. Bagi laluan bukan akademik pula, sekurang-kurangnya pensijilan NESS diperlukan.
Bagi peringkat dua, individu boleh dipertimbangkan bagi peranan Pakar Teknikal Kanan apabila dia memiliki Sijil Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Automatif atau bidang kejuruteraan terkait lainnya, dengan sekurang-kurangnya berpengalaman dua tahun sebagai pakar teknikal.
Individu dengan Diploma Bekerja dan Belajar (WSDip) atau Diploma dengan sekurang-kurangnya pengalaman setahun sebagai pakar teknikal juga boleh dipertimbangkan bagi peranan sama.
Bagi laluan bukan akademik pada peringkat dua pula, seseorang mesti mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun sebagai Pakar Teknikal dengan pensijilan peringkat 2 pakar teknikal EV untuk dipertimbangkan bagi peranan Pakar Teknikal Kanan.
Pensijilan peringkat 2 pakar teknikal EV masih dibangunkan, dengan maklumat lanjut bakal dikongsi menjelang akhir 2026.
Maklumat bagi peringkat tiga dan empat laluan kemahiran baharu ini juga akan dikongsi menjelang hujung tahun ini.
Ciri utama lain dalam laluan kemajuan itu termasuk penglibatan aktif majikan seperti Borneo Motors, BYD dan Cycle & Carriage untuk memastikan individu mendapatkan kemahiran praktikal dan sedia-bekerja (job-ready) yang selaras dengan keperluan industri.
Majikan yang terlibat juga mempunyai akses kepada kumpulan bakat lebih besar yang dilengkapi dengan kemahiran sera keupayaan penyelenggaraan EV yang dapat membantu menyokong keperluan perniagaan dan inovasi mereka.
Menurut Cik Sun lagi, individu dan majikan yang layak boleh menerima subsidi 50 peratus bagi yuran kursus di bawah laluan kemahiran baharu ini.

