Separuh kebakaran EV pada 2025 libat bateri voltan tinggi
Separuh kebakaran EV pada 2025 libat bateri voltan tinggi
Daripada empat kebakaran kenderaan elektrik (EV) pada 2025, dua melibatkan bateri voltan tinggi, satu berpunca daripada komponen elektrik pada papan pemuka, manakala satu lagi dikaitkan dengan pemampat belakang sebuah trak kutipan sisa EV.
Pemampat belakang lori berfungsi memadatkan sisa dan sebarang geseran atau bahan mudah terbakar boleh mencetuskan api.
Jumlah itu meningkat berbanding hanya satu kebakaran EV pada 2024, kata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) kepada The Straits Times pada 3 Mac.
Bateri voltan tinggi ialah bateri utama yang menggerakkan EV dan boleh dicaj.
Walaupun data luar negara menunjukkan kebakaran EV jarang berlaku berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman, pakar berkata ia lebih sukar dipadamkan.
Kebakaran EV lebih marak dan berpanjangan, dengan risiko ia akan menyala semula.
Sistem elektriknya juga berpotensi menyebabkan kejutan elektrik jika terdapat air semasa proses memadam api.
SCDF memaklumkan perkara itu selepas penerbitan laporan perangkaan tahunannya pada 11 Februari.
Butiran lanjut seperti jenis EV dan sama ada kebakaran berlaku semasa pengecasan atau ketika berada di tempat letak kereta, tidak didedahkan.
Namun, peningkatan kes berlaku seiring lonjakan besar penggunaan EV di Singapura.
Jumlah EV dan hibrid ‘plug-in’ (PHEV) meningkat daripada 33,561 pada 2024 kepada 55,834 pada 2025.
PHEV boleh dicaj melalui pengecas dinding EV dan mempunyai bateri voltan tinggi lebih besar berbanding petrol-hibrid biasa.
Pihak berkuasa kini mengkaji sama ada EV perlu mempunyai nombor pendaftaran berbeza, bagi memudahkan pegawai kecemasan mengenal pasti kenderaan yang memerlukan tatacara khas ketika kebakaran.
Dalam Buku Panduan Kecemasan Pertahanan Awam, SCDF menasihati orang ramai supaya berada sekurang-kurangnya 15 meter dari EV yang terbakar dan menghubungi 995, serta memaklumkan nombor pendaftaran, model kenderaan dan bahagian kenderaan yang terbakar.

