Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laluan pejalan kaki sebelah lorong basikal diperuntuk buat pejalan kaki; kuat kuasa bermula Jul 2025

Aug 14, 2024 | 6:48 PM
Laluan basikal yang kini bersebelahan dengan laluan pejalan kaki, akan dijadikan hanya sebagai laluan pejalan kaki dan pengguna alat bantuan mobiliti peribadi (PMA), seperti skuter mobiliti dan kerusi roda elektrik, dibenar menggunakan laluan khusus untuk pejalan kaki.
Laluan basikal yang kini bersebelahan dengan laluan pejalan kaki, akan dijadikan hanya sebagai laluan pejalan kaki dan pengguna alat bantuan mobiliti peribadi (PMA), seperti skuter mobiliti dan kerusi roda elektrik, dibenar menggunakan laluan khusus untuk pejalan kaki. - Foto ST

Laluan pejalan kaki yang terletak bersebelahan laluan basikal sepanjang lebih 200 kilometer di sini, akan dijadikan laluan pejalan kaki sahaja demi keselamatan pejalan kaki.

Dengan langkah itu, basikal dan alat mobiliti peribadi (PMD) tidak bermotor seperti ‘kick scooter’, yang dibenarkan menggunakan laluan pejalan kaki pada masa ini, akan dilarang daripada laluan yang dikhusus untuk pejalan kaki sahaja, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 14 Ogos.

Untuk memberi pengayuh basikal dan pengguna PMD tidak bermotor masa untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baru itu, tindakan penguatkuasaan akan hanya diambil mulai 1 Julai 2025.

Mereka yang melanggar peraturan baru itu boleh didenda hingga $2,000 atau dipenjara tiga bulan, atau kededuanya sekali, lapor The Straits Times (ST).

Selepas peraturan itu berkuat kuasa, hanya pejalan kaki dan pengguna alat bantuan mobiliti peribadi (PMA), seperti skuter mobiliti dan kerusi roda elektrik, dibenarkan menggunakan laluan yang dikhusus untuk pejalan kaki.

Pengguna alat bantuan mobiliti peribadi perlu mematuhi had kelajuan yang tidak melebihi enam kilometer sejam (kmh).

Bercakap kepada wartawan berhampiran Blok 196, Bishan Street 13, dalam majlis sempena menandakan selesainya pembinaan rangkaian berbasikal sepanjang 7.7 kilometer di Bishan, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata langkah tersebut akan jadikan laluan awam lebih selamat untuk semua pengguna, terutama pejalan kaki.

Menurut Encik Chee, kemalangan melibatkan alat mobiliti aktif di sini telah berkurangan sejak 2019.

Oleh itu, langkah baru itu bukan disebabkan laluan awam kini menjadi lebih berbahaya.

Sebaliknya, pihak berkuasa memperkenalkan peraturan baru itu sekarang memandangkan kini terdapat lebih banyak laluan basikal yang siap dibina dan terletak bersebelahan laluan pejalan kaki, jelas beliau.

Untuk memaklumkan pengguna mengenai laluan yang dikhusus untuk pejalan kaki, beberapa tanda fizikal, termasuk logo pejalan kaki dan kekata “pejalan kaki sahaja”, akan dicetak pada laluan pejalan kaki yang terletak bersebelahan laluan basikal.

LTA juga menasihatkan pejalan kaki agar sentiasa berada di laluan pejalan kaki demi keselamatan mereka.

“Sedang penduduk kita menua dan alat mobiliti aktif menjadi semakin popular bagi perjalanan titik pertama dan titik terakhir, kami juga melakukan lebih banyak lagi untuk menjadikan laluan kita sentiasa selamat, terutama bagi warga emas dan kanak-kanak kecil,” kata LTA.

Basikal, basikal elektrik, PMD bermotor dan tidak bermotor, serta alat bantuan mobiliti peribadi akan terus dibenarkan menggunakan laluan basikal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg