Ibarat cahaya yang menerangi kegelapan, begitulah amanah Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) memperkasa pelajar melalui bantuan pendidikan. Sejak ditubuhkan pada 1965, lebih $33 juta telah diagihkan kepada lebih 34,000 pelajar.
Bantuan pendidikan LBKM merangkumi pemberian biasiswa kepada pelajar dalam bidang ukhrawi, bermula peringkat madrasah hinggalah pengajian tinggi, termasuk ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Ustaz Dr Mohammad Rizhan Leman merupakan penerima pertama biasiswa LBKM dalam bidang ukhrawi. Beliau meraih ijazah dalam bidang Syariah pada tahun 2012 di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi. Pada tahun 2014, beliau meneruskan pengajian peringkat Sarjana Perbandingan Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau kemudian lanjut ke peringkat ‘doctorate’ dan akhirnya meraih kejayaan pengajian PhD dalam Fiqah dan Usul Fiqah pada tahun 2019.
“Biasiswa LBKM yang saya terima sepanjang pengajian saya banyak membantu saya. Dengannya, saya dapat melunaskan yuran universiti, sekali gus memudahkan saya menamatkan pengajian pada peringkat pascasiswazah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,” jelas Ustaz Dr Rizhan.
Di sebalik segala cabaran dan ‘plot twist’ dalam perjalanan meraih ilmu yang dilaluinya tersisip hikmah.
“Saya pelajar aliran sekular di sepanjang zaman persekolahan saya. Selesai Perkhidmatan Negara (NS), saya pilih universiti di Timur Tengah untuk melanjutkan pelajaran. Puncanya, ketika mempelajari mata pelajaran Ekonomi di maktab rendah, saya keliru untuk membezakan mana yang selaras dengan ajaran Islam,” ujarnya.
Pertanyaan seorang bukan Islam kepada Ustaz Dr Rizhan sama ada beliau faham satu surah yang dibaca imam sewaktu solat menyentak mindanya sewaktu mengikuti kelas Bahasa Arab di Pergas. Ini menjadi pendorong kuat baginya menguasai bahasa Arab dan syariah Islam.
Beliau memberanikan diri memohon masuk ke Universiti Islam Madinah. Ketiadaan asas bahasa Arab yang kukuh menimbulkan kesulitan ketika kuliah dan peperiksaan. Bahasa Arab adalah bahasa pengantar sepenuhnya. Beliau bernasib baik, beroleh biasiswa penuh daripada universiti tersebut. Ia menampung yuran pengajiannya sepanjang enam tahun di Madinah; dua tahun pertama khusus mempelajari bahasa Arab dan empat tahun untuk meraih ijazah Sarjana Muda Syariah. Beliau kemudian meneruskan pengajian peringkat sarjana dan PhD di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Ustaz Dr Rizhan kini bertugas sebagai Pendakwah Bebas di masjid-masjid Singapura, secara dalam talian dan juga di pusat-pusat pendidikan seperti Al-Zuhri dan Andalus. Beliau juga seorang anggota bersekutu kanan bagi Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
SEKILAS:
KEMPEN GEMA KASIH LBKM
Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), yang ditubuhkan pada bulan kelahiran Nabi Muhammad saw, iaitu Rabiulawal 1965, mengalu-alukan sokongan orang ramai bagi Kempen Gema Kasih, yang menyeru masyarakat menunjukkan rasa ihsan berterusan bagi menyokong pendidikan pelajar.
Sejak ditubuhkan, LBKM terus komited memperkasa pelajar melalui bantuan pendidikan – hingga kini lebih $33 juta telah diagihkannya kepada lebih 34,000 pelajar. Bersama LBKM, mari memajukan generasi masa depan melalui pendidikan.
Hulurkan sumbangan ikhlas anda untuk memberi sokongan pendidikan kepada pelajar melalui:
1. Dalam talian: Derma kepada bit.ly/EchoesOfMercy2025 atau layari laman web lbkm.org.sg/
support-us/echoesofmercy-2025/ untuk maklumat lanjut.
2. PayNow ke UEN S66SS0027A. Isi nombor kad pengenalan (NRIC) dalam ruang Rujukan bagi pengecualian cukai, penuhkan borang derma dan e-mel kepada enquiries@lbkm.org.sg
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg