Berbekal aspirasi mencipta ruang lebih selamat dan mesra alam bagi memperbaiki kehidupan masyarakat, Encik Zaheer Abdul Malik, 26 tahun, berusaha menimba pengetahuan mengenai persekitaran pembinaan di Switzerland dengan sokongan Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).
Penuntut sarjana muda sains jurusan pengurusan kemudahan projek, dengan pengkhususan kedua dalam pembangunan bandar mampan, Universiti Nasional Singapura (NUS) itu mendapat satu-satunya tempat bagi jurusan tersebut dalam Program Pertukaran Pelajar ETH Zurich di Switzerland pada 2024.
ETH Zurich ialah sebuah universiti awam di Zurich, Switzerland, yang memberi tumpuan terutamanya kepada sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik.
Program Pertukaran Pelajar ETH Zurich itu berlangsung selama enam bulan dari Februari hingga Julai 2024.
Disebabkan kekangan kewangan, Encik Zaheer hampir-hampir menarik diri daripada program tersebut.
Justeru, beliau bersyukur kerana menerima Geran Program Latihan Amali/Pertukaran Pelajar di Luar Negara (SOEIP) LBKM bernilai $2,500, yang membantu menampung perbelanjaan keperluannya semasa di Switzerland.
Encik Zaheer juga menerima Biasiswa Ekonomi Masa Depan (Bidang Stem – matematik, kejuruteraan, teknologi dan sains) LBKM bernilai $5,000 pada 2024 dan 2025.
“Dengan wang daripada Geran Program Latihan Amali/Pertukaran Pelajar di Luar Negara (SOEIP) LBKM, saya dapat menikmati pengalaman pertama mengunjungi Eropah tanpa beban kewangan, walaupun saya perlu belajar berdikari dan mencari jalan penyelesaian bagi beberapa perkara. Saya juga berpeluang mengikuti pelbagai acara dan kegiatan di luar darjah semasa berada di ETH Zurich,” kata Encik Zaheer.
Geran dan biasiswa LBKM itu adalah sebahagian daripada kempen ‘Gema Kasih LBKM’ bagi misi membantu pelajar dari segi kewangan dalam mencapai potensi pendidikan mereka sepenuhnya.
Bagi Encik Zaheer, mendapat geran dan biasiswa itu adalah satu pencapaian besar, lebih-lebih lagi beliau telah melalui pelbagai liku-liku kehidupan.
Anak ketiga daripada empat adik-beradik, beliau kerap gagal dalam Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains di bangku sekolah “kerana saya nakal dan senang terganggu”.
Titik perubahan dalam pengalamannya tercetus apabila beliau terlibat dalam satu pergaduhan dan digantung sekolah semasa di menengah empat.
“Ketika itu, arwah bapa saya baru mula menjalani rawatan dialisis bagi ginjalnya akibat masalah kencing manis. Saya sedar saya sudah mengecewakan ibu dan arwah bapa saya, dan tekad mengubah haluan hidup saya,” ujar Encik Zaheer.
Walaupun “nakal”, Encik Zaheer berkata beliau lebih cepat matang kerana pengalaman hidup dalam keadaan sempit – beliau berada di bawah Skim Bantuan Kewangan (FAS) semasa di sekolah rendah dan menengah dan serta diberi baucar makanan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) daripada Kelab Masyarakat Chua Chu Kang.
Beliau juga bekerja sambilan semasa di bangku sekolah – antara lain, mengedar risalah kepada orang ramai pada usia 12 tahun, menjadi kru di sebuah restoran makanan segera pada usia 14 tahun, menjadi anggota kumpulan kendarat majlis perkahwinan, menjadi pelayan di kafe, dan bekerja di sebuah gudang.
Pengalaman bekerja itu memupuk dalam diri Encik Zaheer sifat bertanggungjawab, berdaya tahan dan bekerja keras.
Kecekalan Encik Zaheer untuk berubah dan memberi tumpuan lebih serius terhadap pelajaran berbaloi apabila beliau berupaya melanjutkan pengajian di politeknik bagi diploma kejuruteraan sivil dengan perniagaan, memasuki NUS.
Kini, setelah melalui pelbagai cabaran dan tekanan dalam hidup, Encik Zaheer menjadi seorang sukarelawan belia yang aktif.
Antara lain, beliau berbakti bersama pelbagai pertubuhan masyarakat, termasuk Willing Hearts, Perkhidmatan Sosial Beyond, Perkhidmatan Masyarakat New Hope, Reach Singapura, Minds, Youth Corps Singapura, Majlis Belia Kebangsaan, LBKM, Rangkaian Belia Keat Hong/CCK dan Yayasan Mendaki.
Sempena Maulidur Rasul, masyarakat Islam merenung semangat warisan Rasulullah Muhammad saw.
Di LBKM, semangat Baginda saw terus hidup melalui misinya: Membolehkan pelajar daripada segenap lapisan masyarakat meneruskan pendidikan dan membina masa depan lebih cerah.
Gema Kasih mengingatkan bahawa setiap sumbangan hari ini meneruskan warisan Rasulullah saw memperkasa generasi seterusnya dan mencipta gema kebaikan berkekalan melangkaui waktu.
SEKILAS:
Kempen Gema Kasih LBKM
Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), yang ditubuhkan pada bulan kelahiran Nabi Muhammad saw, iaitu Rabiulawal, 1965, mengalu-alukan sokongan orang ramai bagi Kempen Gema Kasih, yang menyeru masyarakat menunjukkan rasa ihsan berterusan untuk menyokong pendidikan pelajar.
Sejak ditubuhkan, LBKM terus komited memperkasa pelajar melalui bantuan pendidikan – hingga kini lebih $33 juta telah diagihkannya kepada lebih 34,000 pelajar. Bersama LBKM, mari memajukan generasi masa depan melalui pendidikan.
Hulurkan sumbangan ikhlas anda untuk memberi sokongan pendidikan kepada pelajar melalui:
Dalam talian: Derma kepada bit.ly/EchoesOfMercy2025 atau layari laman web lbkm.org.sg/support-us/echoesofmercy-2025/ untuk maklumat lanjut.
PayNow: UEN S66SS0027A
Sila isi nombor kad pengenalan (NRIC) dalam ruang Rujukan bagi pengecualian cukai, penuhkan borang derma dan e-mel kepada enquiries@lbkm.org.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg