Orang awam boleh mendapatkan maklumat operasi tren, seperti kelewatan kecil yang disifatkan sebagai kelewatan kurang daripada 30 minit, menerusi satu laman web baru yang akan bermula 6 petang, 13 Disember.
Inisiatif yang diumumkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 12 Disember membolehkan penumpang melihat dengan mudah sama ada terdapat sebarang insiden di sepanjang rangkaian MRT.
Kelewatan besar yang memerlukan lebih daripada 30 minit untuk diselesaikan akan disiarkan melalui pelbagai saluran seperti di stesen dan di dalam tren, laman web masa nyata, serta media sosial.
Pelancaran laman web itu menyusuli maklum balas penumpang bahawa kemas kini di media sosial kadangkala dimuat naik pada waktu berbeza, termasuk selepas selesai kejadian kelewatan dan perkhidmatan kembali seperti biasa, kata LTA.
“Kini, semasa berlakunya sesuatu insiden, pengendali tren menyediakan anggaran kelewatan dengan menggunakan masa perjalanan tambahan maksimum bagi jarak perjalanan paling jauh yang terjejas disebabkan kelewatan tersebut.
“Kami menerima maklum balas bahawa menyampaikan maklumat berdasarkan masa perjalanan tambahan maksimum tidak memberi gambaran tepat tentang kesan sebenar kepada setiap individu.
“Khususnya, mereka yang sebenarnya tidak terjejas dan masih boleh meneruskan perjalanan, tetapi sebaliknya membuat lencongan yang tidak perlu atau mahal,” kata LTA.
Menerusi laman web mytransport.sg/trainstatus, status setiap laluan MRT akan ditandakan mengikut warna di laman web LTA bagi menunjukkan sama ada perkhidmatan beroperasi seperti biasa atau terjejas oleh kelewatan.
Kelewatan kecil atau insiden di mana kelewatan perkhidmatan dianggarkan kurang daripada 30 minit akan ditandakan dengan warna kuning.
Bagi insiden sedemikian, LTA akan mengambil kira faktor seperti sama ada ia hanya menjejas sebahagian kecil rangkaian MRT, atau sama ada ia berlaku di luar waktu sibuk dan jika penumpang masih boleh menggunakan perkhidmatan tren.
Kelewatan besar atau insiden di mana kelewatan perkhidmatan dianggarkan melebihi 30 minit, akan ditandakan dengan warna oren.
Selain mengambil kira faktor seperti sama ada insiden itu menjejas rangkaian MRT, atau sama ada ia berlaku pada waktu sibuk, penumpang akan juga diberikan nasihat mengenai tindakan selanjutnya.
Ini termasuk sama ada menggunakan laluan MRT alternatif atau perkhidmatan bas percuma.
LTA juga sedang membangunkan alat lain, termasuk aplikasi, untuk menyediakan maklumat masa nyata yang khusus untuk membantu penumpang membuat perancangan semasa berlaku kelewatan tren.
LTA berkata Purata Kilometer Antara Gangguan (MKBF) 12 bulan rangkaian MRT kekal tinggi, dan meningkat sedikit pada akhir September.
Semua laluan menunjukkan peningkatan dalam MKBF sejak akhir September, kecuali Laluan Circle (CCL) yang merekodkan sedikit penurunan, tambah LTA.
MKBF merujuk kepada piawaian kejuruteraan yang mengukur jarak perjalanan kereta api sebelum mengalami kelewatan melebihi lima minit, namun tidak mengambil kira tahap gangguan teruk.
Ia menambah tiada kelewatan melebihi 30 minit yang direkod di rangkaian MRT pada Oktober, satu peningkatan daripada dua insiden yang berlaku pada September.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg